Thursday, December 10, 2009

Muslimat perlu agresif mendekati masyarakat


Oleh: SAIDAH HAIRAN
SABAK BERNAM: Muslimat PAS kawasan Sabak Bernam dan Sungai Besar diingatkan supaya tidak menjauhkan diri daripada masyarakat tetapi perlu lebih agresif dengan menghadiri program mesra rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Menurut Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan Muslimat perlu membawa pendekatan ramah mesra kerana ia akan mengukuhkan penerimaan masyarakat terhadap PAS secara keseluruhan.
Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat sudah mentadbir negeri Selangor katanya, Muslimat PAS jangan leka dengan kemenangan tanpa melakukan kerja mendekati pengundi.
Ini kerana katanya, jentera Umno terus giat membuat kerja mendekati masyarakat dengan tujuan menarik balik sokongan pengundi yang telah lari dalam pilihanraya umum 2008.
Beliau berkata demikian dalam majlis `back to school' kepada 36 pelajar sekolah rendah di dewan JKKK Parit 13, Sungai Panjang di DUN Sungai Besar dan Markas PAS Tarbiyah, Parit 1, Sabak Bernam, Sabtu lalu.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Muslimat Kawasan Sungai Besar, Mesripah Hj Sirat; Setiausaha Muslimat Selangor, Norazlin Shamsudin serta wakil Nisa' Nor Wani.
Wan Hasrina yang juga ahli Majlis (PBT) Ampang Jaya mengingatkan Muslimat serta penduduk kampung yang hadir supaya jangan mudah percaya dengan laporan akhbar arus perdana yang cuba mengucar kacirkan perpaduan kerajaan Pakatan Rakyat.
"Umno cuba mencetuskan perbalahan atau menimbulkan curiga dikalangan parti dalam Pakatan Rakyat. Mereka cuba membesarkan isu supaya PAS marah dengan DAP begitu juga keADILan seperti isu arak dan kuil," tegasnya.
Beliau yakin, Umno cuba mengulangi kerakusannya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak malangnya majoriti Pakatan Rakyat di Selangor besar menyebabkan sukar untuk Umno merampas Selangor secara kejam.
Disebabkan mereka tidak berjaya di Selangor tambah beliau, Umno telah menyerang Kelantan dengan melaga-lagakan pimpinan dan exco kerajaan negeri supaya timbul kecelaruan sehingga hendak buat rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, Muslimat Sabak Bernam dan Sungai Besar perlu peka dengan masalah masyarakat dan kerja mendekati mereka mesti dilakukan tanpa menunggu pilihan raya.
Katanya, jika mengikut keputusan pilihan raya umum lalu Sungai Air Tawar hanya kalau 123 undi manakala Dun Sabak 117 saja.
Ini bermakna kata beliau, Muslimat perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi sebanyak 60 undi dalam pilihan raya akan datang.
"Muslimat PAS mesti menanamkan cita-cita untuk memimpin ummah dan tidak boleh harap lagi kepada wanita Umno, mereka sudah memimpin 50 tahun dan telah merosakkan ummah," tegasnya.
Ini kerana kata beliau, cara Umno memerintah bukan mendidik rakyat tetapi mereka memberi dan melatih rakyat supaya melihat kepada kebendaan.
Beliau turut bangga kerana majlis penyampaian beg sekolah itu dapat diadakan di dewan JKKK Parit 13, Sungai Panjang kerana ketika Umno memerintah PAS tidak dibenarkan menggunakan dewan tersebut.
"Ini merupakan hasil kemenangan rakyat dapat menikmati kemenangan dengan menggunakan dewan JKKK begitu juga penggunaan surau dan masjid," katanya.
Beliau berharap masyarakat di Sabak dan Sungai Besar dapat memberi peluang kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk meneruskan pentadbiran bagi membasmi kemiskinan di Selangor.

No comments: