Friday, December 4, 2009

Ketegasan Selangor haram BTN membuka `mata' BN


Oleh: SAIDAH HAIRAN
KUALA LUMPUR: Tindakan tegas kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengharamkan pejawat awam dan pelajar IPT mengikuti kursus ekstrem BTN telah membuka `mata' Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz untuk merombak semula sukatan program yang menyebarkan sentimen perkauman dan menyuntik kepentingan politik BN.
Di lobi parlimen Nazri Aziz turut mengakui untuk menjayakan kursus BTN itu telah membelanjakan terlalu banyak wang.
Sehubungan itu, exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali menegaskan walaupun BTN diwujudkan tahun 1982 tetapi kursus itu masih menggunakan modal lapuk dengan menanam rasa kebencian peserta terhadap parti pembangkang supaya terus memberi sokongan kepada Umno-BN.
Menurut beliau, peserta kursus digambarkan seolah-olah negara tidak akan selamat jika rakyat tidak menyokong Umno/BN dan itu merupakan pengisian yang amat membimbangkan kerana ia boleh mencetuskan perkauman.
Di Selangor katanya, kerajaan negeri mahu perpaduan yang sebenar di mana rakyat Selangor yang hidup dalam masyarakat majmuk mesti mempunyai sikap memahami dan menghormati orang lain.
Malangnya tambah beliau, dalam kursus BTN peserta telah dihasut seolah-olah ada satu bangsa yang lebih baik daripada bangsa lain sehingga menimbulkan kebencian terhadap bangsa tersebut.
"Kursus begini langsung tidak memberi kesan positif dalam model pembangunan negara bertamadun," tegasnya.
BTN juga tambah beliau telah gagal membendung gejala rasuah walaupun diwujudkan BPR dan ditukar pada SPRM namun rasuah terus berleluasa dilakukan oleh pejawat awam.
Disebabkan kegagalan BTN yang wujud selama 27 tahun beliau telah memperkenalkan konsep SPIES yang menekankan tentang model pembangunan modal insan Selangor iaitu (Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional, Social).
Kataya, pembangunan spiritual perlu dibangunkan apabila masalah rasuah tidak mampu diatasi oleh BN bahkan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri beliau turut tidak mampu memerangi rasuah.
"Disebabkan pembangunan insan yang tidak bersepadu ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berusaha menyelesaikan masalah besar ini dengan kembali ke akar umbi," tegas beliau.
Sebenarnya tambah beliau, SPIES adalah konsep modul pembangunan modal insan yang perlu dihayati oleh setiap rakyat Selangor kerana ia mengandungi aspek sosial yang boleh mencetuskan keharmonian diantara kaum.
Menurut beliau, SPIES membangunkan spritual yang menjadi teras utama dalam membangunkan daya tahan dan kekuatan dalaman seseorang khususnya pejawat awam.
"Kekuatan dalaman ini yang akan menghalang pejawat awam daripada melakukan rasuah, pecah amanah dan tidak jujur dan ia akan membina keyakinan jati diri," tegasnya.
Tambah beliau kerajaan negeri mahu pejawat awam dapat menguasai emosi supaya lebih rasional bukan emosianal serta tidak mempunyai perasaan hasad dengki.
Konsep SPIES yang dilaksanakan bukan hanya gimik politik tetapi kerajaan berusaha membangukan rakyat negeri Selangor serta mewujudkan tamadun negeri itu, jelasnya.
Menyentuh tentang pembangunan sosial yang terkandung dalam SPIES katanya, ia merupakan komunikas secara berkesan untuk memupuk cinta kepada negeri dan negara.
"Pembangunan sosial bukan saja menyanyi lagu negaraku atau mengibarkan jalur gemilang tetapi mereka cintakan tanah air seperti sungai, bukit, hutan, jaga kebersihan alam sekitar serta menjaga keselamatan haiwan," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan mewajibkan model SPIES diwajibkan kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri Selangor dan kursus itu akan dilakukan secara berperingkat.
"Mungkin selama ini mereka beranggapan SPIES seperti BTN tetapi SPIES sebenarnya mahu mencungkil potensi mereka, kita mahu mereka membangun bukan menakutkan mereka seperti kursus BTN," tegasnya.
Beliau berkata, pimpinan Umno/BN tidak perlu melatah dengan tindakan tegas kerajaan Selangor tetapi sepatutnya kerajaan Pusat mengkaji lebih mendalam pengisian BTN yang dilakukan selama ini.
Kerajaan BN perlu membentangkan kepada rakyat apa masalah yang telah mereka lakukan selama ini dan bagaimana wang rakyat digunakan semata-mata untuk menjayakan kursus BTN.

No comments: