Thursday, December 10, 2009

Betulkah Dato' Mahfuz Sayangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz...


Oleh : Anak Panah
Sungguh lawak apabila Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas membuat penegasannya (perlu dibaca desakannya) supaya Abdul Ariffahmi Ab Rahman segera melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) kerana rasa sayang kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.
Pada hal sebelum ini Ahli Parlimen ini berkata kedudukan Abdul Ariffahmi harus ditamatkan dengan serta-merta bagi memelihara etika korporat PMBK.
Nampaknya Datuk Mahfuz masih keliru tentang usaha penyelesaian tentang isu ini. Di mana kesediaan Ab Ariffahmi berundur pada bulan Mac akan datang dirasakan tidak wajar dan terlalu lama buatnya.
Walaupun Datuk Mahfuz menjelaskan bahawa dia tidak berniat mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya lahir di atas rasa kasih dan sayangnya kepada Mursyidul Am Pas, saya kira kenyataan kepada media adalah tidak wajar dan memperlihatkan ketidakmatangannya dalam berpolitik kerana ia boleh dilakukan cara lain yang lebih terhormat.
Sesungguhnya, kenyataan melalui media adalah menggunakan pihak ketiga untuk menyatakan sesuatu tanpa berani berdepan dengan pihak yang sebenarnya, di samping bertujuan untuk mendapat sesuatu yang lain. Adalah lebih baik selaku Naib Presiden Pas, dia menghubungi langsung Ariffahmi dan Tok Guru Menteri Besar menyatakan pandangannya itu daripada guna media untuk sampikan kehendaknya. Inilah yang dikatakan tidak matang dalam tindakan politik yang akhirnya seluruh organisasi terpaksa menanggung beban akibat dari tindakan yang dilakukan.
Saya merasakan inilah masalah baru yang sedang melanda sebahagian pimpinan Pas yang telah menghidap sindrom ‘ketagihan media’. Pantang media ajukan soalan, cepat-cepat nak berikan pandangan, walaupun pandangan yang nak diberikan bukan dalam pengetahuan mereka.
Dalam kes ini, saya kira Datuk Mahfuz masih belum memahami apakah yang dimaksudkan ‘persepsi’ dan kesan persepsi seperti yang dinyatakan oleh Profesor Abu Hassan ketika memberikan pandangannya dalam seminar politik Pas dua bulan lalu. Melalui kenyataan media seseorang pemimpin juga mencetuskan persepsi.
Oleh itu, sikap tidak berhati-hati Datuk Mahfuz memberi komen tentang Ab Ariffahmi bukan sahaja meningkatkan rasa kasih dan sayangnya kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, sebaliknya membebankan mental dan mengeruhkan lagi suasana. Hanya yang tidak faham apa yang Datuk Mahfzu kata sahaja yang bersetuju bahawa kenyataannya adalah sebagai tanda sayangnya kepada Tok Guru Mursidul Am. Tetapi bagi yang waras dan memahami permainan duni politik, pastinya beranggapan bahawa Datuk Mahfuz cuba menjadi ‘hero’ di akhir pertandingan. Dalam erti kata yang mudah Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan cuba mengambil posisi di saat-saat akhir pertandingan dalam kemelut pentadbiran Kelantan atas kapisiti sebagai Naib Presiden Pas untuk mendapatkan ‘millage politic’ dirinya sendiri.
Akhirnya, saya secara ikhlas menasihatkan Datuk Mahfuz Omar supaya lebih matang dan belajar bagaimana nak berdepan dengan media dari Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah.
Wallahulam


Post by PakTam

No comments: