Wednesday, December 30, 2009

Umno meroyan nak rampas Selangor



Oleh: SAIDAH HAIRAN
Baru seminggu Pakatan Rakyat mengadakan konvensyen pertama di mana PAS, KeADILan dan DAP bersetuju untuk bergerak dalam satu landasan berkonsepkan ke arah membina rakyat untuk rakyat.
Memimpin perubahan, menjana kemenangan dengan logo yang melambangkan `Muafakat Rakyat' menambahkan kegusaran dan tekanan Umno/BN terhadap kesetiaan tiga parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Kesepakatan Pakatan Rakyat itu menjadi satu tamparan terhadap Umno yang selama ini melaungkan hanya Umno saja yang mampu memerintah negara ini. Pujian daripada Ketua Audit Negara terhadap empat negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor; Pulau Pinang; Kedah dan Kelantan menambahkan kegusaran dan tekanan kepada Umno/BN.
Konvensyen sulung Pakatan Rakyat pada 19 disember di oudatarium MBSA, Shah Alam mencatat sejarah apabila tiga parti dapat duduk bersama menyampaikan kata sepakat dan janji setia untuk membela rakyat dan negara.
Bertitik tolak daripada itu, ternyata rakyat bertambah yakin dan percaya dengan ketelusan, kewibawaan dan corak kepimpinan Pakatan Rakyat. Rakyat yakin hanya parti Pakatan Rakyat saja yang mampu membawa perubahan untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Selangor merupakan satu-satu negeri yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh Umno, jatuh ke tangan PAS; keADILan dan DAP. Negeri yang dinobatkan sebagai negeri termaju dengan hasil yang melimpah menjadi idaman sesiapa saja Menteri Besar dan exco dari Umno/BN. Malangnya Umno/BN tidak dapat meneruskan gaya hidup mewah dengan merampas wang rakyat di negeri Selangor selepas kejatuhannya pada 8 Mac 2008.
Bermula tarikh itu, Umno/BN tidak putus asa untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. Pelbagai usaha rakus telah dilakukan oleh Umno/BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Negara telah dikejutkan dengan kontroversi untuk memalukan Pakatan Rakyat dengan sebaran foto separuh bogel exco KeADILan iaitu Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong. Sebaran foto di internet telah mencetuskan sedikit kekecohan dikalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Di atas kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat isu tersebut dapat diselesaikan.
Tindakan drastik Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peruntukkan wang Adun Pakatan Rakyat turut menimbulkan kontroversi. Bayangkan berapa banyak penyelewengan dan aduan rasuah yang dilakukan oleh Umno/BN tetapi sedikit pun tiada siasatan jauh sekali tindakan.
Penemuan mayat setiausaha exco, Teoh Beng Hock di tingkat lima Plaza Masalam mencalarkan imej buruk SPRM. Ini kerana mendiang berada dalam penyiasatan. Hanya kerana isu pembelian bendera yang berjumlah RM2,000 seorang nyawa melayang. Sehingga kini, kes itu masih dalam siasatan.
Segala dakyah daripada Umno dapat dicatas oleh Pakatan Rakyat. Umno tidak putus asa dan terus memfitnah PAS. Exco kanan PAS, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali dilaga-lagakan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam isu arak. Begitu juga Hasan turut dilaga-lagakan dengan Speaker Dun, Teng Chang Khim dalam isu kewibawaan Selcat. Semuanya ini adalah percaturan politik kotor Umno/BN semata-mata mahu meleraikan ikatan kukuh Pakatan Rakyat di Selangor.
Ahad lalu, PAS dikejutkan dengan perhimpunan aman seramai 20 orang yang menggelar mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor, telah berhimpun di hadapan pejabat PAS, bangunan Worldwide, Shah Alam. Mereka yang mendakwa sebagai ahli PAS itu tidak berjaya menyampaikan memorandum kepada Dato' Hasan kerana pejabat PAS tutup.
Ketua kumpulan, Wan Hilwan Abdul Rahim yang mengakui sebagai ahli PAS Gombak menyatakan penyerahan memorandum itu untuk mendesak PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.
Ini kerana katanya, ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu di Selangor.
Pengarah Pilihan raya negeri Selangor, Mohd Razi Mohd Yusuf menyatakan setelah membuat semakan tiada tercatat nama Wan Hilwan sebagai ahli PAS Gombak.
Bagaimanapun katanya, dalam senarai daftar pemilih ada satu nama yang sama iaitu pengundi dari Machang tetapi tiada rekod dari mana-mana parti.
Sehubungan itu, PAS Selangor menegaskan perhimpunan haram atas nama Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor itu langsung tidak melibatkan PAS Selangor atau mana-mana ahli PAS di Selangor.
Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, PAS Selangor sudah mengenal pasti individu yang terlibat dalam himpunan tersebut iaitu mereka yang telah menyamar sebagai ahli PAS.
Katanya, PAS melalui Pemuda PAS Selangor akan segera membuat laporan polis atas insiden yang membabitkan nama baik parti.
"Kita memberi ingatan kepada ahli PAS di Selangor agar tidak terlibat dengan kumpulan tersebut atau kumpulan yang menyamainya. Tindakan tegas akan diambil jika ada kalangan ahli PAS yang terlibat dengan kumpulan ini," tegas beliau.
PAS Selangor akan menolak semua bentuk tindakan atau cadangan yang bertentangan dengan kepimpinan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta yang tidak selari dengan resolusi yang telah dipersetujui dalam konvensyen Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, pendirian PAS Selangor sangat jelas dan tidak seharusnya timbul lagi kekeliruan di kalangan ahli-ahli PAS khususnya di Selangor.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Selangor yakin mereka yang menyertai perhimpunan itu merupakan ahli Umno yang menyamar atau mereka yang diupah oleh pihak tertentu untuk merosakkan imej PAS Selangor yang kuat dan mantap di bawah kepimpinan Pesuruhjaya, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.
Naibnya, Ustazah Mariam Abd Rashid menegaskan, ahli PAS biasanya taat kepada keputusan pemimpin contohnya keputusan kepimpinan bekerjasama dengan KeADILan dan DAP.
Ini dapat dibuktikan dalam meletakkan calon pilihan raya, ahli PAS begitu setia bekerja dan berkempen untuk memenangkan calon KeADILan dan DAP, tegas beliau.
Beliau berkata, kemungkinan ada unsur-unsur sabotaj daripada pihak tertentu untuk mengucar kacirkan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin mantap di semua peringkat.
Katanya, tidak ada sebab PAS mahu keluar daripada Pakatan Rakyat sebab dasar yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti dalam konvensyen lalu adalah dasar yang melalui perbincangan yang teliti dengan mengambil kira kebajikan rakyat.
Selain itu tambah beliau, dasar itu juga akan menegakkan keadilan untuk semua yang juga persamaan matlamat dan tidak bercanggah dengan dasar ketiga-tiga parti yang mana dasar ini juga diterima oleh parti di semua peringkat.
Tahun 2009 akan melabuhkan tirainya..namun Pakatan Rakyat di Selangor terus bergelora bukan disebabkan kelemahan pimpinan mereka, tetapi serangan dan fitnah daripada Umno/BN.
Seluruh jentera daripada media arus perdana hingga ke jabatan kerajaan digunakan khusus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat terutama di Selangor. Persoalannya, apakah impian Pengerusi Umno Selangor, Dato' Seri Najib Razak mahu merampas Selangor pada 1 Januari nanti akan tercapai? Apakah beliau akan mengulangi tindakan mafia menjatuhkan Pakatan Rakyat di Perak untuk dilakukan di Selangor?
Mungkin Umno terlupa dengan firman Allah bermaksud; "Manusia merancang, Allah merancang tapi sebaik-baik perancangan, perancangan Allah paling baik."

1 comment:

MAWAR PINK said...

PERGHHH.... BARU BACA TAJUK JER....DAH TERGELAK...BACA ISI DIA LAGI LE GELAK SAMPAI TERGULING-GULING ....