Sunday, December 20, 2009

Hapus PPSMI segera bukan naik yuran makanan asrama


Oleh: SAIDAH HAIRAN
KUALA LUMPUR: Slogan `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak mencerminkan slogan itu dihayati oleh pimpinan kerajaan BN memandangkan tindakan Kementerian Pendidikan yang telah menaikkan kos makanan asrama daripada RM1 menjadi RM3 sebulan.
Walaupun yuran makanan asrama itu dinaikan RM3 dikhaskan bagi ibu bapa yang berpendapatan RM5000 sebulan, namun ia tetap menggambarkan kerajaan BN tidak peka terhadap pendidikan generasi khususnya anak-anak bumiputera.
Kenaikan 200 peratus itu melibatkan pelajar di asrama penuh, asrama harian, sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan, sekolah seni dan sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.
Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyelar sikap pimpinan kerajaan BN yang berbangga dengan slogan `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tetapi sebenarnya ia langsung tidak diterjemahkan dalam sektor pendidikan.
Menurut beliau, jika rakyat didahulukan sudah pasti di awal persekolahan ibu bapa tidak terbeban dengan begitu banyak perbelanjaan sekolah seperti yuran tambahan, buku-buku serta peralatan persekolahan.
Beliau kesal kerana sekolah biasa turut mengenakan yuran selain yuran PIBG bagi menggantikan yuran yang sudah dimansuhkan sebelum itu.
Alasan kerajaan kata beliau sebagai langkah penjimatan merupakan suatu perkara yang tidak wajar kerana ada benda lain yang patut dibuat bagi memastikan penjimatan.
Umpamanya tambah beliau projek harus dilakukan secara tender terbuka bukan secara runding terus, itu yang akan boleh menyebabkan penjimatan berlaku.
"Selama ini projek Kementerian Pelajaran khususnya dan kerajaan secara keseluruhan berlaku dalam bentuk runding terus sehingga harga itu terlalu tinggi berbanding dengan harga yang telah ditetapkan oleh JKR," tegasnya.
Menurut beliau, oleh kerana ia projek runding terus maka berlaku pembaziran tetapi dalam soal pendidikan Kementerian menaikkan yuran makanan RM3.
Beliau mempersoalkan apa salahnya bagi makanan kepada pelajar sekolah secara percuma begitu juga yuran sekolah seharusnya tidak ada apa-apa lagi yang dikenakan terhadap pelajar.
Dalam persoalan ini Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena melihat Menteri Pendidikan, Dato' Seri Hishamuddin Hussein menggunakan yuran sekolah dan asrama itu untuk kepentingan politik peribadi semata-mata.
Ini kerana katanya, ketika Hishamuddin bertanding Naib Presiden beliau telah menangguhkan pembayaran yuran tambahan tetapi selepas pemilihan yuran tersebut dikenakan semula.
Sementara itu, seorang guru di salah sebuah sekolah di Selatan, Azrin Abd Majid mempersoalkan mengapa kerajaan mengalihkan masalah besar yang ditanggung kepada anak-anak bumiputera dengan menaikkan yuran makanan asrama.
Sepatutnya kata beliau, kerajaan berasa malu mengambil tindakan menaikkan yuran asrama kepada ibu bapa pelajar yang berpendapatan lebih RM5000.
Menurut beliau, hasil tindakan kerajaan itu menunjukkan bahawa taraf pendidikan sekolah sudah berada dalam keadaan caca marba dan tidak berupaya hasil daripada pemborosan yang berlaku dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menelan belanja berjuta.
Walaupun katanya, berapa banyak kerajaan boleh kutip daripada kenaikan yuran makanan sebanyak RM3 jika dibandingkan kerajaan menghapuskan PPSMI sepenuhnya.
Ini kerana tambah beliau, guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diberi elaun sebanyak 5peratus.
"Bayangkan jika 3000 guru yang mendapat 5 peratus berapa banyak kerajaan menanggung kerugian berbanding RM3 dengan pendapatan ibu bapa RM5000 ke atas," soalnya.
Beliau mendesak kerajaan BN supaya dapat menyelesaikan masalah PPSMI dengan segera supaya tidak berlaku bebanan kepada ibu bapa pelajar bumiputera.
Menurut beliau, kenaikan yuran makanan itu merupakan satu cara kerajaan hendak mengambil wang daripada kalangan orang berada untuk menampung kekurangan perbelanjaan kerajaan.
Katanya, rakyat mahu tahu apa agenda sebenar yang kerajaan selindungkan untuk menghapuskan PPSMI secara berperingkat-peringkat sehingga tamat 2023.
Sudah tentu tambah beliau, untuk melindungi projek yang telah diberikan kepada syarikat pembekalan yang mendapat kontrak PPSMI.
Ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama terpaksa menanggung kesan pemborosan kerajaan jadi itu merupakan penghakisan satu demi satu hak pelajar bumiputera selepas biasiswa dimansuhkan, tegas beliau.

No comments: