Monday, November 16, 2009

Pegawai Daerah dipaksa jadi komplot jatuhkan Selangor


Adun Hulu Kelang (PAS)- Saari Sungib mendedahkan wujud tekanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap pentadbiran kerajaan Selangor yang didakwa berkaitan dengan pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.
Bercakap dalam perbahasan bajet Dun, beliau menunjukkan bukti melalui sepucuk surat sulit yang siap bertandatangan, nombor faks dan nombor telefon orang yang membuat arahan tersebut.
Katanya, surat sulit itu dikatakan dihantar oleh badan tertinggi MKN kepada dua orang pegawai daerah berkenaan.
Menurut beliau, surat sulit itu sebagai bukti kemungkinan ada `tangan-tangan ghaib' disebalik arahan tersebut yang mengandungi soalan kepadan MKN Selangor kepada pegawai daerah berkenaan.
"Soalan itu berkenaan isu Selcat dan diharap pegawai daerah dapat bekerjasama kerana laporan ini akan dihantar ke MKN Pusat dan Perdana Menteri pada 9 Okober 2009, (Jumaat)," dedah beliau.
Beliau mempersoalkan mengapa surat sulit itu dihantar pada 9 Oktober sebab dua hari selepas itu pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.
Dalam surat itu juga tambah beliau, dinyatakan soalan yang perlu pegawai daerah itu jawab iaitu; `Apakah pandangan tuan berkenaan sesi Selcat; apakah soalan yang dibangkitkan dan diberikan dalam sesi Selcat; apakah komen Selcat; apakah pandangan tuan terhadap Speaker, Teng Chang Khim dan anggota Selcat serta pandangan terhadap exco Dato' Dr Hasan Ali dan komen beliau terhadap Selcat.'
Beliau menegaskan, tekanan MKN terhadap ketua jabatan berlaku ketika mana kerajaan Pakatan Rakyat mahu kerjasama daripada kakitangan dan ketua jabatan tetapi mereka mengatakan terdapat arahan begini.
"Kita khuatir terdapat tangan-tangan ghaib sebagaimana usaha yang dilakukan oleh MKN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," tegasnya.
Dalam perbahasan yang sama beliau turut mendedahkan tujuh orang yang ditamatkan pentaulihaan tanpa sebab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang jelas membuktikan Jais mempunyai niat yang tidak baik.
Antara mereka kata beliau, ketua jabatan sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini masih berkhidmat dan juga merupakan seorang lulusan peringkat kedoktoran.
Beliau mendakwa tindakan Jais itu melibatkan "tangan-tangan ghaib" tertentu kerana tidak menggambarkan semangat pentadbiran kerajaan Selangor yang 'pro-rakyat'.
Sebaliknya tambah beliau, tindakan Jais dalam penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Zainul Abidin itu menggambarkan tidak seiring jalan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan Jais.
Ekoran penangkapan Dr Asri itu, masyarakat menyamakan kerajaan Pakatan Rakyat sama saja seperti BN dulu yang sering menghalang dan menangkap ulama tanpa tauliah daripada berceramah.
Beliau berharap tanggapan masyarakat itu perlu dihapuskan kerana ulama dan ilmuan sepatutnya diberi tauliah sebagai pengikhtirafan mereka tanpa perlu memohon.
Tujuh orang yang tidak mendapat tauliah daripada Jais.
Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana
Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA
Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM
Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)

No comments: