Tuesday, March 16, 2010

Apa pandangan anda?...


Infrastruktur Harakah masih bagai kedai rundit?
Posted on Monday, March 15 @ 08:21:26 PDT by paktam
Oleh: Shirzad Lifeboat

Tak pasti berapa ramai di antara kolumnis dan kakitangan editorial kumpulan akhbar Harakah yang hadir pada majlis brainstorming di Hotel De Palma, Kuala Lumpur pada pagi 10 Mac 2009 turut menulis mengenai inti pati majlis berkenaan.

Demikianpun, yang pasti majlis pagi itu hangat membincangkan masalah tipikal melanda mana-mana establishment bersaiz kecil dan sederhana dalam kegiatan penerbitan akhbar.

Dengan mengambil tempat duduk bersebelahan kolumnis, sasterawan dan tokoh drama terkemuka, Dinsman, saya hanya mencatatkan sahaja beberapa pandangan yang saya kira penting disuarakan oleh para kolumnis lain, penulis kanan dan berpengalaman seperti Saudara Mohd Sayuti Omar serta wartawan dan pengarang akhbar Harakah serta Harakahdaily.

Dalam mengimbangi kehendak khalayak pembaca (yang merupakan faktor penentuan edaran dan paling penting penyebaran pengaruh PAS di kalangan rakyat dan pengundi yang secara langsung menentukan prestasi PAS dalam pilihanraya umum akan datang atau pilihanraya umum terdahulu) dan fungsi Harakah sebagai organ parti, Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman nampaknya melahirkan sedikit kegusaran.

Pandangan hadirin agak berbeza – di antara yang mahu peranan organ ini lebih dititik beratkan (maknanya dengan pengisian lebih banyak maklumat parti) dengan mereka yang mahu Harakah yang sudah boleh dianggap sebagai pemimpin dan peneraju akhbar alternatif supaya lebih terkedepan dan agresif dalam menggalals matlamat utama PAS itu sendiri (juga Pakatan), iaitu menafikan UMNO-BN kerusi DUN dan lebih-lebih lagi kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam kata-kata lain, sementara ada pihak merasakan imej parti dan pemimpinnya lebih penting diketengah dan disebarkan, pihak lagi satu pula merasakan inilah peluang dan ketika di mana, jika boleh setiap ruang akhbar digunakan bagi menyusun strategi.

Ingin juga saya menyampaikan pandangan dan ulasan saya mengenai perkara yang agak mendominasi majlis pagi itu. Namun, mungkin kerana saya tidak begitu pandai bercakap, pandangan yang sepatutnya disampaikan itu kurang jelas dan kabur.

Tidak perlu dipersoalkan betapa imej parti dan pemimpin adalah perkara terpenting perlu diketahui umum. Tidak perlulah disebut imej bagaimana. Ini kerana ini khalayak pembaca Harakah telah sedia maklum akan imej tersebut.

Malah andai kata akhbar ini tidak menyiarkan berita remeh temeh parti sekalipun tetapi hanya menyiarkan kenyataan penting bersifat nasional dan layak ditakrifkan sebagai berita dari pemimpin, pasti tidak ada sesiapa pun dari kalangan massa yang akan menyifatkan Harakah telah kehilangan sifatnya sebagai organ PAS.

Benar, PAS adalah sebuah parti politik. Namun pemimpin dan ahli PAS sudah tentu menyedari bahawa PAS bukan wujud semata-mata untuk ahli-ahli parti tetapi lebih penting lagi dan dalam konteks politik Malaysia betapa kewujudan PAS bersifat begitu universal.

Suka atau tidak, PAS mewakili sesiapa sahaja di kalangan umat Islam Malaysia yang mencintai perjuangan serta keindahan Islam dalam menegakkan yang hak dan menggugurkan yang batil serta mengembalikan amalan pemerintahan kerajaan yang bersifat makruf dan mengenepikan amalan pemerintahan yang mungkar.

Saya pernah bertanya kepada seorang bekas pengurus sebuah ladang kelapa sawit milik sebuah perbandanan ekonomi negeri yang meninggalkan jawatannya dalam UMNO bahagian lalu menyokong PAS, “Ada orang kata berdosa menyokong UMNO, betul ke?”

Jawapan yang diberikan oleh bekas murid sebuah madrasah dan juga sebuah sekolah menengah agama terkemuka (bukan di Kelantan atau Terengganu) ialah: “Kalau kita dah tahu parti itu banyak membuat kemungkaran, maka mengundinya bermakna kita bukan sahaja bersubahat dengan kemungkaran tetapi macam kita juga membenarkan kemungkaran berlaku. Jadi berdosalah.”

Seorang komposer terkenal yang saya temui setelah sekian tahun tidak bertemu memberitahu saya bahawa dia membeli setiap keluaran Harakah dan memahami apa sebenarnya berlaku dalam politik Malaysia serta kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO-BN.

Katanya kepada saya, “Kau bukan tak tahu arwah orang tua aku, abang aku semuanya orang kuat UMNO. Aku main muzik, tak ambil pot sangat pasal politik ni. Tapi bila aku mula baca Harakah, baru aku sedar selama ini kita semua macam kena tipu hidup-hidup dengan UMNO.

Sejak itu aku tak pernah berhenti baca (Harakah).”Seorang pemandu teksi berketurunan Cina pula pernah memberitahu saya dia baca Harakah kerana berita dalam Harakah lebih boleh dipercayai berbanding Utusan Malaysia.

Bila saya sebut Harakah adalah akhbar PAS, dia menjawab: “Itu kita pun tahu, kawan. Kita pun tahu siapa itu Haji Hadi sama Nik Aziz. Semua orang Cina pun tahu itu orang banyak baik. Itu sebab kita lagi percaya itu Hadi sama Nik Aziz. Itu Pak Lah sama UMNO tak ada guna. MCA lagi tak boleh pakai.” (Peristiwa ini berlaku di zaman Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri).

Contoh ini menunjukkah betapa pengaruh PAS telah berjaya disebarkan dengan luas menerusi akhbar Harakah.

Mesej yang disampaikan oleh Harakah bukan sahaja berjaya menembusi hati dan sanubari umat Islam Malaysia tetapi turut memberi kesan mendalam kepada rakyat bukan Islam yang merasa serasi dengan pemerintahan berteras keadilan Islam sebagaimana yang dipamerkan oleh PAS.

Oleh itu, bagi rakyat Malaysia hari ini, PAS bukan lagi sekadar sebuah entiti pembangkang tetapi dilihat secara serius sebagai alternatif utama untuk menerajui sebuah pakatan yang akan menggantikan UMNO-BN dalam masa terdekat ini.

Justeru, sama ada berita parti tersiar atau tidak, fungsi Harakah sebagai organ parti tetap berterusan – maknanya Harakah dan PAS adalah sinonim. Maka dengan itu usaha mengorgankan lagi Harakah tidak timbul sama sekali.

Dalam pada itu ada juga pandangan agar Harakah menyiarkan maklumat berita terperinci lengkap dengan data dan rajah sebagaimana yang dilakukan oleh akhbar Sinar Harian dan portal berita di Internet dan malah ada yang menganggap ada kandungan follow-up berita dalam Harakah yang telah basi.

Sebenarnya, mungkin ada yang tidak berapa faham perbezaan konsep sebuah penerbitan harian dengan sebuah penerbitan dua kali seminggu atau sekali seminggu.

Khalayak pembaca misalnya tidak melanggan majalah Newsweek, Times,, Far Eastern Economic Review dan sebagainya kerana mahu mendapatkan maklumat atau berita terkini walaupun majalah sedemikian berasaskan berita.

Tetapi apa yang lebih penting ialah ulasan dan tulisan mengenai segala punca, akibat dan dramatis personae sesuatu isu dan peristiwa politik atau berkaitan dengan politik yang lazimnya tidak dinyatakan oleh akhbar harian walaupun dalam penulisan berbentuk investigative journalism (sebagaimana menurut takrif mereka).

Sejak diterbitkan pada tahun 1987 sehingga hari ini, amalan agenda-setting terlihat begitu berkesan dimainkan oleh Harakah.

Agenda setting yang berkesan ini adalah penting dalam usaha ‘membunuh gajah ketika ia sedang leka dan lena ketika ini’ (meminjam kata-kata seorang anggota kanan Harakah yang hadir sama dalam majlis itu).

Gajah yang dimaksudkan itu adalah UMNO-BN. Pendapat ini dipersetujui tetamu undangan dan pengamal media berpengalaman Wan Hamidi Hamid.

Jika kita terlalu asyik menggunakan ruang dan masa yang ada untuk menyiarkan berita remeh-temeh, mungkin satu ketika kelak, iaitu pada bila-bila masa, gajah ini akan bangkit semula dan membunuh kita (maksudnya menarik kembali permit atau menghadkan permit kita kepada sekali seminggu atau malah sekali sebulan) sebagaimana yang pernah dilakukan.

Dinsman yang duduk bersebelahan saya menyuarakan pandangan betapa apa yang kita perangi adalah cukup besar kerana soal mengambil alih negara ini adalah soal besar.

Justeru infrastuktur Harakah yang seolah-olah masih bersifat kedai runcit (berbanding infrastruktur pasar raya mega yang dimiliki UMNO-BN) perlu ditingkatkan.

Saya amat menyetujui pandangan ini. Perang yang perlu kita hadapi adalah besar dan musuh pula mempunyai kelengkapan serba canggih.

Sebagai mewakili mereka di luar sana, mereka yang menyokong perjuangan Islam, saya yakin PAS memiliki sumber dan daya bagi melengkapkan semua aspek infrastruktur Harakah ke tahap yang selesa untuk berperang.

Jika kita boleh melakukan hal ini dan disebabkan kita berada dipihak yang benar, maka selebihnya adalah

sebagaimana pertolongan Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentara bergajah?”

No comments: