Monday, February 8, 2010

Muhyiddin dan Umno tidak layak pertikai tindakan Khalid


KUALA LUMPUR: PAS Selangor menegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno tidak layak bercakap berkenaan `ihsan' dalam isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana parti itu tidak pernah ikhlas dalam membantu masalah kehidupan rakyat.

Jika Umno benar-benar mengambil berat kebajikan rakyat PAS negeri Selangor mendesak Muhyiddin selesaikan isu royalti minyak di Kelantan dengan segera.
Demikian menurut Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman ketika mengulas dakwaan Muhyiddin terhadap tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila menolak tunggakan pembayaran cukai tanah (YBK) daripada Yayasan Melaka.
Dalam isu YBK beliau menegaskan, PAS Selangor berdiri teguh bersama kerajaan Pakatan Rakyat serta keputusan yang diambil oleh Menteri Besar Selangor.
Dalam isu YBK ini sesiapa saja berhak menyaman kerajaan tetapi tidak bermakna mereka akan menang dalam kes tersebut," katanya.

Beliau yang juga seorang peguam mempersoalkan jika YBK mempunyai kes yang kuat mengapa perlu bantuan dan campurtangan daripada Yayasan Melaka.

Katanya, Muhyiddin serta Umno perlu mengetahui bahawa Khalid telah bertindak dalam lingkungan bidang kuasa sebagai seorang Menteri Besar Selangor.

"Kita juga tahu YBK telah melanggari peruntukan Kanun Tanah Negara," tegas beliau.

Menurut beliau, Kanun Tanah yang sama juga yang mencadangkan agar tanah dirampas jika gagal menjelaskan cukai tanah apalagi setelah tertunggak selama 13 tahun.

"Perkara ini bukan idea Khalid Ibrahim atau para exco tetapi itu merupakan peruntukan undang-undang," tegas beliau.

Beliau menegaskan, peruntukan adalah jelas yang mengatakan urusan tanah di Selangor adalah di bawah bidangkuasa kerajaan Selangor.

Yayasan Melaka katanya tidak ada kena mengena dengan tanah di Selangor kerana hak mutlak tanah itu adalah milik kerajaan Selangor.

"Kita yakin, kerajaan akan dapat menggunakan tanah tersebut bagi kepentingan rakyat Selangor di mana YBK telah gagal melaksanakanya selama 13 tahun," tegas beliau.

No comments: