Thursday, April 23, 2009

Bersih Nama dalam Sidang Selcat

Khir lepas peluang bersih nama dalam sidang Selcat

Oleh: SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo menyifatkan pendengaran awam secara terbuka yang dilakukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hanya bertujuan membuat serangan peribadi dan menjatuhkan reputasi untuk memenangi kerusi Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Selcat yang dipengerusikan Speaker DUN, Teng Chang Khim telah mengadakan pendengaran awam selama lapan hari di dewan Annex, Shah Alam berhubung isu sumbangan anak syarikat kerajaan Selangor (GLC) ke dalam dana Badan Amal dan Kebajikan isteri-isteri wakil rakyat (Balkis).

Dalam pendengaran awam, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datin Khairiyah Abu Hasan mendedahkan (PNSB) memperuntukkan sumbangan RM1 juta setiap tahun bermula tahun 2002 hingga 2007 kepada Balkis dan sumbangan dalam tempoh itu sebanyak RM5,186,588.20.

Beliau turut mengakui menerima arahan Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik mengiringi beliau melawat anaknya di Melbourne, Australia pada 6 Februari 2007 dengan kos perbelanjaan rasmi RM14, 900.

PNSB memberi sumbangan kepada Khir sepasang jaket jenama 'Summer Man' bernilai RM3,600 sempena sambutan Tahun Baru Cina selain jam tangan bernilai RM159,000.

Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohamad Nordin Darhan, Pengerusi KDEB Abdul Karim Munisar dan bekas Pengurus Besar PKNS, Dato' Harun Salim turut mengakui membayar segala perbelanjaan Balkis.

Antaranya, tajaan majlis makan malam bernilai lebih RM700,000, pembelian coklat kira-kira RM25,000 dan perbelanjaan penerbangan udara oleh pemimpin Balkis lebih RM170,000 ke China bagi membeli cenderahati untuk programnya.

Mengulas dakwaan tersebut, ahli Jawatankuasa Selcat, Saari Sungib menegaskan, Selcat membuat pendengaran awam berdasarkan maklumat yang tercatat dalam fail Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datin Khairiyah.

Katanya, AJK Selcat menerima maklumat tersebut berdasarkan angka dan butiran yang dikemukakan oleh Khairiyah yang bertanggungjawab pada keseluruhan syarikat PNSB.

"Mungkin Khairiyah menjawab dengan fakta, andaian dan ulasan ketika disoal siasat. AJK Selcat akan membuat kajian dan menilai selepas dibentang dalam sesi sidang DUN Julai nanti," katanya.

Menurut beliau, laporan itu akan dibahaskan dan diluluskan mengikut persetujuan sidang DUN dan jika ada Adun BN yang menentang keputusan itu selepas dibahaskan mereka dianggap menghina Dewan.

Justeru, katanya, Khir dan Zaharah yang diberi peluang sama dengan PNSB, KDEB, PKNS dan saksi yang lain rugi kerana tidak menggunakan peluang yang ada untuk menjelaskan persoalan Balkis dan perjalanan GLC.

"Kita mendengar pengakuan Khairiyah menerima arahan dan banyak menjawab `terpaksa', jadi siapa yang paksa atau memberi arahan sudah tentu `orang atasan' dalam PNSB iaitu bekas Menteri Besar Selangor," tegasnya.

Beliau berkata, jawapan itu yang AJK Selcat dan semua yang hadir dengar bukan Selcat hendak memburuk-burukkan Khir Toyo.

"Kita terkejut apabila dimaklumkan PNSB turut menaja antaranya perjalanan anak, isteri dan pembantu rumah Khir ke Dubai dan Yaman," katanya.

Beliau menegaskan, semua dokumen yang didedahkan oleh PNSB, KDEB, PKNS melibatkan ratusan ribu telah disumbangkan kepada Balkis dari tahun 2002 hingga 2007.

Menurut beliau, Selcat bertujuan mengkaji kelemahan dan tidak mahu kerajaan Pakatan Rakyat mengulangi kesilapan lalu dengan penyalahgunaan kuasa kerajaan BN.

Katanya, kerajaan dahulu (BN) dan sekarang sama pentadbiran dibantu anak-anak syarikat cuma bezanya pertukaran Adun, ahli Parlimen serta exco.

Beliau menegaskan jika betul Selcat telah menjatuhkan imej Khir kenapa beliau tidak menggunakan peluang untuk membersihkan namanya dalam pendengaran awam secara terbuka.

"Sudah tentu beliau boleh menjawab dengan panjang lebar," katanya.

Mencari Kesempatan

Umno-BN mencari kesempatan menyerang Pakatan Rakyat

Oleh SAIDAH HAIRAN

Isu gambar dan video bogel Adun Bukit Lanjan yang diedarkan kepada umum diambil kesempatan sepenuhnya oleh Umno-BN untuk memerangkap keyakinan rakyat terhadap ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat.

Jika Adun Umno-BN yang berada di situasi itu sudah pasti gambar dan videonya tidak akan disebarkan kepada umum.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna pimpinan Umno-BN itu suci sesucinya tetapi mereka berperanan jahat mahu menjatuhkan musuh politiknya dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.

Apa yang dibimbangi Adun tersebut yang juga exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar menjadi mangsa ugut kerana setiap wakil rakyat Pakatan Rakyat yang bermasalah akan digunakan sepenuhnya oleh Umno-BN.

Tarikh keramat 8 Mac 2008 telah membawa perubahan kepada rakyat di lima buah negeri. Daripada hidup di bawah kekangan kedangkalan Umno-BN, cahaya kebahagiaan terpancar untuk bernaung di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Bermula tarikh itulah semua kamera dan media arus perdana menghalakan corongnya kepada semua pimpinan PAS, DAP dan KeADILan. Silap langkah segala perbuatan dan kenyataannya akan digembar gemburkan tanpa memikirkan hak dan perasaan pimpinan tersebut.

Justeru, berhati-hati apabila sudah ditabalkan menjadi seorang pemimpin. Akhlak dan moral merupakan perkara utama yang patut ada dalam diri setiap individu yang dinobatkan wakil rakyat. Ini amat penting supaya musuh tidak mudah mempergunakan kita.

Negara maju tidak berkompromi dalam soal akhlak dan moral jika ia melibatkan pimpinan mereka. Pimpinan mereka mengelak jika terlibat dalam skandal seks, rasuah dan penipuan.

Malangnya di Malaysia tindakan drastik akan diambil terhadap perbuatan yang melibatkan seks khususnya jika ia melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Jika skandal seks itu melibatkan pemimpin Umno-BN atau kerajaan mereka menggunakan kuasa rasuah dan wang untuk menutup skandal tersebut.

Ugutan, tawaran wang dan pangkat merupakan tektik kotor yang menjijikkan yang digunakan oleh Umno-BN untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat atau mendesak Adun melompat parti.

Dalam isu Elizabeth Wong Keat Ping polis belum memulakan siasatan, malangnya Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dengan lantang mendesak Elizabeth meletakkan jawatan.

`Secepat mungkin,' inilah desakan jelek oleh mantan Menteri Besar Selangor itu yang katanya akan membersihkan nama parti KeADILan.

"Jika tidak, ia adalah parti yang tak ada moral," dakwa Khir Toyo.

Persoalannya, apakah selama ini Umno-BN mempunyai pimpinan yang bermoral dan berakhlak. Apakah calon Umno-BN selama ini melepasi saringan untuk bertanding dalam pilihan raya? Apakah Umno-BN yang berkuasa selama 51 tahun membuktikan ia sebuah parti yang bermoral?

Umno-BN cukup pakar dan cepat menyerang apabila tercetus satu isu yang mengaibkan pimpinan Pakatan Rakyat. Media arus perdana terutama laporan berita RTM dan TV3 setiap hari akan terus menelanjangkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Perkara yang kecil akan terus dibesarkan, inilah tabiat buruk pimpinan Umno-BN. Ia bukan perkara baru tetapi telah berakar umbi dan sukar untuk dihapuskan, kerana dengan tabiat buruk itu sajalah Umno-BN akan meneruskan kuasanya.

Sebelum Elizabeth dijadikan sasaran jelik Umno-BN, exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali turut dilemparkan fitnah kononnya ditangkap basah di sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Atas tuduhan yang tidak berasas itu Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang telah memfailkan saman sebanyak RM40 juta kepada sebuah laman web pro-Umno.

Kenapa Khir Toyo tidak bersuara dalam kes Dr Halimah. Sekurang-kurangnya beliau boleh memberi amaran kepada pemilik laman web terlibat supaya berhati-hati dalam menyebarkan maklumat. Bukan secara semborono.

Tamparan Buat Pemuda PAS

Pengakuan Khairy tamparan buat Pemuda PAS

Oleh SAIDAH HAIRAN

Pemuda PAS perlu mengambil insiatif dengan pengakuan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin bahawa program yang dilakukan oleh Pemuda Umno sebelum ini adalah program syok sendiri.

Khairy yang dipertanggungjawabkan oleh perwakilan Pemuda Umno untuk memikul tugas Ketua Pemuda dilihat mempunyai wawasan dan kesediaan mengembalikan sokongan golongan muda terhadap Umno.

Fokus utama beliau untuk mendekati golongan muda dan mereka yang tidak berpihak kepada Umno tidak boleh diperlekehkan oleh mana-mana ahli dan pimpinan Dewan Pemuda PAS.

Kekalahan teruk yang dialami oleh Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 telah menyedarkan Khairy bahawa golongan muda yang berada di saluran empat dan lima memang tidak mengundi BN.

Walaupun beliau tidak diangkat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi menteri kabinetnya, namun tugas dan tanggungjawabnya cukup berat untuk menarik semula sokongan golongan muda kedalam Umno.

Umno yang selama ini berbangga dengan program elitnya menyedari bahawa gerak kerja itu tidak membuahkan hasil yang baik.

Sebaliknya, turun ke padang dan mendekati rakyat terutama golongan muda yang tidak mempunyai hala tuju atau yang masih samar-samar dalam politik akan dilaksanakan segera.

Rakyat yang sudah muak dengan sikap hipokrit pimpinan Umno daripada cawangan hingga peringkat tertinggi parti itu sudah bijak menilai ketelusan dan kejujuran pemimpin yang benar-benar mahu membantu rakyat.

Keputusan pilihan raya kecil bermula di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau telah berpihak kepada Pakatan Rakyat (PAS dan KeADILan).

Walaupun berbagai projek `mee segera' dan habuan kepada pengundi di DUN dan Parlimen terlibat namun rakyat sudah patah hati dengan sikap kepura-puraan pimpinan Umno-BN.

Lantas rakyat terutama golongan muda bertekad memberi sokongan padu kepada calon PAS untuk mewakili mereka dalam Parlimen.

Kemenangan PAS selepas Parlimen Kuala Terengganu menyebabkan Khairy bertekad akan turun padang mendekati rakyat terutama golongan muda yang berada di atas pagar dan tidak menyokong Umno.

Kesediaan dan kesungguhan Khairy untuk mendekati golongan muda itu tidak boleh dipandang sepi oleh Pemuda PAS seluruh negara.

Pemuda PAS tidak boleh `goyang kaki' setelah mendapat gol 4-1 dalam pilihan raya kecil lalu. Ini kerana minda dan sokongan rakyat terutama golongan muda boleh berubah pada bila-bila masa tanpa disedari.

Mengimbau pilihan raya kecil di Bukit Gantang, walaupun PAS dianugerahkan kemenangan tetapi tercatat sedikit kelemahan di mana gerak kerja PAS cawangan dan Kawasan itu tidak tersusun.

Penglibatan Pemuda PAS dalam jentera pilihan raya amat sedikit. Bantuan dari Pemuda PAS seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu telah membantu merancakkan gerak kerja bagi memenangkan kerusi Parlimen tersebut.

Sehingga di hari mengundi 7 April lalu, terdapat 11 pemuda yang berumur antara 23 hingga 25 tahun `celaru fikiran' dan tidak mahu mengundi kerana tidak tahu hendak memangkah siapa.

Mereka ini merupakan Pemuda Umno Cawangan yang membantah tindakan Ketuanya kerana pembahagian upah memasang bendera dalam pilihan raya umum tahun lalu tidak diselesaikan.

Perkara `celaru fikiran' Pemuda Umno itu tidak akan berlaku sekiranya Pemuda PAS di cawangan dan Kawasan itu telah melakukan pendekatan mendekati golongan muda terlebih dahulu.

Mungkin Dewan Pemuda PAS Cawangan tersebut terlepas pandang dengan masalah seperti itu. Bagaimanapun, diharap perkara ini tidak akan berulang terutama selepas Khairy meluahkan bahawa program Pemuda Umno sebelum ini hanyalah program `syok sendiri'.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengingatkan bahawa amalan gaya hidup sederhana dan mudah didekati rakyat merupakan bonus dimana PAS mudah mendapat sokongan daripada rakyat.

Sebaliknya beliau menegaskan amalan gaya hidup elit, sombong, bongkak serta lupa diri akan menyebabkan PAS dibenci seterusnya tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

Rakyat memberi mandat besar kepada PAS untuk menunaikan tanggungjawab pembelaan dan keadilan yang sama rata tanpa mengira agama dan bangsa, tegasnya.

Ekoran pesanan itu, golongan muda adalah tunggak kepada kemenangan mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum atau kecil.

Golongan muda paling mudah dan cepat menerima sebarang maklumat dan boleh mempengaruhi kelompok mereka iaitu ibu bapa, keluarga serta orang terdekat.

Dalam pilihan raya umum ke12 golongan muda menolak Umno-BN kerana mereka jelek dengan gaya hidup elit pimpinan Umno yang sukar didekati.

Ini kerana pimpinan Umno hanya mendekati golongan muda ketika berkempen dalam pilihan raya.

Perkara yang sama juga akan berlaku kepada PAS jika pimpinan mereka mengamalkan gaya hidup elit dan sukar didekati, dan tidak mustahil PAS akan jatuh dalam pilihan raya akan datang.

Justeru, Dewan Pemuda PAS bukan saja berperanan untuk mengekalkan sokongan muda tetapi mereka perlu mengingatkan pimpinan PAS daripada peringkat bawah hingga tertinggi supaya mengekalkan kehidupan sederhana dan mesra rakyat.