Monday, December 21, 2009

Budget 2010; Penyokong BN memalukan Najib



Oleh: SAIDAH HAIRAN
Mungkin ramai yang terkilan khususnya ahli Parlimen dan penyokong Pakatan Rakyat dengan peristiwa malam 14 disember (Isnin) lalu. Manakala ahli Parlimen BN menganggap ia merupakan peristiwa dan pengalaman yang amat mengerikan.
Detik yang amat memalukan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak kerana Bajet 2010 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hanya mendapat majoriti tipis tiga undi saja.
Bajet sulung Najib hanya mendapat sokongan 66 manakala yang menolak 63. Kemana perginya 71 orang ahli Parlimen BN? Sedangkan BN mempunyai ahli Parlimen seramai 137 orang.
Satu kerugian bagi ahli Parlimen Pakatan Rakyat seramai 82 orang yang tidak hadir sepenuhnya. Jika mereka hadir sudah pasti Bajet 2010 akan ditolak dan malam itu akan tercatat dalam sejarah politik negara, BN mengalami `malu besar' atau hidup dengan penuh cemuhan dan kedukaan.
Undi majoriti terlalu tipis terhadap Bajet Najib itu memberi impak yang buruk dan merundum keyakinan dan kepercayaan ahli Parlimen BN terhadap beliau. Belum pernah tercatat Perdana Menteri sebelum ini mengalami peristiwa sedemikian.
Apakah perlu Najib mengenakan tindakan disiplin atau tunjuk sebab terhadap 70 ahli Parlimennya yang tidak hadir? Begitu juga dengan Pakatan Rakyat dimana 63 orang saja yang hadir. Peluang keemasan malam itu terlepas begitu saja. Mungkin ini boleh dijadikan pengajaran untuk Pakatan Rakyat dan juga BN.
Bagi Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berharap rakyat boleh menilai dalam memilih wakil rakyat kerana jelas menunjukkan ahli Parlimen BN tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.
Peristiwa itu juga katanya menggambarkan prestasi Najib bukan saja terhadap pembentangan Bajet 2010 tetapi penerimaan serta keyakinan ahli Parlimen BN terhadapnya telah hilang. Beliau menegaskan, majoriti tiga undi itu merupakan satu isyarat bukan daripada parti pembangkang tetapi parti komponen BN.
Tegas beliau, kemenangan tiga undi dengan satu gesaan mengejut di saat terakhir kepada ahli Parlimen BN memperlihatkan mereka sebenarnya tidak serius dalam berdepan dengan isu besar Bajet 2010 yang melibatkan berbilion ringgit.
Walaupun sebelum pembentangan Bajet itu, katanya, Najib telah mengeluarkan arahan supaya semua ahli Parlimen BN membatalkan urusan lain tetapi arahan itu tidak dipedulikan.
Bahkan tambah beliau terdapat Menteri dan Timbalan Menteria yang gagal menghadirkan diri di saat kritikal itu.
Dalam masa yang sama beliau bangga dengan kehadiran ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang istiqamah menghadiri sidang Dewan Rakyat, oleh itu rakyat harus membuat perbandingan secara tepat untuk memilih kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
"Kita mempunyai 82 ahli Parlimen dan yang hadir 63 orang. Ada yang tidak hadir dan kita tidak nafikan ada faktor lain yang menyebabkan tidak hadir, tetapi kehadiran 63 daripada 82 orang itu satu kedudukan yang membanggakan," tegasnya.
Katanya, jika Bajet ditolak maka Perdana Menteri telah hilang kepercayaan bukan sekadar belanjawan tidak boleh berbelanja tetapi Parlimen terpaksa dibubarkan dan satu mandat baru perlu diambil.
Beliau menegaskan, ahli Parlimen Pakatan Rakyat harus melihat kegagalan mengambil peluang keemasan itu dan jadikan panduan di masa akan datang.
"Kita melihat wakil rakyat terikat dengan parti masing-masing dan setiap parti mesti bertanggungjawab terhadap ahli Parlimen mereka supaya sentiasa menghadiri sidang Parlimen," tegas beliau.
Bagi PAS katanya, PAS sentiasa memantau prestasi wakil rakyatnya di Parlimen sejuah mana komitmen bukan saja kehadiran bahkan perbahasan kerana itu merupakan amanah rakyat. Keputusan dengan perbezaan satu undi di peringkat jawatankuasa dan tiga undi di peringkat bacaan kali ketiga telah memberi satu keyakinan bahawa Pakatan Rakyat boleh melakukan suatu yang signifikan di Parlimen.
Apakah benar seramai 70 orang ahli Parlimen BN boikot atau tidak mahu menyokong Bajet Najib?
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad melihat komitmen yang ditunjukan oleh ahli parlimen BN semakin rapuh dan mereka sebenarnya sudah tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.
Menurut beliau, Parlimen gagal dimanfaatkan sebagai tempat untuk membela rakyat dan mereka boleh hadir atau tidak sesuka hati sedangkan gaji serta elaun mereka dibayar penuh mengunakan wang rakyat.
PAS berharap agar penyakit ini tidak berjangkit kepada ahli-ahli parlimen Pakatan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

No comments: