Saturday, May 24, 2008

Segera peruntukkan rumah setinggan

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berharap kerajaan Pakatan Rakyat tidak meneruskan dasar BN dengan melaksanakan polisi setinggan sifar tanpa mempunyai sikap tolak ansur dengan golongan miskin.
Menurut beliau kerajaan sekarang perlu menyediakan rumah rakyat dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan setinggan.
Beliau yang berucap dalam perbahasan menjunjung titah ucapan Tuanku Sultan pagi tadi kesal kerana 68 penduduk Melayu di kampung Berembang tidak mendapat pembelaan di bawah pemerintahan kerajaan BN selama 50 tahun.
Katanya, kerajaan BN selama ini tidak berusaha membela mereka sebaliknya menggelar mereka sebagai penyangak atau samseng kerana enggan berpindah daripada kampung Berembang.
Azmin berharap kerajaan Selangor perlu menyegerakan bantuan kepada penduduk setinggan dengan mengadakan peruntukkan rumah kos rendah.
"Dalam hal ini saya menegur Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) lebih berpihak kepada pemaju dan tidak peduli dengan golongan miskin seperti di Kampung Berembang,"tegasnya.
Beliau berkata, PNSB mesti segera mendesak pemaju supaya memberi keutamaan kepada peneroka bandar dengan membina rumah kos rendah dengan harga RM35 ribu seunit.
Dalam perbahasan itu beliau turut menyelar sikap dan tindakan pimpinan Umno yang cuba membela nasib orang Melayu malangnya ia dilaksanakan selepas pilihan raya umum, 8 Mac lalu.
Menurutnya, pendirian Pakatan Rakyat tetap mengutamakan agenda Melayu Umat Islam dan tidak akan berkompromi tetapi sebagai pemimpin Melayu Islam ia dituntut berlaku adil kepada orang India, Cina dan semua kaum.

No comments: