Thursday, March 18, 2010

Harap dalam PAS tiada orang seperti ini


Jenis kawan makan kawan ni sama je dengan tikam kawan daripada belakang. Biasanya orang yang berpaling tadah ni tentu dapat hambuan. Perjuangan mereka memang tidak ikhlas.

Inilah yang dinamakan politik. Hari ini kawan belum tentu esok masih lagi berkawan. Itu yang orang kata politik itu kotor. Cantas mencantas, tikam menikam semuanya ada. Masing-masing mahu melepaskan diri untuk menjadi terkenal.

Tapi politik Islam tidak mengajar pemimpinnya supaya berkelakuan begitu. Tentu ramai yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim setelah diperlakukan oleh rakan-rakannya dalam PKR. Apa nak buat dah orang politik...
Sememangnya benar untuk menjadi pemimpin dalam Islam memang sukar. Perlu menjalani tarbiah dan muhasabah setiap pagi dan sebelum tidur. Harap-harap ramai pemimpin dalam gerakan Islam melaksanakan perkara tersebut.

Jenis kawan makan kawan tak layak jadi pemimpin
Posted on Wednesday, March 17 @ 20:38:42 PDT by tokdalang
Oleh Penarik Beca

Saya tidak peduli apa yang Datuk Seri Zahrain Hashim jerit di Parlimen . Saya dah nyatakan pendirian saya sebelum ini (lihat posting saya "Kerajaan katak"). Kalau benar Datuk Seri Anwar Ibrahim tipu depa, elok juga dia tipu. Kurang-kurang pun auta kare 16 September tu dapat menghalang berudu dari cepat-cepat menjadi katak.

Kalau tak ada auta kare 16 September, dua katak yang disabitkan dengan kes rasuah tentu melompat lebih awal dari itu. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin juga hilang jawatan sebagai Menteri Besar Perak lebih awal lagi jika tak ada auta kare 16 September (jika berlaku lagi kemenangan seperti kemenangan 8 Mac 2008 dan orang PAS sekali diminta menjadi Menteri Besar Perak, kepimpinan PAS diharap memastikan orang itu bukan Mohammad Nizar).

Bagi saya, apa sahaja jeritan Zahrain menelanjangkan sifat bangangnya. Si bangang itu sebenarnya menceritakan bagaimana dia ditipu dengan auta kare 16 September untuk menghalang dia menjadi katak lebih awal.

Mampoih pi la katak yang mengkhianati undi dan kepercayaan rakyat. Yang lebih memprihatinkan saya ialah apa yang ditulis oleh Raja Petra Kamarudin dalam artikel bertajuk "Zahrain, please tell the whole story". Jika benar apa yang diceritakan oleh Raja Petra, ia betul-betul cerita kawan makan kawan.

Saya rasa saya tahu siapa yang Raja Petra tulis sebagai "a new man was supposed to take over as Prime Minister of Malaysia (bukan Anwar)".

Memang, di mana boleh hormat, saya hormat. Macam juga di mana saya boleh hormat Mursyidul Am dan Presiden PAS, saya hormat sangat-sangat. Di mana yang saya tidak boleh hormat, sikit pun saya tak hormat.

Begitu juga "a new man was supposed to take over as Prime Minister of Malaysia". Sifat kawan makan kawan, jika benar perkara yang diceritakan oleh Raja Petra itu berlaku, amat jijik dan hina.

Saya ulangi lagi, di mana boleh hormat, saya hormat. Tetapi, jenis kawan makan kawan tak layak jadi pemimpin.

Tuesday, March 16, 2010

Bagaikan bermusim kes kanak-kanak hilang

Tak tahu nak kata apa...kes kanak-kanak hilang ni bagaikan bermusim. Macam musim buah-buahan. Apabila timbul kembali mula lah pihak polis dan penguatkuasa melilau berusaha mencari kanak-kanak tersebut.

Kedengaran pula suara-suara pak dan mak menteri mengingatkan para ibu bapa supaya berhati-hati dengan keselamatan anak-anak.

Rasa macam tak selamat nak duduk di tanah air sendiri. Ramai sangat penyamun, pencolek, perompak, perogol, pembunuh, pencuri, penipu dan segala kejahatan.

Anggota polis telah pun dinaikan gaji. Harap-harap dapatlah mereka menunaikan tanggungjawab yang jujur dan menjalankan tugas dengan lebih berkesan. Semoga selepas ini tidak ada lagi kes kanak-kanak hilang.

Kanak-kanak 6 tahun hilang, tolong cari!

Sama-sama kita mendoakan keselamatan kanak-kanak ini dan saling membantu mencari dan mengambil tahu tentang kanak-kanak tersebut.

Kita cukup bimbang kalau kanak-kanak tersebut diculik. Hidup di kota Kuala Lumpur menyebabkan masa kita habis dengan bekerja. Malah untuk menyara hidup ibu dan bapa terpaksa bekerja.

Kalau orang dahulu ibu menjaga anak-anak di rumah maka keselamatan anak terjamin tetapi desakan hidup di Kuala Lumpur memerlukan suami dan isteri bekerja.

Berikut berita kehilangan anak tersebut:

Kanak-Kanak Enam Tahun Hilang Semasa Bermain Di Taman Permainan

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Seorang ibu membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang baru berumur enam tahun di taman permainan Perumahan Awam di Pangsapuri Sri Kota, Cheras di sini, Sabtu lepas.

Normayanti Abdul Manan, 30, berkata kali terakhir anaknya, Muhammad Adam Haikal dikesan ialah ketika dia pulang ke rumah neneknya di tingkat tiga di tingkat tiga pangsapuri pada kira-kira pukul 4.30 petang untuk mengambil gasing sebelum turun semula ke taman permainan itu.

Beliau berkata anak sulungnya itu kemudiannya tidak pulang ke rumah neneknya menyebabkan beliau dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Pudu kira-kira pukul 11 malam.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata Haikal ditinggalkan di rumah mentuanya setiap hari apabila beliau dan suami keluar bekerja memandangkan rumah mereka terletak berhampiran.

"Haikal sudah biasa dengan kawasan ini dan selalunya dia akan pulang ke rumah neneknya pada pukul 7 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Normayanti berkata kehilangan Haikal itu memang pada mulanya tidak disedari sesiapa kerana semua anggota keluarga sedang sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik iparnya.

Katanya sebaik tiba di rumah mentuanya, beliau melihat penduduk setempat mula memeriksa dari rumah ke rumah, selain setiap kenderaan yang keluar masuk ke kawasan perumahan itu bagi mengesan anaknya.

Beliau seterusnya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Haikal supaya menghubunginya dengan menelefon 012-260 8660 atau 012-279 1044.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan katanya kes itu diambil alih oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Apa pandangan anda?...


Infrastruktur Harakah masih bagai kedai rundit?
Posted on Monday, March 15 @ 08:21:26 PDT by paktam
Oleh: Shirzad Lifeboat

Tak pasti berapa ramai di antara kolumnis dan kakitangan editorial kumpulan akhbar Harakah yang hadir pada majlis brainstorming di Hotel De Palma, Kuala Lumpur pada pagi 10 Mac 2009 turut menulis mengenai inti pati majlis berkenaan.

Demikianpun, yang pasti majlis pagi itu hangat membincangkan masalah tipikal melanda mana-mana establishment bersaiz kecil dan sederhana dalam kegiatan penerbitan akhbar.

Dengan mengambil tempat duduk bersebelahan kolumnis, sasterawan dan tokoh drama terkemuka, Dinsman, saya hanya mencatatkan sahaja beberapa pandangan yang saya kira penting disuarakan oleh para kolumnis lain, penulis kanan dan berpengalaman seperti Saudara Mohd Sayuti Omar serta wartawan dan pengarang akhbar Harakah serta Harakahdaily.

Dalam mengimbangi kehendak khalayak pembaca (yang merupakan faktor penentuan edaran dan paling penting penyebaran pengaruh PAS di kalangan rakyat dan pengundi yang secara langsung menentukan prestasi PAS dalam pilihanraya umum akan datang atau pilihanraya umum terdahulu) dan fungsi Harakah sebagai organ parti, Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman nampaknya melahirkan sedikit kegusaran.

Pandangan hadirin agak berbeza – di antara yang mahu peranan organ ini lebih dititik beratkan (maknanya dengan pengisian lebih banyak maklumat parti) dengan mereka yang mahu Harakah yang sudah boleh dianggap sebagai pemimpin dan peneraju akhbar alternatif supaya lebih terkedepan dan agresif dalam menggalals matlamat utama PAS itu sendiri (juga Pakatan), iaitu menafikan UMNO-BN kerusi DUN dan lebih-lebih lagi kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam kata-kata lain, sementara ada pihak merasakan imej parti dan pemimpinnya lebih penting diketengah dan disebarkan, pihak lagi satu pula merasakan inilah peluang dan ketika di mana, jika boleh setiap ruang akhbar digunakan bagi menyusun strategi.

Ingin juga saya menyampaikan pandangan dan ulasan saya mengenai perkara yang agak mendominasi majlis pagi itu. Namun, mungkin kerana saya tidak begitu pandai bercakap, pandangan yang sepatutnya disampaikan itu kurang jelas dan kabur.

Tidak perlu dipersoalkan betapa imej parti dan pemimpin adalah perkara terpenting perlu diketahui umum. Tidak perlulah disebut imej bagaimana. Ini kerana ini khalayak pembaca Harakah telah sedia maklum akan imej tersebut.

Malah andai kata akhbar ini tidak menyiarkan berita remeh temeh parti sekalipun tetapi hanya menyiarkan kenyataan penting bersifat nasional dan layak ditakrifkan sebagai berita dari pemimpin, pasti tidak ada sesiapa pun dari kalangan massa yang akan menyifatkan Harakah telah kehilangan sifatnya sebagai organ PAS.

Benar, PAS adalah sebuah parti politik. Namun pemimpin dan ahli PAS sudah tentu menyedari bahawa PAS bukan wujud semata-mata untuk ahli-ahli parti tetapi lebih penting lagi dan dalam konteks politik Malaysia betapa kewujudan PAS bersifat begitu universal.

Suka atau tidak, PAS mewakili sesiapa sahaja di kalangan umat Islam Malaysia yang mencintai perjuangan serta keindahan Islam dalam menegakkan yang hak dan menggugurkan yang batil serta mengembalikan amalan pemerintahan kerajaan yang bersifat makruf dan mengenepikan amalan pemerintahan yang mungkar.

Saya pernah bertanya kepada seorang bekas pengurus sebuah ladang kelapa sawit milik sebuah perbandanan ekonomi negeri yang meninggalkan jawatannya dalam UMNO bahagian lalu menyokong PAS, “Ada orang kata berdosa menyokong UMNO, betul ke?”

Jawapan yang diberikan oleh bekas murid sebuah madrasah dan juga sebuah sekolah menengah agama terkemuka (bukan di Kelantan atau Terengganu) ialah: “Kalau kita dah tahu parti itu banyak membuat kemungkaran, maka mengundinya bermakna kita bukan sahaja bersubahat dengan kemungkaran tetapi macam kita juga membenarkan kemungkaran berlaku. Jadi berdosalah.”

Seorang komposer terkenal yang saya temui setelah sekian tahun tidak bertemu memberitahu saya bahawa dia membeli setiap keluaran Harakah dan memahami apa sebenarnya berlaku dalam politik Malaysia serta kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO-BN.

Katanya kepada saya, “Kau bukan tak tahu arwah orang tua aku, abang aku semuanya orang kuat UMNO. Aku main muzik, tak ambil pot sangat pasal politik ni. Tapi bila aku mula baca Harakah, baru aku sedar selama ini kita semua macam kena tipu hidup-hidup dengan UMNO.

Sejak itu aku tak pernah berhenti baca (Harakah).”Seorang pemandu teksi berketurunan Cina pula pernah memberitahu saya dia baca Harakah kerana berita dalam Harakah lebih boleh dipercayai berbanding Utusan Malaysia.

Bila saya sebut Harakah adalah akhbar PAS, dia menjawab: “Itu kita pun tahu, kawan. Kita pun tahu siapa itu Haji Hadi sama Nik Aziz. Semua orang Cina pun tahu itu orang banyak baik. Itu sebab kita lagi percaya itu Hadi sama Nik Aziz. Itu Pak Lah sama UMNO tak ada guna. MCA lagi tak boleh pakai.” (Peristiwa ini berlaku di zaman Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri).

Contoh ini menunjukkah betapa pengaruh PAS telah berjaya disebarkan dengan luas menerusi akhbar Harakah.

Mesej yang disampaikan oleh Harakah bukan sahaja berjaya menembusi hati dan sanubari umat Islam Malaysia tetapi turut memberi kesan mendalam kepada rakyat bukan Islam yang merasa serasi dengan pemerintahan berteras keadilan Islam sebagaimana yang dipamerkan oleh PAS.

Oleh itu, bagi rakyat Malaysia hari ini, PAS bukan lagi sekadar sebuah entiti pembangkang tetapi dilihat secara serius sebagai alternatif utama untuk menerajui sebuah pakatan yang akan menggantikan UMNO-BN dalam masa terdekat ini.

Justeru, sama ada berita parti tersiar atau tidak, fungsi Harakah sebagai organ parti tetap berterusan – maknanya Harakah dan PAS adalah sinonim. Maka dengan itu usaha mengorgankan lagi Harakah tidak timbul sama sekali.

Dalam pada itu ada juga pandangan agar Harakah menyiarkan maklumat berita terperinci lengkap dengan data dan rajah sebagaimana yang dilakukan oleh akhbar Sinar Harian dan portal berita di Internet dan malah ada yang menganggap ada kandungan follow-up berita dalam Harakah yang telah basi.

Sebenarnya, mungkin ada yang tidak berapa faham perbezaan konsep sebuah penerbitan harian dengan sebuah penerbitan dua kali seminggu atau sekali seminggu.

Khalayak pembaca misalnya tidak melanggan majalah Newsweek, Times,, Far Eastern Economic Review dan sebagainya kerana mahu mendapatkan maklumat atau berita terkini walaupun majalah sedemikian berasaskan berita.

Tetapi apa yang lebih penting ialah ulasan dan tulisan mengenai segala punca, akibat dan dramatis personae sesuatu isu dan peristiwa politik atau berkaitan dengan politik yang lazimnya tidak dinyatakan oleh akhbar harian walaupun dalam penulisan berbentuk investigative journalism (sebagaimana menurut takrif mereka).

Sejak diterbitkan pada tahun 1987 sehingga hari ini, amalan agenda-setting terlihat begitu berkesan dimainkan oleh Harakah.

Agenda setting yang berkesan ini adalah penting dalam usaha ‘membunuh gajah ketika ia sedang leka dan lena ketika ini’ (meminjam kata-kata seorang anggota kanan Harakah yang hadir sama dalam majlis itu).

Gajah yang dimaksudkan itu adalah UMNO-BN. Pendapat ini dipersetujui tetamu undangan dan pengamal media berpengalaman Wan Hamidi Hamid.

Jika kita terlalu asyik menggunakan ruang dan masa yang ada untuk menyiarkan berita remeh-temeh, mungkin satu ketika kelak, iaitu pada bila-bila masa, gajah ini akan bangkit semula dan membunuh kita (maksudnya menarik kembali permit atau menghadkan permit kita kepada sekali seminggu atau malah sekali sebulan) sebagaimana yang pernah dilakukan.

Dinsman yang duduk bersebelahan saya menyuarakan pandangan betapa apa yang kita perangi adalah cukup besar kerana soal mengambil alih negara ini adalah soal besar.

Justeru infrastuktur Harakah yang seolah-olah masih bersifat kedai runcit (berbanding infrastruktur pasar raya mega yang dimiliki UMNO-BN) perlu ditingkatkan.

Saya amat menyetujui pandangan ini. Perang yang perlu kita hadapi adalah besar dan musuh pula mempunyai kelengkapan serba canggih.

Sebagai mewakili mereka di luar sana, mereka yang menyokong perjuangan Islam, saya yakin PAS memiliki sumber dan daya bagi melengkapkan semua aspek infrastruktur Harakah ke tahap yang selesa untuk berperang.

Jika kita boleh melakukan hal ini dan disebabkan kita berada dipihak yang benar, maka selebihnya adalah

sebagaimana pertolongan Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah?”

Hulurlah bantuan semampu yang ada...


Ahmad Lutfi dan Penyakitnya terkini

Posted on Monday, March 15 @ 21:39:24 PDT Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih Oleh: PolisPencen"

Ahmad Lutfi tentu tidak suka hal sakitnya didedahkan secara terbuka. Sepanjang mengetahui, membaca dan mengenalinya sejak 25 tahun lalu, Lutfi boleh dikatakan selalu dirundung penyakit. Ketika beliau mendedahkan isu penyelewengan dan rasuah Dr Khir Toyo, Lutfi diserang penyakit aneh.

Memaksa dia terlantar uzur di kampung halamannya, di Jitra dalam waktu yang agak lama.
Mereka yang menjadi kenalan terutama yang sama belajar dan bergiat dalam jamaaah bekas UTM yang menziarahinya di kampung ketika itu, sekitar awal tahun 2000 mengukilkan keadaannya cukup menyedihkanPenulis Utusan, Astora Jabat, ada menulis tentang hal berkenaan dan beberapa siri penghujahan dengan webmaster laman TKO pada ketika Tok Ayah boleh dibaca setiap minggu di Utusan.

Kini, penyakit Lutfi diperkatakan lagi. Tapi bukan penyakit misteri yang berkaitan amalan sihir atau seumpamanya. Beliau yang menderita kencing manis 20 tahun lalu mendapat serangan jantung pada akhir tahun lalu dan doktor pakar mengesahkan tiga saluran jantungnya tersumbat. Khabarnya, sudah 99 peratus tersumbat.

Dan Lutfi sudahpun menjalani dua kali rawatan angioplasti. Belanjanya tentulah amat besar bagi penulis seperti Lutfi sekadar mencari makan dengan menulis idealisme perjuangan. Saya bukan mahu menyalahkan Harakah - tempat Lutfi bekerja - seperti yang ditulis dalam internet sebelum ini.

Harakah bukan syarikat korporat yang untung juta-juta untuk tanggung rawatan perubatan semua staffnya. Kos rawatan jantung memang tinggi. Biayanya besar apatah lagi jika dilakukan di hospital swasta. Tapi kalau mahu menunggu giliran di hospital kerajaan tentu lama.

Sedangkan Lutfi perlu dibedah segera buat kali ketiga. Menurut pengkhabaran isterinya ada memberitahu, Lutfi memang selalu uzur, sesak dada dan aktiviti fizikalnya begitu terbatas. Saya rasa kalau ada pembaca mahu membantu, eloklah. Bantu membantu amalan murni.

Hari ini hari Lutfi, esok mungkin kita pula. Salurkan kepada Ahmad Luqman Hakim Bin Ahmad Lutfi No Akaun MayBank 162179670906, anak Ahmad Lutfi yang sulong. Terdetik dihati ini untuk menulis, berkongsi info dengan rakan-rakan blogger, pembaca dan pelawat laman mengenai Ahmad Lutfi ini, walaupun saya telahpun pencen segala-gala.

Saya sudahpun tidak menulis lagi mulai tahun ini. Bantulah! Sumbangan saudara amat diperlukan, saya memahami akan kesusahanya. Mana-mana blogger yang ada blog tolong masukkan sekali rayuan sumbangan daripada saya ini. Saya juga tertarik dengan artikel sebelum ini yang mengerakkan untuk saya menulis dari seorang rakan laman beliau di UTM.

Lutfi perlu jalani operasi jantung ketiga secepat mungkin

Posted on Monday, March 08 @ 06:18:07 PST by paktam Oleh KAWAN LAMA UTM

Sebaik saja saya membaca tulisan Afrar Yunus, alkerohi.blogspot.com tentang penyakit Ahmad Lutfi Othman, tertanya-tanya juga saya, apakah rakan lama saya itu masih dalam keadaan uzur. Sudah lama saya tak berhubung dengan Lutfi.

Sayu juga membaca kisah hidupnya dengan berbagai-bagai penderitaan yang dihadapi beliau. Akhirnya dapat juga saya bercakap dengan Lutfi melalui telefon. Walaupun sakit tapi suaranya kedengaran ceria. Dia bercerita panjang tentang keuzurannya.

Beliau tak putus mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu, termasuk Dato' Husam Musa. Semua orang tahu penyakit jantung perlukan kos yang besar. Lutfi pun sudah dua kali melalui operasi jantung di sebuah hospital swasta.

Ongkosnya lebih RM50 ribu. Malang sekali, seperti kata Lutfi, saluran jantungnya yang ketiga belum dapat dipulihkan. Dia terpaksa menjalani operasi ketiga dalam waktu terdekat. Dan masalahnya tetap sama, iaitu kos yang tinggi untuk membiayai operasi berkenaan.

Bila ditanya dari mana dia akan mencari dana, dia hanya diam. Saya pun tak mahu bertanya lanjut. Yang penting Lutfi perlu dibedah secepat mungkin. Saya diberitahu oleh kawan-kawan lain bahawa Lutfi agak tertekan untuk mencari rawatan di hospital kerajaan.

Lutfi sudah menghubungi kawan-kawan lama yang ada contact dengan hospital awam. Sebabnya operasi jantung di sana lebih murah. Harapan saya semoga Lutfi dapat segera dibedah walau dengan apa jua cara sekalipun dan dia dapat bertugas semula dengan baik di Harakah.

Dah lama saya tak membaca buah fikirannya, mungkin kerana uzur yang begitu lama. Harap ada pihak yang dapat membantu beliau. Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan untuk membiayai kos rawatan Ahmad Lutfi Othman, boleh menyalurkan bantuan melalui akaun anak beliau :

Maybank Ahmad Luqman Hakim 162179670906

Friday, March 12, 2010

Sapa pejuang ikhlas

Pening juga menjadi wartawan politik ni. Tak sudah-sudah kena komplain. Siar berita orang ni...orang tu marah. Siar berita orang tu...orang ni marah. Macam mana?

Begini lah ada orang yang berpolitik. Susah nak cari orang yang berjuang iklas. Masuk berita ke tak masuk ke tak kisah. Nak siar berita pimpinan A ke pimpinan B ke mereka tidak kisah.

Lebih-lebih sekarang ini jawatan dalam parti amat diambil kira oleh orang yang berjuang. Sebab dengan adanya jawatan itu yang memberi ruang kepada mereka untuk mendapat tempat bertanding di kawasan yang selamat.

Sebab itu dalam mana-mana parti mesti ada perebutan jawatan. Bukan perebuatan amalan yang ikhlas. Tulisan ini tidak menyindir mana-mana pihak tetapi sapa makan cili tentu akan rasa pedas...

Mazlan...pejuang yang tidak mengejar glamour???


Sapa yang tidak mahu glamour?Terutama mereka yang berjuang dalam politik. Tidak kira politik PAS atau BN sama saja tentu perlu publisiti. Bagi saya Mazlan merupakan pejuang golongan marhaen.

Suatu ketika dulu beliau pernah diperlekeh...oleh golongan yang mementingkan status. Tapi yang peliknya orang yang memperlekeh tak pula berani memperjuangkan hak rakyat.

Kalau setakat berani cakap tak guna sapa pun boleh buat. Jangan hanya bangga dengan sijil, PhD, Master dan kerjaya tetapi daripada sudut pendekatan dan perjuangan hak rakyat tak berani langsung.

Ikuti cerita AJK PAS Pusat kenapa dan mengapa ditahan polis?

Penahanan Mazlan Menaikan Namanya dan ANAKPosted on Wednesday, March 10 @ 22:42:35 MYT by ismet_ulamraja

KEWUJUDAN Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak) sebelum ini semacam tidak disedari oleh orang ramai. Anak hanya menjadi buah mulut kalangan anak-anak peneroka Felda yang kebanyakan nun jauh di pedalaman saja.

Mungkin orang menganggap ia hanya penyibuk saja maka ia tidak diberi perhatian. Tetapi Anak tidak pedulikan kepada sikap atau kepedulian orang ramai kepada persatuan itu. Apa yang penting anak membela anak-anak peneroka dan membawa masalah yang timbul di dalam Felda ke pengetahuan luar.

Mungkin mereka tidak pun berniat ingin gah atau glamour dengan persatuan itu. Apa lagi pengerusinya Mazlan Aliman yang saya tengok sungguh hamble dan merendah diri dalam kehidupan sehariannya. Wajahnya sebagai anak peneroka jelas terbayang dari mana-mana sudut.

Penahanan oleh polis terhadap Mazlan Aliman petang semalam dan diremen hari ini menyebabkan baru ada orang yang sedar kewujudan Anak. Bahawa ada persatuan yang ditubuhkan untuk membela nasib anak-anaka Felda yang teraniayaa dan diabaikan.

Baru-baru ini Anak diketaui Mazlan telah menyerahkan memorandum kepada Suhakam berhubung ketidak adilan yang berlaku dalam Felda. Penyerahan memorandum itu menyebabkan orang sudah mula memberi perhatian kepada Anak dan Mazlan Aliman. Bahawa fungsi Anak mula mencabar pihak tertentu dalam Felda.

Kemungkinan juga penahanan yang dilakukan ke atasnya semalam ada kaitan dengan penyerahan memorandum berkenaan. Lebih jauh dari itu ia mula digeruni oleh pihak pengurusan Felda, dalam hal ini Perdana Menteri, Najib Razak.

Meneliti penahanan Mazlan ini adalah sedikit keanihan. Menurut laporan beliau dtahan selepas membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pegawai Felda yang ingin menahan atau menghalangnya ketika beliau menghadi satu majlis dialog di rumah seorang peneroka.
Kenapa Mazlan ditahan dan pengurus Felda berkenaan yang dilaporkan oleh Mazlan dibebaskan? Tindakan ini menjadi persoalan. Bahawa ada sesutau ketidakadilan dan sini. Ataupun penahanan Mazlan itu sebagai satu gertakan saja.

Saya percaya kalau itulah tujuannya ia tidak memberi kesan kerana sudah tentu sebelum menubuhkan Anak dan menggerakkan agedannya Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pusat sudah tahu natijahnya.

Ugutan gertakan dan penahanan itu sama sekali tidak akan mengendurkan semangat Mazlan dan Anak sebaliknya telah menaikan namanya setangga lagi sebagai pejuang dari golongan marhaen di negara ini.