Friday, December 4, 2009

Tamrin apakah masih rasional di era kemenangan Islam?


Oleh: SAIDAH HAIRAN
TAWAU: Runtuhan tanah yang berlaku di kampung Pertanian, batu 25, Sandakan tidak menghalang Muslimat PAS Kawasan Sandakan mengikuti Tamrin tahunan peringkat negeri yang diadakan di Sungai Imam, Tawau selama tiga hari dua malam.
Ekoran kejadian tersebut, lapan AJK Muslimat Sandakan terpaksa bermalam di Pasti Lahad Datu sementara menunggu kerja-kerja membersihkan jalan akibat tanah runtuh.
Berbekalkan semangat perjuangan Islam yang mantap serta bebanan amanah memikul jawatan, mereka meneruskan perjalanan ke Tawau untuk mengikuti tamrin bagi menyeleraskan fikrah perjuangan di semua peringkat.
Lebih kurang 90 pimpinan Muslimat Kawasan Sandakan, Tawau, Keningau, Sepanggar, Putatat dan Kota Belud mengikuti Tamrin bertema `Cabaran dan Persiapan Serikandi masa kini'.
Di era kemenangan gerakan Islam, PAS yang sudah diterima oleh masyarakat bukan Islam, tamrin tidak lagi menjadi program wajib bagi sebilangan besar pimpinan Kawasan, Negeri mahupun Pusat.
Jika mereka mengikuti tamrin sudah tentu program bermalam itu akan dibuat di tempat yang berhawa dingin, selesa dan bukan seperti di Tawau iaitu di madrasah Darul Hidayah, Sungai Imam.
Apakah suasana tamrin di Tawau itu boleh dilakukan oleh Muslimat Semanjung? Makan masih menggunakan dulang, lauk telor dadar; ikan masin dan sayur kobis goreng? Tidur di sekolah manakala penggunaan bilik air dilakukan secara bergilir-gilir.
Mungkin sebelum menang Muslimat PAS bersedia dan redha mengikuti tamrin yang diadakan di Markas PAS dan di sekolah-sekolah agama. Selepas PAS mengecapi kemenangan apakah tamrin masih boleh dilakukan di Markas dan sekolah-sekolah agama yang dhaif dengan keselesaan?
Walaupun tamrin merupakan program dalaman tetapi tanpa disedari ia menjadi program yang menguatkan hati, jiwa dan semangat perjuangan ahli dan pimpinan gerakan Islam.
Program yang boleh memberi kesan mendalam jika pengisian tersebut diaplikaskan dalam kehidupan seharian. Bukankah kemenangan umat Islam itu berasaskan kepada keteguhan hati dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT?
AJK Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Pusat, Wan Hasrina Wan Hassan dalam ucapan pembukaan mengingatkan peserta supaya meneruskan program tamrin dan usrah bagi mengekang berlakunya kepincangan akhlak di kalangan ahli dan pimpinan Muslimat PAS.
"Akhlak berjamaah perlu ditekankan dalam diri kita. Ia tidak cukup hanya menyatakan kita menyanjung al-Quran dan sunnah tetapi kita perlu membina akhlak dengan mengadakan sesi muhasabah dan perbincangan," katanya.
Walaupun katanya, menghadiri tamrin itu merupakan perkara asas dalam jamaah tetapi disebabkan sikap `acuh tidak acuh' dengan tamrin dan usrah maka berlakulah kepincangan akhlak dalam jamaah.
Beliau mengingatkan Muslimat PAS Sabah supaya terus mengekalkan istilah seperti usrah dan tamrin kerana ia membawa satu perubahan dari generasi ke generasi.
Katanya ia bukan istilah ketinggalan zaman sebaliknya ia merupakan istilah yang boleh membangkitkan semangat jihad.
Dalam mengharungi cabaran berjamaah beliau berharap supaya pimpinan tidak berasa tinggi diri dengan kehebatan yang dianugerahkan Allah sehingga tidak mahu mendengar teguran dan pandangan ahli.
"Pemimpin umpama padi makin berisi makin tunduk merendah diri bukan seperti lalang makin tinggi bertambah ego atau sombongi diri," tegasnya.
Beliau mengingatkan Muslimat Sabah supaya elakkan perselisihan faham dalam jamaah sehingga mengakibatkan pertelingkahan yang berpanjangan.
Katanya, jika ramai pemimpin Muslimat yang bersikap seperti itu bagaimana hendak berhadapan dengan karenah dan masalah masyarakat yang berbilang bangsa.
Selain itu beliau mengingatkan supaya Muslimat Sabah yakin akan memperolehi kemenangan sebagaimana yang dikecapi oleh PAS Selangor dan jangan berundur untuk meneruskan perjuangan Islam.
Pembentang kertaskerja, Ustazah Mariam Abd Rashid berharap Muslimat Sabah dapat meneruskan perjuangan Islam kerana ia menjadi fardu ain memandangkan gejala sosial dan maksiat berleluasa di bumi kenyalang itu.
Menurut beliau, pemimpin PAS perlu berusaha menampilkan diri supaya dicontohi oleh masyarakat disamping mempunyai sikap ketegasan dalam menjaga imej Islam.
"Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang takut untuk menyebut nama Islam di hadapan masyarakat sekaligus sanggup menggadai prinsip perjuangan," tegas beliau.
Beliau menekankan dalam PAS tidak perlu pemimpin yang takut untuk menyanjung Islam dan bertegas dengan prinsip perjuangan apabila berhadapan dengan masyarakat luar.
"Kita mesti bijak memilih pemimpin untuk memimpin sebuah gerakan Islam bukan saja memimpin dalam politik," tegas beliau.
Menurut beliau, senario hari ini ramai dikalangan pemimpin yang terlalu berpolitik sehingga melupakan ciri-ciri kepimpinan dalam sebuah parti gerakan Islam.
"Hari ini sukar untuk kita mendapatkan pemimpin yang berpangkat, berjawatan tetapi masih kekal dengan ciri-ciri kepimpinan Islam dan sentiasa mengikuti usrah serta tamrin," tambah beliau.
Beliau berpandangan bagi mendapatkan pemimpin yang teguh dengan prinsip gerakan Islam mereka perlu mempunyai ilmu supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja dilakukan oleh Umno/BN bagi mengucar kacirkan PAS.
Tambah beliau, pemimpin tidak boleh mempunyai sifat cemburu takabur kerana itu akan menurunkan martabatnya sebagai seorang yang dihormati masyarakat.
Tamrin selama tiga hari dua malam itu menggariskan Muslimat PAS Sabah sentiasa berusaha untuk membawa perubahan kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

No comments: