Oleh SAIDAH HAIRAN
LANGKAH Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim menangguhkan
penurunan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan premis komersial 10 peratus
menimbulkan kontroversi.
Sebelum itu tindakan bijak Abdul Khalid meneruskan projek ladang babi secara moden
turut dibidas oleh pimpinan Umno-BN, walaupun ketika pemerintahan BN-Umno dahulu
projek tersebut disokong oleh pihak-pihak tertentu.
Sejak Selangor diambil alih kerajaan Pakatan Rakyat (PAS, KeADILan dan DAP) 9 Mac
lalu, pimpinan Umno-BN terus melakukan serangan dan tohmahan ekoran sikap cemburu
diatas kejayaan Pakatan Rakyat memaut hati pengundi Selangor.
Kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat yang diketuai Abdul Khalid mentadbir Selangor
teruji pada awal-awal pemerintahan. Walaupun banyak pihak berpendapat kerajaan baru atau seseorang pemimpin itu wajar
diberi peluang membuktikan kemampuan mereka dalam tempoh 100 hari selepas dipilih,
tetapi kerajaan Pakatan Rakyat sudah membuktikan belum dua bulan memerintah sudah
menunaikan janji memberi air percuma bagi 20 meter padu pertama.
Beberapa hari saja penduduk Selangor terutama mereka yang berada di tahap miskin dan
sederhana akan terasa ringan bebanan kerana dapat menikmati penggunaan air paip
percuma, pada 1 Jun nanti.
Sudah pasti rakyat Selangor tidak menyesal kerana memilih kerajaan Pakatan Rakyat
untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Umno-BN yang rakus dan kejam terhadap
rakyat.
Bertambah gembira apabila setiap anak negeri yang berjaya ke universiti akan diberi
hadiah sebanyak RM1,000 bermula Julai ini.
Di atas kecemburuan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat, mantan Menteri Besar yang
sekarang ini sebagai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo terus
menjalankan tugas menghasut rakyat supaya segera menagih tawaran yang dijanjikan
dalam manifesto.
Pendedahan daripada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus ketika perbahasan usul titah
ucapan Tuanku Sultan, beberapa hari selepas kemenangan Pakatan Rakyat, Khir
menghasut warga emas di Kuala Langat supaya mendapatkan rawatan percuma di
Poliklinik Sijangkang, kebetulan klinik tersebut kepunyaan Dr Ahmad.
Bukan itu saja Khir Toyo mendesak penduduk Kuala Langat meminta kerajaan menunaikan
segera tawaran yang terkandung dalam manifesto.
Apakah Khir yang pernah menjadi orang nombor satu di negeri Selangor terlupa bahawa
rawatan kesihatan percuma itu menjadi tanggungjawab kerajaan bukan pemilik-pemilik
klinik swasta.
Seharusnya Khir memahami bahawa tawaran dalam manifesto itu tidak boleh
dilaksanakan serentak lebih-lebih lagi kerajaan Pakatan Rakyat belum sampai 100 hari
memerintah.
Tema Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan bukan setakat di atas kertas manifesto
tetapi pimpinan Pakatan Rakyat akan melaksanakan demi kebajikan dan pembelaan nasib
rakyat.
Ketelusan dan kebertanggungjawaban diutamakan. Lantas Khalid Ibrahim memanggil
Ketua Pengarah BPR memberi taklimat kepada para exconya supaya tidak sekali-kali
melakukan penyelewengan atau rasuah.
Pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan bertolerasi dengan mana-mana pihak yang terlibat
dengan rasuah.
Pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN terdahulu akan dihentikan,
antaranya seperti kontrak yang tidak munasabah harganya. Sebaliknya kerajaan
Selangor akan melaksanakan tender terbuka.
Di bawah exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan yang dipengerusikan
oleh Dr Halimah Ali akan dilaksanakan Selangor sebagai Hub-Ilmuan. Semua pakar-pakar
ilmu dan dakwah akan berpusat di Selangor.
Menyedari masalah pengangguran bertambah dari tahun ke tahun, tindakan terkini
kerajaan dalam proses mendaftarkan belia dan remaja yang menganggur berumur antara
21 hingga 35 tahun supaya diberi latihan berdasarkan minat sebelum diberi kerja yang
sesuai.
Tanpa memikirkan serangan dan tohmahan daripada pimpinan Umno-BN melalui media
massa, kerajaan Pakatan Rakyat berikrar akan menyelesaikan masalah pekerja yang
sudah lama bekerja tetapi masih dibayar gaji kurang daripada RM1500 sebulan.
Justeru, kerajaan di ketuai Khalid sedang mengkaji dasar baru supaya semua pekerja di
Selangor yang baru dilantik mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,500 sebulan.
Bukan itu sahaja kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden dan AJK
MTUC, pimpinan Cuepacs, serta para majikan untuk meneliti faedah perubatan,
persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan, bonus termasuk soal pemecatan
pekerja yang didapati melakukan kesalahan tertentu.
Rakyat Selangor akan mendapat berita gembira selepas kerajaan memerintah 100 hari
kerana Menteri Besarnya akan mengumumkan projek atau idea baru yang memberi
kenikmatan kepada semua rakyat.
Adun Ijok itu merupakan mantan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan
Guthrie, bukan saja mempunyai pengalaman mentadbir 50,000 kakitangan tetapi
berpengetahuan luas dalam ekonomi dan tiada tolok bandingnya dengan Khir Toyo.
Justeru, tidak mustahil Selangor akan mengikut jejak kejayaan Kelantan yang ditadbir
PAS selama lima penggal di bawah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment