Wednesday, November 18, 2009

PBT sabotaj jatuhkan kerajaan Selangor


Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Terdapat unsur sabotaj yang dirancang oleh pegawai dan kakitangan kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana ramai dikalangan kakitangan kerajaan masih berpihak kepada kerajaan BN walaupun Pakatan Rakyat telah menjadi kerajaan selama setahun setengah.

Perkara itu didedahkan oleh Jenice Lee Ying Ha, Adun Teratai (DAP) dalam ucapan perbahasan selepas menerima maklum balas daripada penduduk di kawasannya.

Beliau menegaskan, terdapat unsur sabotaj yang dilakukan oleh Penguatkuasa (PBT) ketika mengutip cukai tunggakan atau memberi saman kerana mereka sering mengingatkan penduduk `Anda undi PR dan inilah akibatnya.'

Pihak kerajaan perlu menyiasat tindakan penguatkuasa tersebut kerana ia ternyata mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat dan akhirnya akan memberi kesan buruk.

Selain itu beliau turut menyentuh berkenaan pemilik kafe internet yang betul-betul berniaga tetapi sering menjadi kambing hitam, bukan sahaja daripada masyarakat tetapi penguatkuasa daripada PBT atau pihak polis.

"Kedai-kedai perjudian itu nampaknya menikmati perlindungan yang cukup daripada pihak tertentu. Saya pernah membuat aduan bahawa di Bukit Segar Jaya terdapat kedai perjudian haram, penguatkuasa menyita peralatan perjudian disebelah malam tetapi kesokan harinya semua barangrampasan dikembalikan," jelasnya.

Sebaliknya tambah beliau, kafe internet yang betul-betul berniaga sering menerima saman dengan alasan tiada lesen terbaru.

"Sebenarnya PBT selalu melengah-lengahkan pembaharuan lesen perniagaan kafe internet," tegasnya. Beliau pernah menerima aduan pembaharuan lesen perniagaan ditangguhkan kerana polis belum keluarkan surat sokongan, apabila disemak pegawai mengatakan surat sokongan sudah dihantar berbulan-bulan.

Mengikut hujah pegawai itu, katanya, PBT selalu kata tidak terima surat sokongan.

"Nampaknya ada pihak sengaja mahu melengah-lengahkan proses ini. Jadi penguatkuasa boleh mengambil kesempatan ini untuk mengeluarkan saman atau ‘minta duit kopi’ daripada pemilik," jelasnya.

No comments: