Monday, February 8, 2010

Rumah urut Selangor telah disalahguna sejak Umno/BN memerintah


KUALA LUMPUR: PAS Selangor menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo bahawa Selangor sejak ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat rumah-rumah urut bertambah sedangkan tempat tersebut telah disalahgunakan sehingga menjadi pusat pelacuran sejak Umno/BN memerintah 51 tahun.

Menurut Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, ketika Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo premis judi haram di kawasan DUN beliau (Sungai Panjang) pernah diserbu oleh polis Bukit Aman.

Katanya, premis judi haram itu diserbu disebabkan beroperasi sekian lama dengan lesen pusat hiburan yang diluluskan oleh pihak ahli Majlis Tempatan (PBT).

Beliau yang juga ahli PBT Subang Jaya yakin dan percaya ahli PBT PAS tidak akan bersengkokol untuk meluluskan lesen rumah-rumah urut yang banyak tanpa kawalan.

Lebih tepat lagi katanya, pusat-pusat kesihatan itu terdapat banyak kategori seperti urut kaki berbentuk refleksologi hingga rawatan tradisional, bekam dan urut untuk wanita.

Menurut beliau, di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak Pakatan Rakyat memerintah lesen untuk urut badan telah dibekukan.

"Masalahnya lesen-lesen tersebut disalah-gunakan jika menurut peraturan boleh dibatalkan begitu juga terhadap pusat-pusat yang beroperasi tanpa lesen," tegasnya.

Disebabkan kelemahan penguatkuasaan yang mempunyai jumlah yang kecil kata beliau kerjasama daripada pihak polis amat diperlukan supaya kesannya lebih efektif.

Walaupun tambahnya dengan kekuatan penguatkuasaan yang kecil sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, operasi penguatkuasaan meningkat dan ia lebih berjaya jika mendapat kerjasama daripada pihak polis.

"Sebagai umat Islam kita perlu prihatin dan berusaha untuk mengekang peluang maksiat dikalangan umat Islam khasnya sebagai sebahagian kerja amar makruf nahi mungkar," tegasnya.

Beliau menjelaskan, pada 1 Januari lalu di kawasan MPSJ walaupun hanya tiga PBT PAS dua peraturan baru telah diperkenalkan kepada pengusaha rumah-rumah urut dan kelab-kelab malam yang dilesenkan.

Menurut beliau, bagi rumah-rumah urut berkuatkuasa 1 Januari jika pemegang lesen menjalankan urut unseks iaitu melibatkan lelaki urut wanita atau sebaliknya, maka ia tidak dibenarkan mengambil pekerja yang beragama Islam bekerja (dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor).

Sekiranya didapat melanggar syarat tersebut katanya lesen yang diberikan boleh dibatalkan.

Beliau memaklumkan lelaki Islam memang dilarang mengunjungi rumah urut uniseks dan peraturan itu telah ada sejak kerajaan yang Umno/BN.

Manakala katanya, bagi kelab-kelab malam yang menghidangkan atau menjual arak, pemegang lesen juga tidak
dibenarkan mengambil pekerja Islam bekerja kerana bertentangan dengan Enakmen yang sama.

"Ini merupakan satu langkah yang proaktif dan positif yang tidak pernah pun diambil inisiatif oleh Umno/BN walaupun mereka lebih mendominasi PBT-PBT seluruh Selangor dahulu," tegasnya.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menganggap kerajaan Pakatan Rakyat tidak mempedulikan kerja amar makruf nahi mungkar.

"Jangan cetuskan persepsi seolah PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat hanya sebagai `sleeping partner', tegasnya.

Beliau menegaskan, PAS lebih suka membawa perubahan dan memperkenalkan pembaharuan tanpa menjaja “political mileage” kononnya juara rakyat.

Hakikatnya tambah beliau semasa Umno/BN berkuasa dahulu dengan majoriti mutlak, kerja-kerja seumpama ini langsung tidak menjadi keutamaan.

No comments: