Thursday, January 21, 2010

Memang benar Umno juara menipu rakyat

Dalam senario rakyat yang ditekan dengan kenaikan harga gula, subsidi pendidikan serta roti putih ditarik manakala harga minyak petrol dijangka akan naik harga pada 1 Mei nanti, apakah rakyat merestui program `Umno juara rakyat'?

Restu atau tidak program tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak pada 9 Januari lalu, di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, di bawah tadbir kerajaan Pakatan Rakyat.

Umno juara rakyat yang akan digerakkan ke seluruh negara bertujuan membuktikan kepada rakyat bahawa hanya Umno/BN saja parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat. Program yang penuh dengan kepura-puraan itu akan terus dilancarkan sehingga pilihan raya ke-13.

Sudah tentu Umno merancang dengan penuh teliti untuk merampas semula empat negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sebab itu, Umno berhempas pulas melancarkan program `Umno juara rakyat', untuk menunjukkan kepada rakyat Umno saja yang prihatin dengan nasib rakyat.

Pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS tidak boleh pandang remeh perkara ini. Ahli dan pimpian PAS tidak boleh bergoyang kaki dan berasa selesa dengan kemenangan di empat buah negeri tanpa melakukan kerja untuk terus memikat hati rakyat.

Kehidupan rakyat semakin hari tertekan dengan pelbagai kenaikan. Terbaru kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram. Alasan kerajaan yang memotong subsidi gula dengan menaikan harga gula kerana mahu mendidik rakyat.
Persoalannya, mengapa mesti mendidik rakyat dengan membebankan kehidupan mereka?

Kerajaan turut menarik subsidi roti putih. Jika sebelum ini roti potong berukuran besar berharga RM2.90 sekarang menjadi RM3.15. Mana janji kerajaan yang menjamin kenaikan harga gula tidak mengakibatkan kenaikan harga barang-barang lain?

Suri rumah dan para suami perlu peka dan teliti sebelum membeli barang-barang keperluan asas sama ada barang basah atau kering. Ini kerana sabun basuh yang dahulu dua kilo telah dikurangkan menjadi sekilo setengah tetapi diletakkan harga dua kilo.

Jika pembeli tidak peka sudah pasti akan terpedaya dengan penipuan tersebut. Inilah bijaknya pemimpin Umno/BN menipu rakyat. Memang betul program `Umno juara rakyat' sebab mereka sememangnya menjadi juara menipu rakyat.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama bertambah terkejut apabila subsidi pendidikan untuk makanan di asrama telah dipotong. Pelajar yang tinggal di asrama pada hari Sabtu dan Ahad dikenakan bayaran makanan sekitar RM35 untuk dua hari.

Berapa banyak wang yang perlu ibu bapa tambah untuk membayar makanan selama setahun tinggal di asrama sekolah?

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysiaterhadap pelaksanaan bantuan makanan asrama sekolah pada tahun ini, berikutan kekangan peruntukan bajet mengurus bagi kementerian itu.

Kementerian memaklumkan, kerajaan terpaksa menanggung kenaikan subsidi daripada RM14 kepada RM16 sehari bagi setiap pelajar di mana sebahagian daripada pelajar berkenaan adalah terdiri daripada kalangan keluarga yang berkemampuan.

Jika kadar subsidi itu diteruskan sepenuhnya, kerajaan akan membelanjakan antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion bagi menanggung Bantuan Makanan Asrama pelajar-pelajar, kata wakil Kementerian.

Berikutan itu, Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan mendesak supaya Kementerian Pelajaran mengembalikan penarikan subsidi pendidikan dan ditambah memandangkan pelajar sekolah semakin bertambah.

Sebenarnya kata beliau, rakyat tidak sedar dengan penarikan subsidi tersebut kecuali ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama.

Beliau menegaskan, ekoran pemotongan subsidi makanan di asrama ditambah dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, Muslimat Selangor akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

"Kita terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang menggalakkan pelajar balik ke rumah setiap minggu bagi mengelak ibu bapa membayar yuran makanan sebanyak RM35 untuk dua hari," katanya.

Bayangkan tambah beliau, jika setiap minggu pelajar balik kampung berapa kos yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa untuk mengambil mereka dan kerugian masa pelajar yang sepatutnya diperuntukan masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Ternyata apa yang dilakukan oleh pimpinan Umno memang menekan kehidupan rakyat. Jika program Umno Juara Rakyat bertujuan mendekati masalah rakyat, kenapa menarik subsidi gula, pendidikan dan roti putih?

Apa ertinya Umno juara rakyat jika hidup rakyat terus tertekan?

Sudah tiba masanya Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mengarahkan seluruh jentera PAS di semua
peringkat menggerakkan kempen penerangan sehingga ke akar umbi.

Kempen Umno Pengkhianat Rakyat untuk membongkar segala pembohongan dan kezaliman Umno kepara rakyat perlu dilakukan segera.

PAS perlu bekerja keras memastikan rakyat dapat melihat wajah sebenar Umno yang selama ini hidup mereka hanya menipu rakyat. Penerangan berkenaan hal penyelewengan dan pembongkaran salah laku Umno perlu ditujukan di kubu-kubu kuat Umno.

Jika PAS tidak berperanan mendedahkan segala penipuan yang dilakukan oleh Umno, rakyat mahu mengharapkan siapa? Umno akan terus menipu dan menipu.

Maka, sesuai benar la slogan `Umno Juara Rakyat'...kerana Umno sebenar-benarnya memang juara menipu rakyat.

No comments: