Sunday, January 10, 2010

Bakar gereja provokasi pihak tertentu wujud ketegangan


Oleh: SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah kontroversi penggunaan kalimah `Allah' negara dikejutkan dengan insiden tiga buah gereja di Selangor yang dibaling dengan bom petrol oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mengutuk keras tindakan melampau pihak-pihak yang terbabit dengan insiden malam Jumaat lalu.

Menurut beliau, dalam Islam adalah haram memusnahkan atau merosakkan rumah ibadat agama lain.
Gereja terlibat, gereja Assumption bersebelahan hospital Assunta; gereja di Seksyen 17, Petaling Jaya dan gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati.

Beliau tidak menolak mungkin insiden tersebut dirancang oleh pihak tertentu untuk mewujudkan suasana ketakutan dan tidak selamat serta ketegangan kaum dan agama.

"Saya tidak menolak kemungkinan besar di belakang peristiwa-peristiwa begini ialah orang-orang politik tertentu dalam Umno," tegasnya.

Ini kerana tambah beliau, Umno sudah tidak mendapat sokongan rakyat dan mereka telah beberapa kali mengingatkan rakyat akan berulang peristiwa 13 Mei.

Cara itu katanya, merupakan satu ugutan supaya rakyat kembali menyokong Umno.

Beliau berkata,insiden perarakan kepala lembu di hadapan pagar utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu antara perancangan mereka yang gagal untuk membangkitkan kemarahan umat Islam dan Hindu.

"Saya mengingatkan rakyat supaya jangan terperangkap dengan agenda politik Umno/BN yang sudah tidak mampu memikat rakyatnya dengan agenda `1Malaysia'," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya jangan melampau dalam mengambil tindakan terhadap agama lain kerana akhirnya akan menimbulkan kebencian penganut agama lain terhadap mesej keadilan yang dibawa oleh Islam.

Katanya, insiden tiga gereja itu bukan satu tindakan jihad tetapi keganasan jika hendak berjihad lengkapkan diri dengan ilmu Islam dan sedia untuk berdakwah di mana saja dengan menjadi mubaligh Islam.

Beliau sedih dengan insiden itu dan mohon supaya rakyat beragama katolik bersabar serta tenang dan tidak melatah dengan provokasi mereka yang tidak bertanggungjawab.

No comments: