Friday, January 8, 2010

PAS Selangor kutuk serangan `bacul' gereja


Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: PAS Selangor melahirkan rasa simpati dan sedih dengan tindakan pihak yang membaling koktel molotov ke dalam dua buah gereja sehingga menyebabkan sebahagian gereja tersebut rosak dan tidak boleh digunakan.

Ketua Penerangan, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menegaskan, serangan seumpama itu tidak pernah berlaku dalam negara dan tindakan itu langsung tidak mencerminkan adat, budaya dan kepercayaan mana-mana rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan, PAS Selangor mengingatkan dan memberi amaran agar jangan ada mana-mana pihak yang mahu mewujudkan keadaan huru hara dan mengekspolitasi suasana yang tenang dan bertamadun di negeri Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Kita rasa simpat kepada pihak gereja yang terbabit dan mohon supaya ahli PAS Selangor bersabar dan mendoakan keselamatan negeri ini," katanya.

Ditanya kemungkinan tindakan itu ada kaitan dengan bantahan pihak Umno terhadap penggunaan kalimah Allah katanya, mungkin akibat isu itu dipanaskan lagi dengan tindakan membakar gereja.
Menurut beliau, PAS Selangor akan membuat lawatan ke gereja-gereja yang terbabit dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Selangor kecewa dengan insiden tersebut kerana Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan agama sepatutnya wujud perpaduan dan keharmonian serta masing-masing menghormati antara satu sama lain.

Menurut Ketuanya, Wan Hasrina Wan Hassan, serangan itu satu tindakan yang mencemarkan dan kemungkinan ia bukan perbuatan orang Islam tetapi provokasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Ia bertujuan menimbulkan kekecohan dan melaga-lagakan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara kita khsususnya di Selangor," tegas beliau.

Sehubungan itu, Muslimat PAS Selangor mendesak pihak polis mengambil satu tindakan agresif dan tegas serta segera dalam menyiasat kes itu demi menjaga krediabiliti institusi keselamatan.

Beliau tidak menafikan insiden itu ada kaitan dengan agenda politik sebab suasana sekarang pihak yang bersungguh-sungguh dan mempolitikkan isu agama adalah Umno.

Menurut beliau, dibimbangi jika diteruskan generasi muda yang tidak dikawal akan terus melakukan insiden lebih teruk lagi di Selangor dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Kita yakin insiden itu tidak melibatkan ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat Selangor sebab dalam Pakatan Rakyat kita sentiasa menghormati antara satu sama lain," katanya.

Insiden membaling koktel-koktel molotov berlaku jam 12.30 pagi Jumaat lau apabila sekumpulan pemuda membaling bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai.

Akibatnya, dua buah geraja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.

Kemudian, pada pukul 4 pagi, koktel-koktel molotov dilontarkan ke gereja The Assumption tetapi difahankan tidak mendatangkan kerosakan.

Insiden tersebut dipercayai berlaku apabila sekumpulan pemuda menunggang motosikal ke gereja itu, memecahkan panel gelas di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu dan seterusnya membaling bahan-bahan tertentu ke dalam premis sebelum terbakar.

No comments: