Tuesday, January 19, 2010

`Cah Keting' dalam PAS, sejuahmana kebenarannya?


Apakah benar berlaku `Cah keting' atau cantas mencantas dalam PAS. Jika benar alangkah malangnya. Dalam sebuah parti gerakan Islam di mana pimpinannya memahami dan menghayati Islam tapi boleh berlaku cantas mencantas untuk naik.

Sudah pasti ahli dan pimpinan PAS mahu pemimpin yang benar-benar ikhlas dalan perjuangan. Bukan berjuang hanya mahu mengejar nama atau mencari publisiti. Pemimpin dan ahli yang berjuang kerana Allah langsung tidak mementingkan `glamor'.

Jika benar ada cantas mencantas sudah pasti ia akan merosakkan imej parti. PAS bukan seperti parti Umno. Kalau seorang pimpinan itu hendak naik biarlah perwakilan yang memilihnya dalam muktamar tahunan.

Jangan ada pimpinan yang menyekat nama orang lain semata-mata mahu menjaga diri supaya terus berada di peringkat atasan. Jika ada perwakilan mencalonkan nama orang baru untuk menjadi pimpinan kanan, biarkan jangan diberi kata dua kepada calon tersebut.

Tak molek rasanya saya hendak mengulas panjang lebar tentang `cah keting' ni...tapi dah pimpinan Mursyidul Am dan disokong oleh pimpinan kanan PAS pula...jadi saya sentuh sikit je la

Ikuti laporan berita berikut dari Utusan Malaysia:

Pemimpin tamak punca 'cah keting'

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kewujudan pemimpin yang tamak dengan pangkat, pengaruh serta kedudukan menjadi punca budaya 'cah keting' mula menular dalam Pas sekali gus mencemarkan imej parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, walaupun beliau tidak mengetahui sejauh mana seriusnya masalah tersebut, tetapi jika itu yang berlaku, sudah tentu ia memberi tamparan hebat kepada Pas sebagai sebuah parti berteraskan Islam.

Kata beliau, selama ini semua pemimpin serta ahli parti telah dididik supaya menjadikan Islam sebagai matlamat perjuangan.

Justeru, menurutnya, budaya 'cah keting' atau cantas-mencantas sepatutnya tidak berlaku di dalam Pas.

"Perbuatan cantas-mencantas, , jatuh-menjatuhkan pemimpin lain bukan cara Pas. Kita tidak pernah diajar untuk berbuat demikian, sebaliknya kita diajar untuk ikhlas dalam perjuangan dengan menjadikan Islam sebagai matlamat utama.

"Budaya ini sebenarnya berpunca daripada wujudnya pemimpin yang mempunyai agenda peribadi serta kepentingan sendiri. Cita-cita mereka cuma untuk mendapatkan pangkat, pengaruh serta kedudukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan terbuka Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa wujud budaya 'cah keting' dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub ketika memberi reaksi berhubung isu tersebut turut mengesahkan kewujudan amalan itu di dalam Pas.

Menurut Salahuddin, perbuatan tersebut tidak dapat dielakkan kerana ahli-ahli Pas juga merupakan manusia biasa yang mempunyai kekurangan.

Sementara itu, Nasrudin berkata, dalam konteks kepimpinan, Islam mahu umatnya taat kepada pemimpin yang berjuang atas landasan agama dan bukannya keduniaan.

"Pemimpin seperti ini yang wajib kita berikan ikrar taat setia dan wajib kita berikan peluang untuk terus menerajui Pas. Kita mahu pemimpin yang benar-benar ikhlas dengan perjuangan Islam," katanya.

Nasrudin mengakui amalan tersebut boleh merosakkan sesebuah parti sekiranya dibiarkan berlarutan apatah lagi ia membabitkan sebuah parti Islam.

"Dewan Pemuda Pas amat berharap semua pemimpin dan anggota sedar terhadap tanggungjawab melaksanakan cita-cita Islam. Hanya Islam matlamat kita.

"Hentikanlah perbuatan 'cah keting' ini kerana ia hanya mencemar dan merosakkan parti kita," ujarnya.

No comments: