Saturday, May 24, 2008

Pemimpin perlu rai pandangan rakyat

Saidah Hairan
SHAH ALAM, 20 Mei (Hrkh) - Presiden PAS,Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli dan pimpinan PAS bahawa dalam kejayaan memerintah beberapa buah negeri tiga perkara perlu dipelihara iaitu memperkasakan Pakatan Rakyat, Kepimpinan yang menunaikan kewajipan yang betul dan pengikut yang berjaya bersama jemaah dengan cara sebaik-baiknya.
Menurut beliau, pimpinan PAS perlu bersikap terbuka kerana Islam mengajar umatnya terbuka untuk memberi kefahaman kepada orang lain tentang ajaran Islam sebelum menyuruh mereka mengikut ajaran tersebut.
Katanya, pimpinan PAS perlu mengutamakan diri sendiri untuk melaksanakan perintah Allah bagi membuktikan keperibadian seorang ahli gerakan Islam yang dihormati.
"Sebelum kita menguatkuasa Islam kepada orang lain kita perlu menguatkuasakan dalam diri kita sendiri untuk dijadikan contoh kepada orang lain," katanya dalam ucapan perasmian Ijtimak ke-18 PAS Negeri Selangor di Kompleks Belia dan Kebudayaan di Shah Alam, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak mampu mencari kepimpinan seperti Rasulullah s.a.w,Abu Bakar As-Sidek, Umar r.a, Usman dan Ali tetapi yang penting pemimpin perlu mencontohi kepimpinannya.
Katanya, kepimpinan adalah satu amanah daripada Allah bukan satu peluang.
Beliau mengingatkan pimpinan PAS supaya bersikap terbuka kerana pemimpin dalam Islam bukan Tuhan tetapi mempunyai kelemahan.
"Walaupun kita bijak,cerdik dan pandai tetapi kita sebagai manusia tetap mempunyai kelemahan,"jelasnya.
Rasulullah melaksanakan prinsip bukan sahaja menerima pandangan daripada tokoh-tokoh besar tetapi tetap menerima pandangan rakyat biasa, golongan muslimat serta isteri-isteri yang dianggap lemah.
Sebagai contoh katanya, dalam peristiwa Udaibiyah Ummu Salamah telah menyelesaikan masalah kebuntuan apabila sebahagian sahabat tidak melakukan tahalul yang diperintah oleh Nabi disebabkan rasa tidak puashati dengan perjanjian Udaibiyah.
Menurut beliau, Rasulullah bersikap terbuka sebagai seorang pemimpin dan dalam masa yang sama Baginda bermesyuarat serta menerima pandangan golongan cerdik dan rakyat biasa.
Katanya jika pandangan rakyat tidak betul mereka tidak dicela.
Inilah akahlak yang memelihara kepimpinan Islam bukan saja melaksanakan perintah Allah dalam masa yang sama dapat menarik penyokong dan orang bukan Islam dapat masuk Islam.
Selain itu beliau turut mengingatkan Ulama-ulama PAS supaya berani berijtihad memberikan pandangan dan jangan jumud dalam menghadapi masalah-masalah semasa.
Ini kerana katanya, apa yang menjadi masalah kelemahan dikalangan orang Islam ialah ulama-ulama tidak mampu mempertejamahkan Islam dengan cabaran semasa yang dialami oleh umat Islam.
Beliau berkata, dalam PAS wujud berbagai-bagai kalangan Ulama yang ahli dalam bidang Islam dan profesional yang ahli dalam berbagai bidang.
Menurut beliau, PAS perlu mewujudkan kepimpinan kolektif dengan memelihara ahlak jemaah dapat meraikan satu kepimpinan yang kuat teguh.
Secara langsung ia dapat menyampaikan mesej PAS walaupun PAS dalam golongan tersedikit dalam pemerintah tetapi yang penting kejayaan pemimpin PAS memimpin.
Beliau mengingatkan ahli PAS mesti berani dan jangan menjadi tukang ampu kerana diantara sebab kerosakan Umno mempunyai pengikutnya kaki mengampu.
"Umno mencari kesalahan pemimpinnya ketika pemimpin tersebut jatuh, PAS jangan jadi seperti itu,"pesan beliau kepada lebih 1700 orang peserta Ijtimak.

No comments: