Sunday, January 18, 2009

Rakyat mahu bukti keikhlasan pemimpin

Kejayaan PAS merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu memang sudah dijangka. Ini kerana dalam pilihana raya umum tahun lalu PAS memenangi empat kerusi Dun Ladang, Bandar, Wakaf Mempelam dan Batu Burok.

Kekuatan calon PAS yang telah empat penggal memenangi Dun Wakaf Mempelam merupakan salah satu faktor menambahkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan beliau. Rakyat mahukan wakil rakyat mereka seorang yang peramah, berhemah, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri.

Rakyat mahu seorang wakil rakyat yang boleh bersembang dengan mereka di warong-warong kopi, boleh minum cendol atau air batu kacang dengan belia atau sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

Saya tertarik hati dengan seorang wakil rakyat di salah satu Dun di Terengganu. Lebih empat penggal beliau memenangi Dun tersebut. Kewibawaan beliau menjadi wakil rakyat memang diakui bukan saja ahli PAS bahkan ahli Umno.

Walaupun sudah bergelar Dato' namun beliau tidak menjadikan gelaran itu sebagai penghalang untuk terus bermesra dan berhubung dengan remaja, para belia dan pak cik di warong kopi, pasar, masjid atau surau.

Tangan beliau sentiasa ringan untuk memberi sedekah atau derma kepada yang memerlukan. Ketika beliau menyeluk poket jubahnya, tanpa melihat berapa yang diselok beliau terus menyerahkan wang tersebut kepada yang memerlukan.

Seorang sahabat memberitahu kepada saya, Dato' tersebut pernah memberi derma kepada seorang penduduk kampung sebanyak RM1000 dan ini mengejutkan penduduk kampung tersebut.

Inilah keikhlasan seorang wakil rakyat yang jarang sekali ditemui.

No comments: