Thursday, November 19, 2009

Selangor negeri pertama wujud AIMS


Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan Akademi imam (AIMS) yang akan memberi kursus berterusan kepada 1226 imam bagi menjulang martabat imam dan seterusnya Islam di mata dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat, Infranstruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali memaklumkan, AIMS amat penting memandangkan Imam merupakan `institusi' yang berlaku dari generasi ke generasi.


Bercakap dalam perasmian Seminar memantapkan khutbah di dewan Jubli Perak, SUK, beliau berkata, AIMS akan bermula awal Januari tahun depan bertempat di Bukit Beruntung, Rawang.

Menurut beliau, imam sebagai juru penyelamat masyarakat dalam keadaan masyarakat sedang dilanda pelbagai penyakit seperti berpeleseran antara lelaki dan perempuan ditambah dengan tidak tahu membaca al-Quran.

Justeru, katanya, imam perlu melakukan suatu perkara yang boleh membantu menyelamatkan penyakit akidah dan kerosakan akhlak dikalangan anak-anak muda dan masyarakat Islam.

"Bagaimana imam hendak menyelamatkan akidah dan meningkatkan akhlak itu bukan satu perkara yang mudah," katanya bercakap di hadapan lebih 1000 imam.

Menurut beliau, jika para imam mempunyai keluarga yang tidak boleh menunjukkan contoh teladan kepada masyarakat bagaimana imam mahu menyelamatkan akidah dan meningkatkan akhlak anak muda.

Ini yang perlu diadakan Akedemi Imam supaya para imam dapat meningkatkan ilmu dan ketrampilan sebagai suatu `institusi' agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat, jelas beliau.

Mengikut statistik Ketua Polis Terengganu katanya, anak-anak yang sedang menghadapi cuti sekolah panjang akan mudah terjerumus dengan kerosakan akhlak.

Sehubungan itu katanya, berapa ramai para imam yang berfikir dan bercadang untuk melaksanakan program bagi mengisi masa kosong anak-anak yang sedang menghadapi cuti sekolah panjang.

Dalam sidang media selepas perasmian beliau turut menjelaskan tentang program Jom Solat iaitu bulan solat yang merupakan seruan kepada anak-anak muda, orang tua dan sesiapa saja.

"November merupakan bulan solat dan kita sudah melancarkan bulan solat dan hampir setiap bulan kita laksanakan bulan itu kepada satu amalan aktiviti agama," jelasnya.

Beliau menjelaskan, Jom Solat bermaksud orang kena faham keperluan solat selain usaha mendakwahkan atau menerangkan kepada orang bukan Islam tentang kepentingan solat.

"Kita kena terangkan apa fungsi solat dalam memajukan umat Islam sehingga boleh melentur akhlak pekerja dalam pentadbiran dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, bulan solat merupakan satu tradisi menjunjung solat secara berterusan sampai akhir hayat dan ia merupakan salah satu alat untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

Bersesuaian dengan pemantapan serta ketrampilan para imam beliau turut berharap seluruh masjid di Selangor akan mencapai taraf lima bintang.

Mengulas tentang pemberian tauliah kepada imam dan penceramah di Selangor beliau kesal dengan pihak yang mempersoalkan tauliah sehingga perkara itu menjadi isu besar.

"Kenapa kita mesti menjadi musuh pada peraturan, apakah kita mempunyai alternatif yang baik daripada itu, kalau kita sudah menolak peraturan maka akan lahir masyarakat `Anaki' yang tak hormat peraturan dan akan menghancurkan masyarakat," tegasnya.

Menurut beliau, tauliah itu peraturan dari Selangor jika tidak ada peraturan maka Rasul Melayu akan memberi khutbah begitu juga dengan Ayah Pin.

Beliau turut menafikan dakwaan mengatakan ada tangan-tangan ghaib daripada pejabat Menteri Besar dan exco tetapi sebaliknya tangan-tangan ghaib itu adalah enakmen Jabatan Agama Islam Selangor.

No comments: