Tuesday, March 16, 2010

Bagaikan bermusim kes kanak-kanak hilang

Tak tahu nak kata apa...kes kanak-kanak hilang ni bagaikan bermusim. Macam musim buah-buahan. Apabila timbul kembali mula lah pihak polis dan penguatkuasa melilau berusaha mencari kanak-kanak tersebut.

Kedengaran pula suara-suara pak dan mak menteri mengingatkan para ibu bapa supaya berhati-hati dengan keselamatan anak-anak.

Rasa macam tak selamat nak duduk di tanah air sendiri. Ramai sangat penyamun, pencolek, perompak, perogol, pembunuh, pencuri, penipu dan segala kejahatan.

Anggota polis telah pun dinaikan gaji. Harap-harap dapatlah mereka menunaikan tanggungjawab yang jujur dan menjalankan tugas dengan lebih berkesan. Semoga selepas ini tidak ada lagi kes kanak-kanak hilang.

Kanak-kanak 6 tahun hilang, tolong cari!

Sama-sama kita mendoakan keselamatan kanak-kanak ini dan saling membantu mencari dan mengambil tahu tentang kanak-kanak tersebut.

Kita cukup bimbang kalau kanak-kanak tersebut diculik. Hidup di kota Kuala Lumpur menyebabkan masa kita habis dengan bekerja. Malah untuk menyara hidup ibu dan bapa terpaksa bekerja.

Kalau orang dahulu ibu menjaga anak-anak di rumah maka keselamatan anak terjamin tetapi desakan hidup di Kuala Lumpur memerlukan suami dan isteri bekerja.

Berikut berita kehilangan anak tersebut:

Kanak-Kanak Enam Tahun Hilang Semasa Bermain Di Taman Permainan

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Seorang ibu membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang baru berumur enam tahun di taman permainan Perumahan Awam di Pangsapuri Sri Kota, Cheras di sini, Sabtu lepas.

Normayanti Abdul Manan, 30, berkata kali terakhir anaknya, Muhammad Adam Haikal dikesan ialah ketika dia pulang ke rumah neneknya di tingkat tiga di tingkat tiga pangsapuri pada kira-kira pukul 4.30 petang untuk mengambil gasing sebelum turun semula ke taman permainan itu.

Beliau berkata anak sulungnya itu kemudiannya tidak pulang ke rumah neneknya menyebabkan beliau dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Pudu kira-kira pukul 11 malam.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata Haikal ditinggalkan di rumah mentuanya setiap hari apabila beliau dan suami keluar bekerja memandangkan rumah mereka terletak berhampiran.

"Haikal sudah biasa dengan kawasan ini dan selalunya dia akan pulang ke rumah neneknya pada pukul 7 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Normayanti berkata kehilangan Haikal itu memang pada mulanya tidak disedari sesiapa kerana semua anggota keluarga sedang sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik iparnya.

Katanya sebaik tiba di rumah mentuanya, beliau melihat penduduk setempat mula memeriksa dari rumah ke rumah, selain setiap kenderaan yang keluar masuk ke kawasan perumahan itu bagi mengesan anaknya.

Beliau seterusnya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Haikal supaya menghubunginya dengan menelefon 012-260 8660 atau 012-279 1044.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan katanya kes itu diambil alih oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

No comments: