Saturday, May 24, 2008

Rakyat Selangor berhak terima tawaran manifesto

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - AJK PAS Pusat, Mohamad Hanipa Maidin berpandangan janji-janji Pakatan Rakyat dalam manifesto untuk menghapuskan cukai taksiran dan pemberian RM1000 kepada anak Selangor yang berjaya ke universiti perlu ditunaikan segera bagi memberi keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat.
Menurut beliau antara sebab rakyat memberi undi kepada calon PAS dan KeADILan dalam pilihan raya lalu kerana tertawan dengan janji-janji dalam manifesto.
"Rakyat berhak untuk menerima apa yang ditawarkan dalam manifesto BA Selangor dalam pilihan raya umum lalu,"katanya dalam Ijtimak PAS ke-18 di Shah Alam.
Menurut beliau,jangan hantar satu petanda kepada rakyat supaya mereka tidak lagi mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, hilang duit tidak bahaya jika dibandingkan dengan hilangnya kepercayaan atau keyakinan daripada rakyat.
Katanya, jika ada perkara yang kerajaan Selangor tidak boleh laksanakan tawaran dalam manifesto secara serta merta jangan menggunakan alasan tidak boleh menunakan janji.
"Rakyat menyokong kerajaan disebabkan tertawan dengan janji-janji dalam manifesto dan mereka berhak untuk menerima segala tawaran tersebut,"katanya.
Menurut beliau, antara yang perlu difikirkan bagaimana mahu mendidik ahli-ahli parti bagi memahami apa itu kawalan pentadbiran yang baik.
"Kita kena akui ahli PAS dididik sebagai pembangkang. Kita perlu mempelajari bagaimana hendak mengubah fikiran menjadi orang yang memerintah,"katanya.
Dalam pada itu beliau berharap Kerajaan Selangor perlu menerbitkan akhbar untuk memberi penjelasan kepada rakyat yang diberi secara percuma.
Beliau tidak setuju dengan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat yang melancarkan boikot Utusan Malaysia kerana sebagai sebuah parti yang memerintah wajar menerima segala kritikan walaupun pedas.
"Kalau kita mahu demokrasi hidup, kita mesti laksanakan memberi maklum balas supaya kita tidak dilihat sebagai orang yang tidak boleh menerima kritikan,"tegasnya.

No comments: