Tuesday, February 23, 2010

Mudah ke dapat reda Allah?


"Kami rela kalah kerana melaksanakan Islam, kita rela ditolak rakyat kerana melaksanakan suruhan Allah,apa lah ertinya sebuah pemerintahan tanpa mendapat keredaan Allah SWT, " peringatan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Merujuk kenyataan Tok Guru ni mungkin ramai pimpinan yang takut untuk memegang jawatan. Jawatan dalam parti, negeri dan negara.

Apa saja jawatan pastinya ia merupakan amanah yang mesti dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan. Jawatan bukan satu perkara yang enteng. Ia tanggungjawab yang cukup besar dan akan dipersoal oleh Allah SWT.

Sedangkan manusia yang tidak berjawatan hanya menjadi hamba Allah pun akan dipersoalkan selepas dibangkitkan nanti. Kemana pergi kaki yang dipinjamkan oleh Allah, adanya telinga untuk mendengar kuliah agama atau mendengar umpatan, adanya mulut untuk memuji kebesaran Allah atau menabur fitnah.

Berat menjadi hamba Allah ni...lebih-lebih lagi mereka yang diamanahkan sebagai pimpinan gerakan Islam, pertubuhan, kelab begitu juga pemimpin rakyat iaitu wakil rakyat.

Dalam berat tanggungan itu pun ramai juga mereka yang berebut-rebut untuk mendapatkan jawatan dalam mana-mana pemilihan pimpinan parti, sama ada Umno, MCA, MIC begitu juga PAS.

Apabila musim pemilihan bermulalah gerakan bawah tanah dengan menyusun pelbagai strategi untuk menjatuhkan, menendang dan meniarapkan mana-mana pimpinan yang tidak diminati.

Hanya mereka yang menginsafi betapa beratnya menjadi hamba Allah tidak akan berebut-rebut memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan dan parti.

Untuk mendapatkan keredaan Allah bukan setakat melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat, tidak merompak harta rakyat tetapi lebih penting `mengikhlaskan' hati dalam apa juga tindakan dan perbuatan.

Senang ke hendak ikhlaskan hati? Macam mana hendak ikhlas kalau program tidak mendapat liputan media habis satu negara tahu kelemahan pihak media tersebut.

Pimpinan gerakan Islam ada macam ni ke? Tepuk dada tanya diri sendiri...

No comments: