Wednesday, May 28, 2008

Kehebatan Pakatan Rakyat Selangor makin terserlah

Oleh SAIDAH HAIRAN
LANGKAH Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim menangguhkan
penurunan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan premis komersial 10 peratus
menimbulkan kontroversi.
Sebelum itu tindakan bijak Abdul Khalid meneruskan projek ladang babi secara moden
turut dibidas oleh pimpinan Umno-BN, walaupun ketika pemerintahan BN-Umno dahulu
projek tersebut disokong oleh pihak-pihak tertentu.
Sejak Selangor diambil alih kerajaan Pakatan Rakyat (PAS, KeADILan dan DAP) 9 Mac
lalu, pimpinan Umno-BN terus melakukan serangan dan tohmahan ekoran sikap cemburu
diatas kejayaan Pakatan Rakyat memaut hati pengundi Selangor.
Kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat yang diketuai Abdul Khalid mentadbir Selangor
teruji pada awal-awal pemerintahan. Walaupun banyak pihak berpendapat kerajaan baru atau seseorang pemimpin itu wajar
diberi peluang membuktikan kemampuan mereka dalam tempoh 100 hari selepas dipilih,
tetapi kerajaan Pakatan Rakyat sudah membuktikan belum dua bulan memerintah sudah
menunaikan janji memberi air percuma bagi 20 meter padu pertama.
Beberapa hari saja penduduk Selangor terutama mereka yang berada di tahap miskin dan
sederhana akan terasa ringan bebanan kerana dapat menikmati penggunaan air paip
percuma, pada 1 Jun nanti.
Sudah pasti rakyat Selangor tidak menyesal kerana memilih kerajaan Pakatan Rakyat
untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Umno-BN yang rakus dan kejam terhadap
rakyat.
Bertambah gembira apabila setiap anak negeri yang berjaya ke universiti akan diberi
hadiah sebanyak RM1,000 bermula Julai ini.
Di atas kecemburuan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat, mantan Menteri Besar yang
sekarang ini sebagai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo terus
menjalankan tugas menghasut rakyat supaya segera menagih tawaran yang dijanjikan
dalam manifesto.
Pendedahan daripada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus ketika perbahasan usul titah
ucapan Tuanku Sultan, beberapa hari selepas kemenangan Pakatan Rakyat, Khir
menghasut warga emas di Kuala Langat supaya mendapatkan rawatan percuma di
Poliklinik Sijangkang, kebetulan klinik tersebut kepunyaan Dr Ahmad.
Bukan itu saja Khir Toyo mendesak penduduk Kuala Langat meminta kerajaan menunaikan
segera tawaran yang terkandung dalam manifesto.
Apakah Khir yang pernah menjadi orang nombor satu di negeri Selangor terlupa bahawa
rawatan kesihatan percuma itu menjadi tanggungjawab kerajaan bukan pemilik-pemilik
klinik swasta.
Seharusnya Khir memahami bahawa tawaran dalam manifesto itu tidak boleh
dilaksanakan serentak lebih-lebih lagi kerajaan Pakatan Rakyat belum sampai 100 hari
memerintah.
Tema Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan bukan setakat di atas kertas manifesto
tetapi pimpinan Pakatan Rakyat akan melaksanakan demi kebajikan dan pembelaan nasib
rakyat.
Ketelusan dan kebertanggungjawaban diutamakan. Lantas Khalid Ibrahim memanggil
Ketua Pengarah BPR memberi taklimat kepada para exconya supaya tidak sekali-kali
melakukan penyelewengan atau rasuah.
Pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan bertolerasi dengan mana-mana pihak yang terlibat
dengan rasuah.
Pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN terdahulu akan dihentikan,
antaranya seperti kontrak yang tidak munasabah harganya. Sebaliknya kerajaan
Selangor akan melaksanakan tender terbuka.
Di bawah exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan yang dipengerusikan
oleh Dr Halimah Ali akan dilaksanakan Selangor sebagai Hub-Ilmuan. Semua pakar-pakar
ilmu dan dakwah akan berpusat di Selangor.
Menyedari masalah pengangguran bertambah dari tahun ke tahun, tindakan terkini
kerajaan dalam proses mendaftarkan belia dan remaja yang menganggur berumur antara
21 hingga 35 tahun supaya diberi latihan berdasarkan minat sebelum diberi kerja yang
sesuai.
Tanpa memikirkan serangan dan tohmahan daripada pimpinan Umno-BN melalui media
massa, kerajaan Pakatan Rakyat berikrar akan menyelesaikan masalah pekerja yang
sudah lama bekerja tetapi masih dibayar gaji kurang daripada RM1500 sebulan.
Justeru, kerajaan di ketuai Khalid sedang mengkaji dasar baru supaya semua pekerja di
Selangor yang baru dilantik mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,500 sebulan.
Bukan itu sahaja kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden dan AJK
MTUC, pimpinan Cuepacs, serta para majikan untuk meneliti faedah perubatan,
persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan, bonus termasuk soal pemecatan
pekerja yang didapati melakukan kesalahan tertentu.
Rakyat Selangor akan mendapat berita gembira selepas kerajaan memerintah 100 hari
kerana Menteri Besarnya akan mengumumkan projek atau idea baru yang memberi
kenikmatan kepada semua rakyat.
Adun Ijok itu merupakan mantan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan
Guthrie, bukan saja mempunyai pengalaman mentadbir 50,000 kakitangan tetapi
berpengetahuan luas dalam ekonomi dan tiada tolok bandingnya dengan Khir Toyo.
Justeru, tidak mustahil Selangor akan mengikut jejak kejayaan Kelantan yang ditadbir
PAS selama lima penggal di bawah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dun Selangor catat sejarah lanjut persidangan

Saidah Hairan Wed

SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor mencatat sejarah apabila dilanjutkan waktu perbincangan hingga ke malam bagi menyelesaikan semua perkara berbangkit yang tidak pernah berlaku ketika pemerintahan Umno-BN. -->-->
Selain melanjutkan tempoh perbincangan, persidangan selama tiga hari itu turut membenarkan 31 Adun pihak kerajaan dan pembangkang berbahas serta meluluskan usul mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Malangnya perbahasan tersebut tidak disertai Ketua Pembangkang dan Adun Umno-BN kerana telah meninggalkan Dewan sejak jam 6 petang.
Sidang Dun ke-12 di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat itu bermula hari Rabu jam 10 pagi hingga 4.30 petang; Jumaat 9.30 hingga 5.30 petang dan Isnin 10.00 pagi hingga 9.00 malam.
"Inilah sidang paling panjang dalam sejarah tak pernah berlaku macam ni," kata seorang Pegawai Kerajaan ketika makan di bangunan Avenue bersebelahan bangunan Dun.
Sidang Dun tahun 2004 di bawah kepimpinan Umno-BN turut tercatat dalam sejarah kerana persidangan paling pendek diadakan iaitu hanya sehari.
Mungkin disebabkan pembangkang tidak kuat menyebabkan Menteri Besar ketika itu, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mempunyai kuasa `veto' terhadap segala keputusan persidangan.
Hari pertama persidangan menyaksikan Khir Toyo selaku Ketua Pembangkang ditegur oleh Speaker, Teng kerana tidak memahami Peraturan Mesyuarat 36 (7) yang digunakan untuk memberi penjelasan.
Teng berkata, Peraturan Mesyuarat berkenaan adalah peraturan di bawah mesyuarat tetap yang mana seorang ahli tidak boleh menganggu sewaktu Menteri Besar berucap.
Khir telah menyalahgunakan Peraturan Mesyuarat itu bukan untuk mengajukan soalan tetapi lebih kepada membela dirinya ekoran Menteri Besar menjelaskan kerajaan negeri ketika itu Umno-BN telah menjalankan usaha sama dengan beberapa syarikat swasta untuk pembangunan negeri Selangor.
Bagaimanapun, projek usahasama itu telah menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa menanggung risiko ekoran berlaku penyelewengan di antara usaha sama itu.
Dalam sidang DUN itu menunjukkan sikap keterbukaan dan kesediaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyerahkan tugas kepada exco-exco untuk menjawab soalan daripada Adun kerajaan dan BN berkaitan portfolio masing-masing.
Perkara ini tidak berlaku di era kepimpinan Khir Toyo. Segala permasalahan yang diajukan daripada Adun pembangkang ketika itu DAP, PAS dan KeADILan hanya beliau saja yang layak menjawab.
Walaupun exco kerajaan Pakatan Rakyat tiada berpengalaman namun Speaker berpuas hati kerana mereka membuat persediaan dan kajian sebelum menggulung perbahasan.
Teng mengakui perkara itu ketika ditemui di luar dewan selepas dua hari mempengerusikan persidangan DUN.
Lebih menarik dalam sesi perbahasan Adun Pakatan Rakyat yang mempertikaikan sikap Khir menghasut rakyat Selangor supaya segera menuntut tawaran manifesto, beliau hanya mampu menundukkan muka.
Mungkin mahu mengelak diri daripada difokus oleh kamera dan web tv Selangor.
Sidang Dun kali pertama di bawah kerajaan Pakatan Rakyat telah diadakan secara langsung melalui web Selangor dengan kos sebanyak RM13 ribu selama empat hari.
Walaupun sidang ditangguhkan hingga ke malam tiada wajah kecewa atau kesal yang ditunjukkan oleh exco dan Adun Pakatan Rakyat.
Semua exco dan Adun yang keluar dari dewan berwajah ceria, walaupun berbahas tanpa dihadiri pembangkang Umno-BN.
Apa yang penting, kerajaan Pakatan Rakyat perlu belajar daripada kesilapan, keangkuhan dan kerakusan pimpinan Umno-BN yang diterajui Khir Toyo.
Sikap sombong atau besar diri tidak membawa keuntungan sebaliknya akan membinasakan parti dan diri.
Inilah hikmah Khir menghadiahkan penyapu kepada Pegawai Kerajaan sehingga menyebabkan PAS, DAP dan KeADILan menguasai sidang Dun kali ke-12. - mns

Saturday, May 24, 2008


Speaker teruji dalam sidang DUN pertama

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Kewibaan dan ketegasan Speaker Teng Chang Khim teruji di hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) apabila ramai dikalangan Adun Umno-BN bangun meminta penjelasan dengan merujuk peraturan mesyuarat.
Ketegasan itu dilihat apabila Teng menolak bantahan daripada Templer, Dato' Subahan Kamal yang menggunakan peraturan mesyuarat 36(6) mendakwa ucapan perbahasan Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berunsur sangka jahat.
Dalam perbahasan itu, Azmin hanya menyebut perkataan Mongolia dan Makkal Shakti...
Bagaimanapun, Speaker menolak bantahan tersebut kerana Bukit Antarabangsa hanya berucap secara umum dan tidak menyebut nama individu.
Sri Serdang, Dato' Mohamed Satim Diman turut mempertikaikan ucapan Azmin yang dilihat membaca teks dengan merujuk Peraturan Mesyuarat.
Sekali lagi Speaker menjelaskan; "Saya tidak nampak YB Bukit Antarabangsa membaca teks tetapi hanya merujuk."
Penjelasan Speaker itu disambut dengan tepukan di atas meja oleh semua Adun Pakatan Rakyat.
Turut kedengaran Adun BN mengatakan tiada lagi kejadian Adun membuang buku peraturan mesyuarat ke dalam bakul sampah.
(Kenyataan ini merujuk tindakan Adun Sungai Pinang, Teng Chang Khim ketika Dato'Seri Dr Mohd Khir Toyo menjadi Menteri Besar.
Speaker menjawab, dulu terdesak sekarang tidak (sambil tersenyum). Lantas beliau berpantun;

Dulu-dulu, sekarang-sekarangDulu pembangkang sekarang kerajaanDulu nak cakap masa kekuranganSekarang ada masa peluang disia-siakan.
Dalam perbahasan sulung Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut mengusulkan supaya sidang DUN dipanjangkan selama sebulan.
Ini kerana katanya, masa yang diberi salam tiga hari tidak cukup untuk membongkarkan segala masalah yang dilakukan oleh kerajaan BN-Umno.

Pemimpin perlu rai pandangan rakyat

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Presiden PAS,Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli dan pimpinan PAS bahawa dalam kejayaan memerintah beberapa buah negeri tiga perkara perlu dipelihara iaitu memperkasakan Pakatan Rakyat, Kepimpinan yang menunaikan kewajipan yang betul dan pengikut yang berjaya bersama jemaah dengan cara sebaik-baiknya.
Menurut beliau, pimpinan PAS perlu bersikap terbuka kerana Islam mengajar umatnya terbuka untuk memberi kefahaman kepada orang lain tentang ajaran Islam sebelum menyuruh mereka mengikut ajaran tersebut.
Katanya, pimpinan PAS perlu mengutamakan diri sendiri untuk melaksanakan perintah Allah bagi membuktikan keperibadian seorang ahli gerakan Islam yang dihormati.
"Sebelum kita menguatkuasa Islam kepada orang lain kita perlu menguatkuasakan dalam diri kita sendiri untuk dijadikan contoh kepada orang lain," katanya dalam ucapan perasmian Ijtimak ke-18 PAS Negeri Selangor di Kompleks Belia dan Kebudayaan di Shah Alam, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak mampu mencari kepimpinan seperti Rasulullah s.a.w,Abu Bakar As-Sidek, Umar r.a, Usman dan Ali tetapi yang penting pemimpin perlu mencontohi kepimpinannya.
Katanya, kepimpinan adalah satu amanah daripada Allah bukan satu peluang.
Beliau mengingatkan pimpinan PAS supaya bersikap terbuka kerana pemimpin dalam Islam bukan Tuhan tetapi mempunyai kelemahan.
"Walaupun kita bijak,cerdik dan pandai tetapi kita sebagai manusia tetap mempunyai kelemahan,"jelasnya.
Rasulullah melaksanakan prinsip bukan sahaja menerima pandangan daripada tokoh-tokoh besar tetapi tetap menerima pandangan rakyat biasa, golongan muslimat serta isteri-isteri yang dianggap lemah.
Sebagai contoh katanya, dalam peristiwa Udaibiyah Ummu Salamah telah menyelesaikan masalah kebuntuan apabila sebahagian sahabat tidak melakukan tahalul yang diperintah oleh Nabi disebabkan rasa tidak puashati dengan perjanjian Udaibiyah.
Menurut beliau, Rasulullah bersikap terbuka sebagai seorang pemimpin dan dalam masa yang sama Baginda bermesyuarat serta menerima pandangan golongan cerdik dan rakyat biasa.
Katanya jika pandangan rakyat tidak betul mereka tidak dicela.
Inilah akahlak yang memelihara kepimpinan Islam bukan saja melaksanakan perintah Allah dalam masa yang sama dapat menarik penyokong dan orang bukan Islam dapat masuk Islam.
Selain itu beliau turut mengingatkan Ulama-ulama PAS supaya berani berijtihad memberikan pandangan dan jangan jumud dalam menghadapi masalah-masalah semasa.
Ini kerana katanya, apa yang menjadi masalah kelemahan dikalangan orang Islam ialah ulama-ulama tidak mampu mempertejamahkan Islam dengan cabaran semasa yang dialami oleh umat Islam.
Beliau berkata, dalam PAS wujud berbagai-bagai kalangan Ulama yang ahli dalam bidang Islam dan profesional yang ahli dalam berbagai bidang.
Menurut beliau, PAS perlu mewujudkan kepimpinan kolektif dengan memelihara ahlak jemaah dapat meraikan satu kepimpinan yang kuat teguh.
Secara langsung ia dapat menyampaikan mesej PAS walaupun PAS dalam golongan tersedikit dalam pemerintah tetapi yang penting kejayaan pemimpin PAS memimpin.
Beliau mengingatkan ahli PAS mesti berani dan jangan menjadi tukang ampu kerana diantara sebab kerosakan Umno mempunyai pengikutnya kaki mengampu.
"Umno mencari kesalahan pemimpinnya ketika pemimpin tersebut jatuh, PAS jangan jadi seperti itu,"pesan beliau kepada lebih 1700 orang peserta Ijtimak.

Rakyat Selangor berhak terima tawaran manifesto

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - AJK PAS Pusat, Mohamad Hanipa Maidin berpandangan janji-janji Pakatan Rakyat dalam manifesto untuk menghapuskan cukai taksiran dan pemberian RM1000 kepada anak Selangor yang berjaya ke universiti perlu ditunaikan segera bagi memberi keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat.
Menurut beliau antara sebab rakyat memberi undi kepada calon PAS dan KeADILan dalam pilihan raya lalu kerana tertawan dengan janji-janji dalam manifesto.
"Rakyat berhak untuk menerima apa yang ditawarkan dalam manifesto BA Selangor dalam pilihan raya umum lalu,"katanya dalam Ijtimak PAS ke-18 di Shah Alam.
Menurut beliau,jangan hantar satu petanda kepada rakyat supaya mereka tidak lagi mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, hilang duit tidak bahaya jika dibandingkan dengan hilangnya kepercayaan atau keyakinan daripada rakyat.
Katanya, jika ada perkara yang kerajaan Selangor tidak boleh laksanakan tawaran dalam manifesto secara serta merta jangan menggunakan alasan tidak boleh menunakan janji.
"Rakyat menyokong kerajaan disebabkan tertawan dengan janji-janji dalam manifesto dan mereka berhak untuk menerima segala tawaran tersebut,"katanya.
Menurut beliau, antara yang perlu difikirkan bagaimana mahu mendidik ahli-ahli parti bagi memahami apa itu kawalan pentadbiran yang baik.
"Kita kena akui ahli PAS dididik sebagai pembangkang. Kita perlu mempelajari bagaimana hendak mengubah fikiran menjadi orang yang memerintah,"katanya.
Dalam pada itu beliau berharap Kerajaan Selangor perlu menerbitkan akhbar untuk memberi penjelasan kepada rakyat yang diberi secara percuma.
Beliau tidak setuju dengan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat yang melancarkan boikot Utusan Malaysia kerana sebagai sebuah parti yang memerintah wajar menerima segala kritikan walaupun pedas.
"Kalau kita mahu demokrasi hidup, kita mesti laksanakan memberi maklum balas supaya kita tidak dilihat sebagai orang yang tidak boleh menerima kritikan,"tegasnya.

Masjid dan surau dipengaruhi Umno selama 50 tahun

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 23 Mei (Hrkh) - Menyedari kepentingan khutbah yang boleh membantu membaiki akhlak diri, keluarga dan umat Islam kerajaan Selangor akan melaksanakan khutbah secara online melalui e.khutbah.
Menurut exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Kemudahan Infrastruktur, Dato' Dr Hasan Ali berakat, E.Khutbah secara online itu akan dipasang di masjid dan surau seluruh negeri Selangor.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan yang diutarakan oleh Adun Meru, Dr Rani Othman (PAS) tentang urus tadbir masjid dan surau di Selangor.
Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah melantik jawatankuasa khusus untuk membuat khutbah yang tiada kaitan dengan pengaruh politik.
Ini berikutan tambah beliau, masalah yang selama ini dihadapi oleh kebanyakan masjid dan surau apabila ia dikuasai pengaruh politik BN-Umno.
"Proses mengUmnokan masjid dan surau telah lama berlaku sejak 50 tahun BN-Umno memerintah Selangor sehingga matlamat penubuhan masjid itu tidak jelas,"tegasnya.

Beliau menjelaskan, Selangor mempunyai 361 masjid dan 1758 surau dengan 7581 orang AJK masjid, 36,918 surau dan kedua-duanya mempunyai 44,499 orang AJK.
Malangnya selama ini sebahagian besar AJK masjid dan surau merupakan AJK Umno cawangan dan AJK Umno Bahagian.
Sebab itu kata beliau, ada dikalangan AJK masjid yang menyimpan wang tunai hasil kutipan derma sebanyak RM15 ribu dan ada yang telah menggunakannya terlebih dahulu.
Katanya, perkara itu berlaku disebabkan Jawatankuasa audit masjid tidak berfungsilangsung.
Beliau turut mencadangkan AJK masjid perlu diurus tadbir oleh golongan muda yang mempunyai kelulusan akademik sekurang-kurangnya SPM, diploma dan ijazah.
"Saya berusaha mahu menjadikan masjid sebagai pusat dakwah kerana Selangor merupakan negeri yang paling ramai pakar dakwah,"tegasnya.
Dibawah kerajaan Pakatan Rakyat beliau berkata, bukan saja masjid bahkan To'kong, Gereja dan kuil akan dijadikan gelanggang tempat mengubati penyakit rakyat.
Adun Meru, Dr Rani dalam soalan tambahannya minta penjelasan tentang senarai nama AJK yang digugurkan dan diganti dengan nama lain yang menyokong Umno. Apakah budaya ini akan diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat?
Dr Hasan berkata, itu merupakan budaya yang diwarisi Umno lebih 50 tahun yang menggugurkan senarai nama yang tidak selari dengan prinsip Umno.
Soalan tambahan Adun Dusun Tua, Ismail Sani (Umno), apakah tindakan yang akan diambil terhadap AJK masjid yang disyaki seleweng dana.
Menurut Hasan, jika laporan kesalahan itu ditafsirkan sebagai jenayah kerajaan akan menggunakan saluran undang-undang tetapi jika boleh dimaafkan mereka akan diberi nasihat dan motivasi.

Segera peruntukkan rumah setinggan

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berharap kerajaan Pakatan Rakyat tidak meneruskan dasar BN dengan melaksanakan polisi setinggan sifar tanpa mempunyai sikap tolak ansur dengan golongan miskin.
Menurut beliau kerajaan sekarang perlu menyediakan rumah rakyat dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan setinggan.
Beliau yang berucap dalam perbahasan menjunjung titah ucapan Tuanku Sultan pagi tadi kesal kerana 68 penduduk Melayu di kampung Berembang tidak mendapat pembelaan di bawah pemerintahan kerajaan BN selama 50 tahun.
Katanya, kerajaan BN selama ini tidak berusaha membela mereka sebaliknya menggelar mereka sebagai penyangak atau samseng kerana enggan berpindah daripada kampung Berembang.
Azmin berharap kerajaan Selangor perlu menyegerakan bantuan kepada penduduk setinggan dengan mengadakan peruntukkan rumah kos rendah.
"Dalam hal ini saya menegur Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) lebih berpihak kepada pemaju dan tidak peduli dengan golongan miskin seperti di Kampung Berembang,"tegasnya.
Beliau berkata, PNSB mesti segera mendesak pemaju supaya memberi keutamaan kepada peneroka bandar dengan membina rumah kos rendah dengan harga RM35 ribu seunit.
Dalam perbahasan itu beliau turut menyelar sikap dan tindakan pimpinan Umno yang cuba membela nasib orang Melayu malangnya ia dilaksanakan selepas pilihan raya umum, 8 Mac lalu.
Menurutnya, pendirian Pakatan Rakyat tetap mengutamakan agenda Melayu Umat Islam dan tidak akan berkompromi tetapi sebagai pemimpin Melayu Islam ia dituntut berlaku adil kepada orang India, Cina dan semua kaum.

Sunday, May 18, 2008

JASA IBU TIADA TANDINGAN

Belum terlewat untuk ku ucapkan Selamat hari Ibu buat ibu-ibu di seluruh dunia. Apabila tiba hari Ibu semua anak-anak terkial-kial mencari idea untuk membahagiakan Ibu masing-masing. Ada yang membawa ibu pergi makan di restoren, tidur di hotel, berjalan-jalan, hadiahkan baju, cincin, rantai, kasut dan sebagainya. Semuanya kerana mahu membuktikan bahawa kita menyambut hari Ibu.



Apakah itu yang ibu mahukan? Cukupkah bukti kasih sayang seorang anak kepada ibunya dengan sekadar menghadiah sehelai tuala, baju atau sebentuk cincin atau membawa berjalan-jalan, makan di restoren dan sebagainya?



Apakah hak seorang ibu untuk mendapat kasih sayang daripada anak-anak setahun sekali? Ketika hari Ibu, anak-anak sibuk menelefon ibu yang tinggal di kampung konon bertanya khabar. Begitu juga apabila musim buah-buahan anak-anak di kota boleh pula mengambil cuti pulang ke kampung konon rindu dengan ibu, walhal mahu melantak buah-buahan.



Setahun 365 hari, malangnya jasa ibu hanya dikenang sehari iaitu ketika Sambutan Hari Ibu. Rindu ibu hanya diterjemahkan ketika musim buah-buahan. Inilah nasib malang seorang ibu.



Cerita Ikhsan dan Demi Masa yang ditayangkan baru-baru ini di TV3 amat meninggalkan kesan di hati saya. Pengorbanan seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya menderita dibalas dengan penghinaan daripada seorang anak lelaki.



Anak sanggup melupakan segala jasa seorang ibu semata-mata mahu mengejar kekayaan dan menjaga populariti. Sedangkan ibu yang tinggal di kampung sentiasa berdoa semoga anak yang dibelai sejak kecil mendapat kebahagiaan dunia akhirat.



Kerinduan hati ibu tidak terubat selagi tidak menatap wajah si anak. Malangnya anak durjana terus melupakan seibu. Penderitaan ibu membawa kematian. Anak tersedar daripada lamunan apabila segala urusan dunia banyak halangan.



Ketika dilanda masalah anak mencari ibu di kampung. Ibu yang dipinggirkan dan dilupakan tetap bermurah hati mengampunkan dosa-dosa anak durjana. Inilah besarnya pengorbanan ibu.

Jasa ibu tiada tandingan.

Salam Perkenalan

Selamat melayari blog saya. Bagi menyambut seruan dakwah untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan saya membuka blog ini. Matlamat saya mahu melihat Islam tertegak di dunia ini. Saya mahu melihat manusia di atas dunia ini mendapat keredaan Allah ketika berhadapan dengan-Nya di akhirat.

Atas tugasan yang tidak seberapa ini, saya bertanggungjawab untuk menyebarkan kebenaran. Saya mengalu-alukan sumbangan idea dan kritikan bagi memantapkan blog saya.