Monday, November 30, 2009

BTN-sukarnya membawa telur pikul balak

Syabas diucapkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat kerana berani dan bertegas menghalang pejawat kerajaan dan pelajar IPT milik negeri daripada mengikuti kursus BTN. Mengimbas kenangan lama, saya bekas pejawat BTN yang diamanahkan menjaga kem bina negara Meru, Klang.

Hari pertama saya berada di kem tersebut terasa takut kerana saya satu-satunya wanita yang bekerja di situ. Pekerja lain semua lelaki. Apabila ada kursus saya rasa terhibur kerana ramai penyelia-penyelia BTN akan berjumpa dengan saya, terutama waktu tengahari dan petang.

Sebelum saya bekerja, saya diarahkan mengikuti kursus BTN di kem...Langkawi. Saya bersama peserta Umno Selangor. (Tak ingat Bahagian mana). Ketika itu umur saya 24 tahun. Waktu itu saya menjadi ahli Abim tak berminat dengan PAS lagi.

Menyanyi lagu negaraku memang wajib, lagu anak kecil main api sudah pasti...program yang dianjurkan memang mencabar dan lasak.

Saya dimasukan dalam kumpulan ketua-ketua Umno Bahagian (lelaki tujuh orang perempuan tiga orang). Saya dipaksa memikul kayu balak yang panjang lebih kurang 10 meter, saya berada di belakang dan di depan lelaki. Memang berat. Kayu balak itu dipikul oleh dua orang saja dan dibawa sejauh lebih kurang 200 meter.

Kalau pikul kayu balak di jalan yang rata tak kisah, tapi terpaksa masuk hutan. Pikul kayu balak satu hal, disuruh bawa telur mentah pulak. Peserta akan didenda jika telur mentah yang dibawa itu pecah. Saya takut dan jaga telur itu macam saya jaga diri saya.

Setiap kali berjalan dan merentas hutan mendaki kayu dan mengelusur, saya mesti pegang telur yang dibungkus dengan tuala. Cukup takut kalau telur itu pecah.

Rupa-rupanya telur itu diibaratkan amanah. Bagaimana jika kita memegang amanah, apakah kita akan berusaha menjaganya. Bagus juga cara begitu.

Selepas berjaya melepasi hutan, peserta diarah supaya turun bukit batu dengan cara (komander). Badan kita diikat (saya lupa apa namanya) dengan tali dan kita turun menggunakan tali. Selepas itu badan saya ditolak dengan penyelia lelaki manakala seorang penyelia lelaki menunggu di bawah. Memang tak Islamik kursus BTN.

Ketika itu saya masih kabur dengan PAS. Dalam seminar memang penceramah menekankan supaya memberi sokongan padu terhadap pimpinan negara (Umno). Propaganda kurang dilontarkan, mungkin disebabkan peserta memang totok Umno. Jadi tak perlu mereka hendak membuang masa dan menghabiskan `air liur' untuk meracuni fikiran peserta.

Peserta memang sudah Umno kuat apa nak risau. Kebanyakan Ketua Bahagian dan cawangan. Cuma tiga orang saja pejawat baru dalam BTN Kuala Lumpur.

Saya bekerja di Kem Bina Negara Meru hanya bertahan selama lapan bulan saja. Sebab, saya tidak ada kawan perempuan di Kem itu. Saya juga tidak serasi bekerja dengan orang-orang kuat Umno. Walaupun ketika itu saya masih belum menjadi ahli PAS. Tapi jiwa saya tidak boleh ke arah Umno.

Sutera Kasih


Kian lama terpenjara

mencari makna cinta

dalam ungkap kata bersulam dusta

Tika gerbang rahmat terbuka

menjelang cinta suci sehalus dan

selembut sutera kasih

Terbentanglah...

tersingkap kebenaran terlerailah...

terbenam kepalsuan

Tuhan padamu ada kedamaian

di ribaan mu kebahagiaan

tiada lagi rasa kesangsian di hati


cinta Mu cinta tulus suci murni kasih Mu nan abadi

Bertautlah pencambahan cinta

mengharung dalam jiwa

menemukan kerinduan syahdu

pada yang Maha Esa

Sutera kasih ku belai

membalut kelukaan itu


Sutera kasih melambai

mengisi kekosongan pengharapan

Melepaskan kehidupan

mengharungi cabaran rintangan perjalanan di hadapan

Sutera kasih membelai

membalut kelukaan itu


Sutera kasih melambai mengisi kekosongan pengharapan
Doa dan titis air mata mendamba


sutera kasih agar terus bersemi selamanya...

Tuesday, November 24, 2009

Semangat Muslimat Sabah sukar ditandingi




Menjejakkan kaki ke lapangan terbang Tawau jam 6.55 malam agak mendebarkan. Sebab ini kali pertama saya sampai ke Tawau. Dalam fikiran saya berlegar-legar, bagaimana sambutan Muslimat PAS Sabah. Saya bukan minta disambut dengan penuh meriah tetapi pengalaman bersama pimpinan DMPP ke negeri berkenaan (tak perlu disebut) agak mengecewakan. Jadi, pengalaman itu menghantui saya.


Sesungguhnya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau sentiasa berusaha agar dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat. Bukan sekadar ketika menjelangnya pilihanraya sahaja. Khidmat kebajikan ini akan diberikan kepada semua tanpa mengira fahaman politik, status kewarganegaraan ataupun etnik-kaum.

Bagaimanapun, tanggapan negatif itu hilang apabila di tempat menunggu beg, kelihatan beberapa tangan Muslimat Sabah melambai-lambai ke arah kami. Saya ke Tawau bersama AJK Lajnah Tarbiyah DMPP iaitu Wan Hasrina Wan Hassan dan Ustazah Mariam Abd Rashid.




Apabila kami keluar, saya agak terkejut kerana yang menyambut kami ramai, Ketua Muslimat Puan Zaiton Ahmad bersama tiga pimpinan Muslimat Sabah. Turut bersama tiga pimpinan Kawasan iaitu muslimin. Mereka menyambut kehadiran kami dengan tiga buah MPV.




Kami terus di bawa ke restoren dan dijamu dengan ikan kerapu kukus, tom yam, sayur. Selepas itu kami dibawa ke penghinapan hotel Kingston.




Keesokan, AJK Muslimat Tawau, Puan Hasnah menjemput kami untuk ke tempat program. Sebelum itu kami di bawa sarapan di restoren yang agak eksklusif juga. Tidak diragui kehalalan makanannya. Tapi, tekak saya tidak boleh menelan nasi kuning (nasi lemak) kerana masin teramat...mungkin orang Tawau suka masin kot atau garam berlebihan di Tawau.




Perjalanan dari penghinapan ke Madrasah Darul Hidayah, Sungai Imam, Tawau agak jauh juga. Ditambah dengan jalan menuju ke tempat itu berlekok dan becak. Kami duduk di belakang terus tertidur dan sedar bila sudah sampai ke tempat program.




Sehari bersama peserta program, saya terharu dengan kesungguhan mereka untuk mengikuti tamrin tahunan. Program tersebut bukan di hotel atau resorts tetapi madrasah Darul hidayah yang hanya ada kipas. Mereka duduk bersila. Tidur di asrama sekolah.




Suasana yang panas sedikit pun tidak mencacatkan semangat mereka untuk terus mendengar pembentangan kertas kerja oleh Wan Hasrina dan Ustazah Mariam. Sebaliknya, sesi soal jawab bertalu-talu diajukan. Saya cukup terharu dengan semangat mereka.




Sebab semangat mereka ini tidak lagi berlaku di Semanjung terutama di negeri-negeri yang sudah menang. Di Selangor nak buat Tamrin di tempat yang panas seperti di Tawau, saya yakin dan percaya kalau ada yang datang pun dalam sesi pandangan dan cadangan, mereka akan meluahkan rasa tidak puashati sebab keadaan tempat yang tidak sesuai.




Ada muslimat yang terpaksa tidur di tempat lain kerana dalam perjalanan menuju ke Tawau, ada tanah runtuh. Tapi mereka tetap meneruskan perjalanan walaupun terpaksa bermalam di tempat lain. Jika perkara ini berlaku di Selangor, apakah muslimat berkenaan sanggup bermalam di tempat lain dan meneruskan perjalanan keesokan hari? Atau berpatah balik ke rumah dengan memberi alasan tanah runtuh tak boleh datang tamrin.




Saya seronok bertemu dengan muslimat Sabah. Dapat makan dalam dulang bersama Kak Ton dan Mak Anjang. Dapat makan lumut. Memang sedap lumut dicecah air lada. Tapi disebabkan saya kurang sihat jadi saya tidak bernafsu untuk makan banyak. Cukup sekadar merasa sahaja.




Malam untuk berpisah dengan mereka agak sedih. Walaupun baru sehari bertemu tapi macam dah seminggu bersua muka. Mungkin kerana sambutan yang ikhlas, mereka bergurau dan daripada raut wajah mereka tidak menimbulkan keraguan.




Walaupun Sabah sukar untuk menang tapi mereka bersemangat untuk memperluaskan pengaruh PAS ke seranta negeri itu. Ketika mereka menyambut kami di lapangan terbang, mereka tanpa segan silu memperkenalkan kami wakil Muslimat PAS Pusat kepada kenalan mereka. Begitu juga ketika bertemu dengan kenalan mereka di restoren dan pasar.




Kehadiran saya cukup dihargai. Mereka mengatakan selama ini hanya tahu nama Saidah Hairan, tak kenal muka. Mereka mengalu-alukan supaya saya berkunjung semula ke Tawau. Saya seronok berada bersama mereka dan sukar untuk melupakan kenangan manis itu.




Moga semangat mereka itu akan dibalas dengan kemenangan PAS di bumi Sabah. Allah Hu Akhbar!

Sedih lihat penghujung kehidupan Tok Guru difitnah dan jadi permainan politik

Mengikuti isu di Kelantan terasa juga dihati saya bertapa seksa Tok Guru Nik Abdul Aziz dalam penghujung hidupnya dibuat sedemikian rupa dalam politik. Malah fitnah daripada bloggers dan media serta permainan politik orang disekeliling beliau cukup mencemar dan mengaibkan maruah serta nama baik beliau sebagai Tok Guru.

Kenapa lapan tahun dahulu semasa beliau melantik menantu sebagai CEO PMBK tidak timbul fitnah sedahsyat itu.... Kenapa? Kenapa baru sekarang?

Saya rasa pendapat saya tidak berubah lagi sejak Ariffahmi dilantik CEO sampai sekarang. Rupanya pendapat saya sama dengan penasihat undang-undang dan orang sekeliling Tok Guru ketika itu. Tidak tahu pula pandangan mereka ketika ini kerana nampaknya mereka tidak pertahan Tok Guru dan pendapat mereka semasa menyokong perlantikan tersebut lapan tahun dahulu.

Kalau mahu kira isu kroni bagi saya perlantikan Syed Azidi lebih kroni lagi berbanding Ariffahmi. Beliau dipersetujui majlis mesyuarat dan berdasarkan merit beliau tetapi kita tidak tahu lantikan Syed Azidi.
Apa kelayakan Syed Azidi dimasukkan ke PMBK? Bukankah kerana kroni rapat dengan Exco?

Jadi dalam kes ini isu kroni sudah jadi silap faham akibat fitnah liar bloggers. Ia bukan sahaja mencemar Tok Guru malah PAS tetapi mereka ini masih berselindung dalam PAS.

Nik Aziz setuju nasihat Ariffahmi letak jawatan

KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan.

Menurut Nik Aziz, keputusan itu dibuat bagi menjaga nama baik pimpinan islam khasnya pas sendiri sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu."Semua (yang hadir) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar (PKMB),""Fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah," katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian.Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut."Tarikh tu terserah kepada dia," katanya lagi.Nasihat peletakan jawatan itu juga tegasnya adalah disebabkan oleh fitnah dan kecaman yang terlalu banyak diterima Ariffahmi.

"Masalah sekarang ini menantu saya tu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab,"Dalam pada itu, Ariffahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka memandangkan ianya dilakukan untuk menjaga nama baik banyak pihak.

"Saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk jaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik PAS, dan juga nama baik kerajan negeri Kelantan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Nik Aziz yang memberikan kepercayaan penuh kepada kepadanya sepanjang berada di PMBK."Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya," katanya.
____

Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz

BismillahirrahmanirrahimHari ini saya sudah didatangani oleh pemimpin pusat yang mengandungi Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din, dan juga wakil parlimen daripada Kubang Kerian dan Kuala Krai.

Semuanya menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihati menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sewaktu saya lantik dulu saya lantik dia dalam mesyuarat penuh, dalam mesyuarat itu ada LA, ada penasihat undang-undang, dan beliau tak ada komen apa, tapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihati supaya elak diri dari fitnah ini berkembang. Itu sahajalah.

Jadi menantu tok guru sekarang ini akan letak jawatan?

Ya

Bila nak letak tu?

Tarikh itu terserah kepada dia.

Tapi tadi tok guru kata apa yang berlaku fitnah dan bukan kebenaran, jadi kenapa pula disuruh letak jawatan?

Saya lantik menantu saya ini, saya sebut dia menantu, tapi fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah.

Nabi kita pernah sebut kerpada Siti Aisyah, bahawa nabi bercadang nak roboh kaabah yang ada sekarang, nak bina balik supaya sama dengan kaabah zaman nabi Ibrahim, tapi tak jadi nak buat bimbang takut orang Arab yang baru masuk Islam, bawa fitnah dan sebagainya,Orang lain, blogger nak tuduh itu dia punya pasal la, dia tanggung dosa menyusahkan orang.

Adakah tok guru lepas ini akan rombak juga pengurusan PMBK?

Itu masalah kedua.Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab.

Jadi ini tak ada kena mengena dengan siasatan SPRM?

Siasatan SPRM tu siasatlah. Itu kerja dia. Tapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur,sesiapa yang gerak dia akan dilaknat Allah, itu pemfitnah punya fasal. tapi (letak jawatan) ini nak jaga kepimpinan parti Islam Semalaysia.

Yang mana satu tuduhan, tulisan itu fitnah?

Terlalu banyak, saya pun terima terlalu banyak surat layang, surat layang tak ada tandatangan, zaman sekarang orang baca dalam internet seluruh dunia.

Masa pelantikan (Arif) tok guru dapat pandangan dari semua pihak ya?

Saya sudah sebut dalam mesyuarat,dan mesyuarat senyap, termasuk YB LA sendiri. Adakah dalam keadaan sekarang pimpinan PAS Kelantan tak beri sokongan pada tok guru, sebab tak ada pun yang beri kenyataan , bahawa sudah dibincang dalam mesyuarat, bahawa pelantikan (Arif) sudah dapat restu semua pimpinan?

Itu tak payah. Saya tak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu. Tapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger semua sekali yang semua orang boleh baca.Dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat. (setakat itu sahajalah)

Terima kasih nanbinjai kerana membenarkan copy and paste

Saturday, November 21, 2009

Bergegar flight meresahkan hati


Hari ini mari kita rilex sikit, selalu sangat berkisar dengan politik sakit juga kepala. Jadi saya nak cerita sikit kekecutan hati dan jiwa ketika berada dalam `Air Asia' ke Tawau jam 3.30 petang semalam.

Biasalah Air Asia sentiasa penuh dengan penumpang, Maklumlah tambang murah jika dibandingkan dengan penerbangan lain. Sepuluh minit berada dalam flight memang kita tidak dibenarkan membuka tali pinggang keledar. Sehingga flight berada dalam keadaan stabil barulah kita dibenarkan bangun dan berjalan-jalan.

Nak dijadikan cerita keadaan semalam petang hujang. Pramugari mengumumkan supaya penumpang duduk di tempat masing-masing dan terus menggunakan tali pinggang keledar. Ketika itu masa sudah 20 minit berada dalam flight.

Selepas pramugari mengumumkan, flight bergegar kuat sehingga pramugari yang berjalan di hadapan saya terduduk mencangkung di sebelah saya kerana keadaan flight yang seolah-olah tidak boleh dikawal.

Saya memaut sahabat di sebelah dan mulut terkumat kamit membaca ayat Kusyi. Manakala kedengaran penumpang lain ada yang menyebut `Ya Allah!. Tangan masing-masing memaut pada kerusi di hadapan mereka.

Penumpang di hadapan saya tiga orang perempuan ada yang menutup kepalanya dengan baju. Saya memejamkan mata, tangan memaut tangan sahabat dan mulut terus membaca ayat Kursyi.

Ingatan saya terus kepada suami...hati terdetik (nak pergi dah salam dengan suami). Berada dalam suasana yang mengusarkan itu kira-kira 10 minit. Sekejap tenang, sekejap bergegar, sekejap tenang dan sekejap bergegar.

Suasana dalam flight tenang setenang...tenangnya. (Mungkin masing-masing menyerahkan diri dan jiwa hanya kepada Allah SWT. Biasalah manusia bila dalam kesusahan baru ingat Allah. Ini peringatan untuk diriku juga.

Selepas berlaku gegaran itu, sahabat terus bercakap dengan saya, Saidah pucatnya muka. Mana tak pucat saya kerap juga naik flight ke Padang, ke Aceh, ke Sarawak, ke Singapura, ke Johor tapi tak pernah pula mengalami gegaran yang saya rasa menggusarkan. Kecut perut saya ketika itu.

Perjalanan dua jam lebih itu amat membosankan. flight kecil cuaca ketika itu hujan. Faham-faham je la. Apabila melanggar awam mulalah bergegar. Tapi pilot ke Tawau macam tak mahir sangat la sb cara dia mendaratkan flight pun menakutkan.

Ok lah hari ini saya berada di Tawau mengikuti program Muslimat Sabah. Boleh tahu apa masalah di sini dan kelebihannya.

Thursday, November 19, 2009

Selangor negeri pertama wujud AIMS


Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan Akademi imam (AIMS) yang akan memberi kursus berterusan kepada 1226 imam bagi menjulang martabat imam dan seterusnya Islam di mata dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat, Infranstruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali memaklumkan, AIMS amat penting memandangkan Imam merupakan `institusi' yang berlaku dari generasi ke generasi.


Bercakap dalam perasmian Seminar memantapkan khutbah di dewan Jubli Perak, SUK, beliau berkata, AIMS akan bermula awal Januari tahun depan bertempat di Bukit Beruntung, Rawang.

Menurut beliau, imam sebagai juru penyelamat masyarakat dalam keadaan masyarakat sedang dilanda pelbagai penyakit seperti berpeleseran antara lelaki dan perempuan ditambah dengan tidak tahu membaca al-Quran.

Justeru, katanya, imam perlu melakukan suatu perkara yang boleh membantu menyelamatkan penyakit akidah dan kerosakan akhlak dikalangan anak-anak muda dan masyarakat Islam.

"Bagaimana imam hendak menyelamatkan akidah dan meningkatkan akhlak itu bukan satu perkara yang mudah," katanya bercakap di hadapan lebih 1000 imam.

Menurut beliau, jika para imam mempunyai keluarga yang tidak boleh menunjukkan contoh teladan kepada masyarakat bagaimana imam mahu menyelamatkan akidah dan meningkatkan akhlak anak muda.

Ini yang perlu diadakan Akedemi Imam supaya para imam dapat meningkatkan ilmu dan ketrampilan sebagai suatu `institusi' agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat, jelas beliau.

Mengikut statistik Ketua Polis Terengganu katanya, anak-anak yang sedang menghadapi cuti sekolah panjang akan mudah terjerumus dengan kerosakan akhlak.

Sehubungan itu katanya, berapa ramai para imam yang berfikir dan bercadang untuk melaksanakan program bagi mengisi masa kosong anak-anak yang sedang menghadapi cuti sekolah panjang.

Dalam sidang media selepas perasmian beliau turut menjelaskan tentang program Jom Solat iaitu bulan solat yang merupakan seruan kepada anak-anak muda, orang tua dan sesiapa saja.

"November merupakan bulan solat dan kita sudah melancarkan bulan solat dan hampir setiap bulan kita laksanakan bulan itu kepada satu amalan aktiviti agama," jelasnya.

Beliau menjelaskan, Jom Solat bermaksud orang kena faham keperluan solat selain usaha mendakwahkan atau menerangkan kepada orang bukan Islam tentang kepentingan solat.

"Kita kena terangkan apa fungsi solat dalam memajukan umat Islam sehingga boleh melentur akhlak pekerja dalam pentadbiran dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, bulan solat merupakan satu tradisi menjunjung solat secara berterusan sampai akhir hayat dan ia merupakan salah satu alat untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

Bersesuaian dengan pemantapan serta ketrampilan para imam beliau turut berharap seluruh masjid di Selangor akan mencapai taraf lima bintang.

Mengulas tentang pemberian tauliah kepada imam dan penceramah di Selangor beliau kesal dengan pihak yang mempersoalkan tauliah sehingga perkara itu menjadi isu besar.

"Kenapa kita mesti menjadi musuh pada peraturan, apakah kita mempunyai alternatif yang baik daripada itu, kalau kita sudah menolak peraturan maka akan lahir masyarakat `Anaki' yang tak hormat peraturan dan akan menghancurkan masyarakat," tegasnya.

Menurut beliau, tauliah itu peraturan dari Selangor jika tidak ada peraturan maka Rasul Melayu akan memberi khutbah begitu juga dengan Ayah Pin.

Beliau turut menafikan dakwaan mengatakan ada tangan-tangan ghaib daripada pejabat Menteri Besar dan exco tetapi sebaliknya tangan-tangan ghaib itu adalah enakmen Jabatan Agama Islam Selangor.

Buang alasan `sibuk' jika mahu kekal tadbir Selangor


Oleh Saidah Hairan

Jawatan adalah amanah besar bukan suatu penghormatan. Dalam konteks negeri Selangor, Umno yang memerintah selepas merdeka telah gagal melaksanakan amanah kepimpinan yang diberikan oleh rakyat.
Budaya hidup rakyat Selangor yang terkedepan telah menjadikan Umno tersungkur dalam Pilihan Raya Umum, 8 Mac. Perubahan minda rakyat Selangor tanpa disangka itu telah menaikkan pimpinan PAS, KeADILan dan DAP menjalankan pentadbiran baru di bawah Pakatan Rakyat.

Perubahan minda tanpa disangka itu membuktikan kehebatan dan kesedaran rakyat Selangor yang telah keluar daripada kepompong `benak politik' yang selama ini dikuasai Umno.

Walaupun pemimpin silih berganti, namun budaya rakus, fitnah, tamak, rasuah telah menjadi darah daging dalam Umno. Mustahil bagi pimpinan Umno mahu meninggalkan perbuatan buruk itu kerana ia merupakan jalan pintas untuk mengumpul harta kekayaan daripada kelemahan rakyat.

Penderitaan rakyat Selangor bertambah di era pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo. Beliau pernah membuat kenyataan terbuka dalam majalah Massa 26.8.2000 katanya; "Saya tidak tergoda pada kemewahan...pembangunan rohani akan diutamakan..."

Sejak Khir menjadi MB hingga Mac 2008 apa sudah berlaku di Selangor? Berapa banyak laporan yang dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BRP). Berkali-kali aduan rasmi dibuat oleh Penulis, Ahmad Lutfi Othman kerana mensyaki Khir Toyo terlibat dalam rasuah dan salahguna kuasa. Malangnya, kes itu ditutup atas arahan pimpinan tertinggi parti.

Rakyat Selangor tanpa mengira bangsa dan agama lega dengan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu. Mungkin selama di bawah pentadbiran Umno rakyat seolah-olah bernafas dalam `lumpur' kini lega dan boleh menarik serta menghembus nafas sepuas-puasnya.

Umno Selangor tersungkur disebabkan pimpinan mereka yang terlalu angkuh. Merasakan diri mereka terlalu hebat sehingga tidak mahu mendengar rintihan dan keluahan rakyat.

Walau besar mana pangkat dan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah, seorang individu itu seharusnya banyak bermuhasabah daripada mana asal usul mereka. Apabila kita berada di atas, kita mesti tengok kebawah bukan mendongak lagi.

Kegagalan Umno yang ditadbir selama 50 tahun untuk terus bertakhta di hati rakyat perlu diteladani oleh seluruh pimpinan kerajaan baru Pakatan Rakyat Selangor.

Ini kerana kuasa yang ada pada pimpinan PAS, KeADILan dan DAP negeri Selangor merupakan amanah besar daripada rakyat. Harapan rakyat Selangor terlalu tinggi terhadap perubahan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta saf kepimpinannya.

Pastinya, rakyat Selangor tidak mahu sejarah hitam berulang. Selama ini rakyat Selangor mempunyai Menteri Besar, ahli Parlimen dan Adun yang kurang mesra rakyat dan hanya kerap bertemu rakyat ketika menjelang pilihan raya iaitu minggu kempen.


Selama tiga hingga empat tahun rakyat dibiarkan sepi. Setiap hari rakyat menanti kehadiran Adun dan Menteri Besar ibarat `Menanti buah yang tidak gugur-gugur'.

Ada saja alasan jika rakyat mahu bertemu di pejabat exco dan Menteri Besar. Sibuk, mesyuarat, melawat kawasan dan sebagainya adalah antara alasan yang sering digunakan oleh wakil rakyat Umno.

Apakah wakil rakyat PAS, KeADILan dan DAP juga mempunyai alasan serupa ketika mahu ditemui rakyat?
Rakyat tidak akan sanggup memanjat bangunan SUK di Shah Alam tanpa sebarang alasan konkrit untuk mengadu masalah. Bayangkan rakyat yang tinggal di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Banting terpaksa bekejar ke Shah Alam semata-mata mahu meluahkan masalah kepada exco dan MB.

Tanpa rakyat siapa ahli Parlimen, Adun dan MB? Jika mereka tidak mempunyai sokongan padu daripada rakyat, apakah mereka akan berada di tahap yang ada sekarang?

Pimpinan Pakatan Rakyat wajar melaksanakan `mesra rakyat' jika mahu kepimpinan mereka terus dihormati dan disanjung tinggi. Keakraban tiga parti mentadbir negeri Selangor perlu diterjemahkan bukan sekadar slogan bagi menutup mata rakyat.

Segala masalah pentadbiran dan rakyat perlu dibincang serta diatasi bersama.
Sokongan pengundi bukan Islam telah menaikkan nama pimpinan PAS dan KeADILan. Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk terus memberi perhatian serius kepada mereka dengan mengenepikan penyokong Melayu terutama penyokong tetap PAS.

Dikhuatiri jika mereka tidak dipedulikan tidak mustahil mereka akan menjadi orang yang berkecuali dalam pilihan raya umum akan datang.

Sudah pasti penyokong Pakatan Rakyat tidak mahu mereka dizalimi. Mungkin pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan melakukan perobohan surau, sekatan penceramah di masjid, rasuah serta penyelewengan. Tetapi tidak mustahil rakyat akan dizalimi dengan cara `Ahli Parlimen, Adun, Exco dan MB tiada masa untuk senyum dengan rakyat'.

Jauh sekali meluangkan sedikit masa untuk dikunjungi rakyat di pejabat-pejabat atau di pusat khidmat di setiap Dun. Apa salahnya wakil rakyat membuangkan sedikit alasan sibuk dan mesyuarat jika dihubungi rakyat untuk membuat temu janji.

Ketika hari perasmian sidang DUN di Shah Alam, seorang Pegawai Kerajaan SUK meluahkan kekesalan kerana mantan Menteri Besar, Khir Toyo baru sudi melemparkan senyuman kepada mereka.

"Ah..dah kalah baru nak senyum dengan kita orang...",inilah luahan Pegawai tersebut kepada penulis di hadapan bangunan DUN.

Justeru, seluruh pimpinan Pakatan Rakyat perlu meneliti dan mengkaji mengapa rakyat menolak Umno? Apakah rakyat Selangor mahu terus dizalimi? Dan apakah kerajaan baru Pakatan Rakyat hanya mahu mentadbir sepenggal saja...jawapannya ada pada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Wednesday, November 18, 2009

PBT sabotaj jatuhkan kerajaan Selangor


Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Terdapat unsur sabotaj yang dirancang oleh pegawai dan kakitangan kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana ramai dikalangan kakitangan kerajaan masih berpihak kepada kerajaan BN walaupun Pakatan Rakyat telah menjadi kerajaan selama setahun setengah.

Perkara itu didedahkan oleh Jenice Lee Ying Ha, Adun Teratai (DAP) dalam ucapan perbahasan selepas menerima maklum balas daripada penduduk di kawasannya.

Beliau menegaskan, terdapat unsur sabotaj yang dilakukan oleh Penguatkuasa (PBT) ketika mengutip cukai tunggakan atau memberi saman kerana mereka sering mengingatkan penduduk `Anda undi PR dan inilah akibatnya.'

Pihak kerajaan perlu menyiasat tindakan penguatkuasa tersebut kerana ia ternyata mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat dan akhirnya akan memberi kesan buruk.

Selain itu beliau turut menyentuh berkenaan pemilik kafe internet yang betul-betul berniaga tetapi sering menjadi kambing hitam, bukan sahaja daripada masyarakat tetapi penguatkuasa daripada PBT atau pihak polis.

"Kedai-kedai perjudian itu nampaknya menikmati perlindungan yang cukup daripada pihak tertentu. Saya pernah membuat aduan bahawa di Bukit Segar Jaya terdapat kedai perjudian haram, penguatkuasa menyita peralatan perjudian disebelah malam tetapi kesokan harinya semua barangrampasan dikembalikan," jelasnya.

Sebaliknya tambah beliau, kafe internet yang betul-betul berniaga sering menerima saman dengan alasan tiada lesen terbaru.

"Sebenarnya PBT selalu melengah-lengahkan pembaharuan lesen perniagaan kafe internet," tegasnya. Beliau pernah menerima aduan pembaharuan lesen perniagaan ditangguhkan kerana polis belum keluarkan surat sokongan, apabila disemak pegawai mengatakan surat sokongan sudah dihantar berbulan-bulan.

Mengikut hujah pegawai itu, katanya, PBT selalu kata tidak terima surat sokongan.

"Nampaknya ada pihak sengaja mahu melengah-lengahkan proses ini. Jadi penguatkuasa boleh mengambil kesempatan ini untuk mengeluarkan saman atau ‘minta duit kopi’ daripada pemilik," jelasnya.

Tuesday, November 17, 2009

Dr Syed Husin dan S Ramakrishnan dipilih senator

Syed Husin Ali & S Ramakrishnan dipillih Senator Baru SelangorDato’ Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali dan S Ramakrishnan kerana dipilih oleh Dewan Negeri Selangor sebagai Senator mewakili Selangor dalam Dewan Negara selama tiga tahun.Khalid yakin bahawa dengan kelayakan akademik dan pengalaman sosial yang memadai, kedua-dua Senator baru itu akan dapat mempertingkatkan peranan Dewan Negara dalam memastikan keutuhan Parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang.“Saya berterima kasih kepada dewan kerana meluluskan pencalonan Dr Syed Husin Ali dan S Ramakrishnan pagi ini memandangkan Dato’ Ikhwan Salim bin Dato’ Haji Sujak dan Dato’ Yip Kum Fook yang dipilih dahulu akan tamat tempoh perkhidmatan mereka sebagai Senator mulai 6 Disember 2009,” kata Khalid ketika bertemu dengan wartawan dalam satu sidang media di Dewan Annexe petang tadi.Pemilihan telah dibuat secara undian di mana Dr Syed Husin mendapat undian 32 bersetuju, 3 tidak mengundi dan 20 tidak hadir; manakala S Ramakrishnan mendapat undian 32 bersetuju, 2 tidak bersetuju, 1 tidak mengundi dan 20 tidak hadir.Dr Syed Husin Ali yang memperoleh Ijazah Kedoktoran dari London School of Economics and Political Science pada tahun 1972 adalah merupakan Profesor di Pembangunan Manusia(1982-1986) dan Jabatan Antropologi dan Sosiologi (1986-1990) di Universiti Malaya.Sepanjang tempoh perkhidmatan di Universiti Malaya, beliau turut dilantik sebagai Ahli Senat pada 1981-1990 dan Ahli Majlis pada tahun 1986-1990. Dr Syed Husin Ali juga adalah Presiden Malaysian Social Science Association pada tahun 1981-1990. Di peringkat antarabangsa, beliau turut menyumbangkan kepakaran di dalam pelbagai bidang untuk UNESCO, ECAFE dan UNU.Beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama lapan tahun merupakan ahli pengasas SUARAM dan pernah memegang jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Malaysia pada tahun 1990-2001, dan kini merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.S Ramakrishnan pula merupakan salah seorang ahli Chartered Institute of Management Accountant(ACMA) U.K. yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan serta dalam proses terakhir melengkapkan Ijazah Kedoktoran dalam bidang kewangan.Beliau yang menjadi ahli DAP sejak tahun 2000 kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Metropolitan dan ahli majlis MBPJ mulai Jun 2008.

Monday, November 16, 2009

Pegawai Daerah dipaksa jadi komplot jatuhkan Selangor


Adun Hulu Kelang (PAS)- Saari Sungib mendedahkan wujud tekanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap pentadbiran kerajaan Selangor yang didakwa berkaitan dengan pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.
Bercakap dalam perbahasan bajet Dun, beliau menunjukkan bukti melalui sepucuk surat sulit yang siap bertandatangan, nombor faks dan nombor telefon orang yang membuat arahan tersebut.
Katanya, surat sulit itu dikatakan dihantar oleh badan tertinggi MKN kepada dua orang pegawai daerah berkenaan.
Menurut beliau, surat sulit itu sebagai bukti kemungkinan ada `tangan-tangan ghaib' disebalik arahan tersebut yang mengandungi soalan kepadan MKN Selangor kepada pegawai daerah berkenaan.
"Soalan itu berkenaan isu Selcat dan diharap pegawai daerah dapat bekerjasama kerana laporan ini akan dihantar ke MKN Pusat dan Perdana Menteri pada 9 Okober 2009, (Jumaat)," dedah beliau.
Beliau mempersoalkan mengapa surat sulit itu dihantar pada 9 Oktober sebab dua hari selepas itu pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.
Dalam surat itu juga tambah beliau, dinyatakan soalan yang perlu pegawai daerah itu jawab iaitu; `Apakah pandangan tuan berkenaan sesi Selcat; apakah soalan yang dibangkitkan dan diberikan dalam sesi Selcat; apakah komen Selcat; apakah pandangan tuan terhadap Speaker, Teng Chang Khim dan anggota Selcat serta pandangan terhadap exco Dato' Dr Hasan Ali dan komen beliau terhadap Selcat.'
Beliau menegaskan, tekanan MKN terhadap ketua jabatan berlaku ketika mana kerajaan Pakatan Rakyat mahu kerjasama daripada kakitangan dan ketua jabatan tetapi mereka mengatakan terdapat arahan begini.
"Kita khuatir terdapat tangan-tangan ghaib sebagaimana usaha yang dilakukan oleh MKN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," tegasnya.
Dalam perbahasan yang sama beliau turut mendedahkan tujuh orang yang ditamatkan pentaulihaan tanpa sebab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang jelas membuktikan Jais mempunyai niat yang tidak baik.
Antara mereka kata beliau, ketua jabatan sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini masih berkhidmat dan juga merupakan seorang lulusan peringkat kedoktoran.
Beliau mendakwa tindakan Jais itu melibatkan "tangan-tangan ghaib" tertentu kerana tidak menggambarkan semangat pentadbiran kerajaan Selangor yang 'pro-rakyat'.
Sebaliknya tambah beliau, tindakan Jais dalam penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Zainul Abidin itu menggambarkan tidak seiring jalan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan Jais.
Ekoran penangkapan Dr Asri itu, masyarakat menyamakan kerajaan Pakatan Rakyat sama saja seperti BN dulu yang sering menghalang dan menangkap ulama tanpa tauliah daripada berceramah.
Beliau berharap tanggapan masyarakat itu perlu dihapuskan kerana ulama dan ilmuan sepatutnya diberi tauliah sebagai pengikhtirafan mereka tanpa perlu memohon.
Tujuh orang yang tidak mendapat tauliah daripada Jais.
Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana
Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA
Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM
Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)

Lawak Dua Ekor Hantu

Tersebutlah kisah dua orang hantu. Mereka ni baru bertemu lalu merekapun berborak la untuk mengisi masa lapang kehidupan mereka sebagaihantu. Sepanjang perbualan mereka, Hantu B ni tak habis-habismenggigil.

Lalu, Hantu A yang kehairanan ni pun bertanya,"Apsal kau ni asyik menggigil je?""Oh..cara aku mati dulu teruk..aku mati dalam peti ais...sejuk! !" JawabHantu B sambil menggigil lagi."Ooo..kesian. .. aku dulu mati sebab heart attack." Kata Hantu A ramah."Kau memang sakit jantung kronik ye? Apsal ko tak gi buat operation?

Kalau tak, sure kau tengah lepak-lepak ngan family kau sekarang." BalasHantu B."Dah,aku dah buat dah! In fact mase aku mati tu, aku in recovery.Panjang ceritanya... " jawab Hantu A sayu."Ceritala sikit..Sambil- sambil lepak nih..

""Camni..Aku syak isteri aku main kayu tiga ngan aku. So this one day,aku ingat nak perangkap la isteri aku..Aku pura-pura gi keje tapi actuallyaku park keta aku kat simpang hujung umah aku je. Seperti yang akusyak, masuk sebuah keta kat carpark umah aku. Aku rilex dulu sebabnak carik mase sesuai tangkap diorang.

""So, ko dapatla tangkap diorang?" tanya Hantu B penuh minat."Tak. Aku cume jumpe isteri aku je kat dalam bilik. Yang aku heran,mase aku masuk umah tu, aku nampak ade kasut laki kat pintu umahaku. Aku tanye isteri aku tapi die tak mau jawab. So aku pun lari-larisekeliling umah aku nak carik jantan tuh. Abis sume bilik aku carik tapitakde pun..

Last-last, sebab aku penat sangat berlari cari jantan tuh, akupun jatuh pengsan sebab heart attack. And aku tak sangka aku matilak..." kata Hantu A mengakhiri ceritanya dengan kesedihan.Hantu B terdiam mendengarkan cerita Hantu A. Selepas beberapaketika, Hantu B berkata,"Apasal kau tak cari kat dalam peti sejuk?

Friday, November 13, 2009

SPRM merendahkan taraf wakil rakyat

Oleh SAIDAH HAIRAN
Pembentukan pasukan pemantau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperhalusi perjalanan Adun dan Ahli Parlimen dilihat lebih banyak menimbulkan implikasi negatif kerana ia ditubuhkan setelah kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir lima negeri.
Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar menegaskan pasukan pemantau SPRM itu ditubuhkan seolah-olah gejala rasuah atau penyelewengan itu tidak pernah berlaku terhadap Adun dan Ahli Parlimen di bawah BN.
"Saya beranggapan pemantauan ini dilakukan kerana gejala rasuah itu sesuatu yang lumrah berlaku di Dun dan Parlimen serta dikhususkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat," tegasnya ketika ditemui dewan Annex, dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau berkata, tindakan SPRM itu jelas merosakkan imej Adun dan Ahli Parlimen seolah-olah mereka manusia yang tidak boleh dipercayai.
Walaupun katanya mungkin SPRM lebih kepada Pakatan Rakyat namun imej buruk itu akan terus tercalar kepada semua wakil rakyat dan meletakkan Adun dan Ahli Parlimen dalam kedudukan yang paling rendah dan hina.
Mungkin juga tambah beliau, pada masa akan datang ramai golongan cerdik pandai tidak takut untuk menjadi Adun dan Ahli Parlimen khususnya dikalangan ahli politik Pakatan Rakyat.
"Kenapa mesti tumpu kepada Adun dan Ahli Parlimen, banyak lagi gejala rasuah yang tidak dapat diselesaikan dan dicari oleh SPRM," tegasnya.
Beliau menegaskan, wakil rakyat Pakatan Rakyat bekerja dengan ikhlas tetapi jika ada pasukan pemantau seolah-olah pergerakan diintai secara berterusan menyebabkan mereka dibayangi dengan kesalahan.
Sementara itu, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali menegaskan SPRM perlu memulakan satu usaha yang bersungguh-sungguh dengan pembentukan Jawatankuasa bagi memperhalusi laporan Ketua Audit Negara yang membuktikan berlaku ketirisan berjumlah 28 bilion dan telah disahkan oleh Menteri Kewangan kedua.
Beliau mempersoalkan, mengapa perkara itu tidak menjadi keutamaan penyiasatan SPRM untuk mengambil laporan Ketua Audit Negara serta menyiasat segera dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terlibat.
Beliau mempersoalkan mengapa persoalan peruntukan Adun dan Ahli Parlimen yang menjadi keutamaan kepada mereka.
Tindakan SPRM itu akan menimbulkan prasangka bahawa SPRM tidak bebas tetapi dibolosi oleh tangan-tangan negatif daripada kerajaan Pusat, tegasnya.
Setakat ini kata beliau, perspesi umum mengatakan bahawa SPRM telah digunakan oleh Umno untuk menekan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Beliau menegaskan jika betul matlamat SPRM kenapa tidak disiasat Ketua Audit Negara dan Adun Pelabuhan Kelang, apakah kerana beliau telah tinggalkan parti KeADILan maka kesnya ditutup.
Katanya, ini merupakan cabaran untuk memulakan siasatan Adun Pelabuhan Kelang yang telah menyalahgunakan peruntukan Adun dan Menteri Besar telah mengambil tindakan mengeluarkan surat tunjuk sebab begitu juga dengan parti KeADILan.
"Apa status kes tersebut mengapa ditutup apakah kerana semata-mata Adun Pelabuhan Kelang telah meninggalkan KeADILan," tegasnya.
Beliau yakin Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat adalah pemimpin yang bertanggungjawab dan dapat menguruskan kewangan mereka dengan amanah dan jika SPRM hendak menyiasat wakil rakyat Pakatan Rakyat bersedia memberi kerjasama tetapi mesti adil dan saksama.
Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak mengalu-alukan apa juga langkah SPRM untuk memantau pengurusan kewangan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.
Persoalannya kata beliau, kreadibiliti SPRM sedang dipertikai dengan hebat oleh masyarkat kerana dilihat tidak berupaya untuk menangani gejala rasuah dalam negara secara bersungguh-sungguh.
Justeru, kerana tindakan sebelum ini dilihat lebih cenderung untuk menekan kerajaan Pakatan Rakyat dan tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala pengurusan kewangan dilaksanakan dengan baik.

Thursday, November 5, 2009

Kita bertemu kembali

Setelah sekian lama ku meninggalkan blog kini rasa mahu menukilkan kembali. Kesempitan waktu melupakan sebentar blog ku.

Sibuk di PRK Bukit Gantang kemudian di Permatang Pasir dan terus ke Bagan Pinang, langsung tak ku sentuh blog ku. Berehat sebentar dari kelelahan di Bagan Pinang, terus terbang ke Padang, Sumetera.

Membuat liputan Yayasan Amal Malasyia menabur bakti kepada penduduk yang tertimpa bencara gempa bumi. Seronok juga walaupun hari pertama aku berasakan ah!!!nak cepat pulang ke Malaysia.

Biasalah anak manja yang sudah dilatih mendapat apa yang kemahuannya, bila susah sikit rasa tension...

Kini aku akan terus menerokai blog ku yang telah lama ditinggalkan. Kita bertemu kembali dan akan ada cerita serta pandangan dan kritikan menarik.

PADANG mengajar aku lebih mengenali Mu...


Sudah ku kata, tiada kata yang dapat kuluahkan melainkan beristighfar dan mengucap kalimah syadah ketika kaki ku sampai ke kampung Gunung Tigo, Tadikik, Padang, Sumetra tempat yang menelan 500 nyawa manusia.

Bagaikan tidak percaya tiga buah kampung ranap kerana tragedi gempa bumi melanda. Walaupun ramai orang berada di kawasan tragedi namun tiada kedengaran suara manusia yang ada hanya kebisingan jentolak yang sedang menolak runtuhan tanah. Semua yang hadir hanya termenung mungkin terfikir macam mana nasib manusia yang berada dalam tanah. Atau bagaimana ketika tiga kampung tersebut dilanda gempa bumi. Ya Allah, hanya Allah saja yang tahu bagaimana tragedi tersebut berlaku.

Allah SWT Maha Berkuasa. Tiga rumah yang berhampiran dengan bukit masih utuh. Sedangkan 300 buah rumah yang ranap termasuk masjid, surau dan sekolah rendah habis ditelan bumi. Begitu juga dengan 500 nyawa.

Enam hari saya berada di Padang, Sumetra tempat berlakunya gempa bumi banyak mengajar saya untuk terus mengenali siapa diri ini. Diri ini terlalu kerdil di sisi Allah. Malangnya, dalam kekerdilan ini adakalanya perasaan ego menguasai diri. Alhamdulillah, sekali sekala ada baiknya membuat liputan di tempat-tempat begini. Setidak-tidaknya boleh bermuhasabah diri.

Sukar untuk dinyatakan apakah hikmah disebalik gempa bumi itu. Sebab banyak kampung yang terkena bencana tersebut. Hari kedua saya bersama team perubatan menjelajah ke perkampungan pantai.

Kehadiran team perubatan memang sudah dinantikan oleh penduduk di situ. Mereka kelihatan gembira seolah-olah doktor yang hadir itu diumpamakan seperti artis. Mereka diserbu. Mahukan perubatan percuma.

Anak-anak diberi minum ubat cacing oleh Dr Rani Osman. Manakala Dr Nadihah dan Dr Rosli membuat pemeriksaan percuma dan pemberian ubat-ubatan. Ustazah Mariam Abd Rashid pula memberi pakaian percuma serta gula-gula dan wafer. Anak-anak begitu gembira seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini.
Dua jam saya berada di situ, kepala dan tekak saya mula loya. Peluh sejuk mula menitis itu tanda saya nak pitam. Saya cepat-cepat mencari tempat duduk dan cuba berbual dengan penduduk di situ. Malangnya, kepala saya lagi berat dan tekak saya bertambah loya.

Saya terus mencari sukarelawan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) supaya membuka toyota avanca, sebab saya nak duduk dan baring. Rupa-rupanya bukan saya je yang berada begitu, ustazah Mariam turut mual dengan persekitaran di situ.

Apa taknya, bau hanyir sisik ikan dan tahi kambing bersepah-sepah di tepi rumah. Di tambah pula dengan sampah sarap yang bersepah-sepah. Memang tidak menggembirakan suasana di situ.

Itu baru suasana. Melihat individu ramai yang kena penyakit kulit. Kudis sehingga merekah merah. Ya Allah memang geli. Tapi saya tabik spring kepada Dr Rani, Dr Nadihah dan Dr Rosli. Mereka menyantuni semua penduduk di situ dengan penuh mesra tanpa ada rasa geli. Mereka sentiasa tersenyum.

Hari ketiga saya mengikut team membuat khemah untuk penempatan sementara mangsa gempa bumi. Memang kasihan tengok rumah yang sudah hancur dan tiada barang yang dapat diselamatkan. Saya hanya mampu bersimpati tetapi tidak dapat membantu lebih daripada itu.

Saya pun tidak terfikir bagaimana jika perkara itu berlaku di Malaysia dan menimpa saya. Sudah tentu sekali saya akan trauma. Termenung berpanjangan.

Hari kelima saya merasai gegaran gempa itu berlaku. Ketika itu saya berada di penempatan. Bagaimana pun gempa itu dirasai hanya beberapa saat saja. Itu pun saya sudah berasa kecut perut. Sempat saya menghantar SMS kepada bos saya Lutfi Osman mengatakan berlaku gempa. Bos saya mendoakan semoga tiada apa-apa yang berlaku.

Ini merupakan kali kedua saya berada di Indonesia membuat liputan. Kali pertama ketika berlau tsunami di Aceh. Saya berhadapan dengan mayat dan terpaksa mandi air yang berbau lumpur. Tapi apakan daya terpaksa saya lalui. Akhirnya balik ke Malaysia badan saya gatal-gatal.

Perkara yang sama juga berlaku ketika di Padang. Nak mandi terpaksa pasang mesin untuk tarik air. Bau air pun serupa juga. Tapi itu semua pengalaman yang menarik untuk saya kenang di masa akan datang...cerita selanjutnya akan menyusul