Monday, December 14, 2009

Tanngungjawab besar PAS memecahkan fikiran rakyat


Oleh: SAIDAH HAIRAN
SUBANG: PAS bukan saja berperanan menyertai pertandingan dalam pilihan raya tetapi kewajiban lebih besar memecahkan fikiran manusia yang selama ini dibelenggu dengan fahaman karut sehingga dilanda dengan pelbagai masalah sosial.
Demikian penegasan daripada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah, Markas Tarbiyah Islam Subang (Putis) di kampung Melayu Subang, Shah Alam, Ahad lalu.
Beliau berharap PAS perlu mengembalikan ajaran Islam yang betul kepada masyarakat khususnya dalam bidang ekonomi, politik dan kemasyarakatan.
Dalam majlis pecah tanah itu beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS Subang supaya berusaha memecahkan fikiran masyarakat yang selama ini dijajah dengan fahaman karut.
Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, IR Mesni Dahalan; Ketua Muslimat Kawasan Subang, Ustazah Mariam Abd Rashid; isteri Presiden; Toh' Puan Zainab Awang serta AJK Kawasan.
Beliau berkata, fahaman karut itu telah menyebabkan umat Islam terlibat dengan gejala sosial, politik dan ekonomi sehingga tokoh politik mengatakan Umno parti yang telah mengalami penyakit sampai ke usus.
Katanya, usaha PAS Kawasan Subang mendirikan markas Tarbiyah itu merupakan tunggak Islam dengan membawa makna menyeluruh.
Ini kerana tambah beliau, permulaan bagi membangunkan negara bangsa serta kemajuan ekonomi mesti dengan membangunkan manusia dengan ilmu yang bermanfaat.
Beliau berkata, membangunan negara bangsa itu bukan dengan kekuatan tentera tetapi kelahiran generasi Islam dengan mempunyai akhlak mulia, ilmu bermanfaat serta dapat menjalankan pemerintahan yang baik.
Disamping itu PAS berkewajipan memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam tanpa memaksa mereka memelok agama Islam tetapi mengingati mereka supaya menyokong Islam mentadbir negara, tegasnya.
"Projek mendirikan markas Tarbiyah ini amat penting bukan saja untuk menyebarkan ilmu tetapi menyebarkan kerja-kerja kebajikan, sehingga ia menjadi contoh yang dipercayai oleh kawan-kawan dalam Pakatan," katanya.
Segala usaha itu akhirnya tambah beliau PAS dapat membuktikan Islam boleh menang dan berjaya.
Selepas berucap Dato' Presiden diiringi Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali melancarkan dana Putis seterusnya memecah tanah dengan menggunakan jentolak dan menanam pokok jambu air.

No comments: