Sunday, May 18, 2008

JASA IBU TIADA TANDINGAN

Belum terlewat untuk ku ucapkan Selamat hari Ibu buat ibu-ibu di seluruh dunia. Apabila tiba hari Ibu semua anak-anak terkial-kial mencari idea untuk membahagiakan Ibu masing-masing. Ada yang membawa ibu pergi makan di restoren, tidur di hotel, berjalan-jalan, hadiahkan baju, cincin, rantai, kasut dan sebagainya. Semuanya kerana mahu membuktikan bahawa kita menyambut hari Ibu.



Apakah itu yang ibu mahukan? Cukupkah bukti kasih sayang seorang anak kepada ibunya dengan sekadar menghadiah sehelai tuala, baju atau sebentuk cincin atau membawa berjalan-jalan, makan di restoren dan sebagainya?



Apakah hak seorang ibu untuk mendapat kasih sayang daripada anak-anak setahun sekali? Ketika hari Ibu, anak-anak sibuk menelefon ibu yang tinggal di kampung konon bertanya khabar. Begitu juga apabila musim buah-buahan anak-anak di kota boleh pula mengambil cuti pulang ke kampung konon rindu dengan ibu, walhal mahu melantak buah-buahan.



Setahun 365 hari, malangnya jasa ibu hanya dikenang sehari iaitu ketika Sambutan Hari Ibu. Rindu ibu hanya diterjemahkan ketika musim buah-buahan. Inilah nasib malang seorang ibu.



Cerita Ikhsan dan Demi Masa yang ditayangkan baru-baru ini di TV3 amat meninggalkan kesan di hati saya. Pengorbanan seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya menderita dibalas dengan penghinaan daripada seorang anak lelaki.



Anak sanggup melupakan segala jasa seorang ibu semata-mata mahu mengejar kekayaan dan menjaga populariti. Sedangkan ibu yang tinggal di kampung sentiasa berdoa semoga anak yang dibelai sejak kecil mendapat kebahagiaan dunia akhirat.



Kerinduan hati ibu tidak terubat selagi tidak menatap wajah si anak. Malangnya anak durjana terus melupakan seibu. Penderitaan ibu membawa kematian. Anak tersedar daripada lamunan apabila segala urusan dunia banyak halangan.



Ketika dilanda masalah anak mencari ibu di kampung. Ibu yang dipinggirkan dan dilupakan tetap bermurah hati mengampunkan dosa-dosa anak durjana. Inilah besarnya pengorbanan ibu.

Jasa ibu tiada tandingan.

No comments: