Wednesday, February 17, 2010

Malu jadi pimpinan dan ahli Umno, Guan Eng lebih mahir hal Islam


Perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul kini menjadi isu politik. Sedangkan ia satu perbuatan yang tidak wajib. Tetapi ahli dan pimpinan Umno berhempas pulas mempertahankan perarakan tersebut.

Umno mendakwa Guan Eng cuba membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada Jumaat 26 februari ini dibatalkan. Setiap hari media arus perdana RTM dan TV3 menyiarkan berita pembatalan perarakan tersebut.

Rasanya Umno sudah tidak ada idea nak menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Setiap negeri Pakatan Rakyat diserang dengan pelbagai bangkitan isu.

Sedangkan isu-isu yang dibangkitkan hanya setakat persoalan remeh temeh. Disebabkan kerakusan Umno nak merampas semula negeri- negeri Pakatan Rakyat, jadi terpaksalah mereka mencari apa saja isu yang boleh dipolitikan.

Ikut suka hati mu la Umno...janji rakyat tahu cerita sebenar.

Perarakan sempena menyambut tarikh kelahiran Nabi saw bukan ibadah. Ia hanya amalan atau perbuatan harus. Persoalan sekarang Umno telah menjadikan umat Islam bercelaru mempertahankan amalan yang tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah saw sehingga rakyat menganggap perarakan Maulidur Rasul sebagai ibadah.

Dalam soal berselawat lain dengan perarakan. Ia adalah dua amalan atau perbuatan yang berbeza. Berselawat memang ada hadis yang menyuruh umatnya berselawat ke atas Nabi saw sebagaimana Allah SWT berselawat keatas Rasulnya.

Jika sekiranya amalan perarakan itu ibadah yang boleh mendatangkan pahala sudah tentu amalan dan perbuatan tersebut telah diamal atau dilakukan sejak zaman Nabi saw lagi. Ia akan diikuti oleh para sahabat.

Maka ada nas atau hadis bagai membolehkan rakyat kemudian mengamalkan perbuatan itu dengan adanya dalil tersebut tetapi tiada seorang ulama pun menemui hadis perarakan Maulidur Rasul.

Ini bermakna sekiranya Umno tetap mahu buat perarakan, ia hanya amalan harus. Kes perbuatan harus seumpama ini tidak boleh kita bergaduh dan menegakkan pendapat aku yang betul. Malah Umno tidak boleh memaksa orang lain melakukan perarakan kerana ia tidak ada sandaran langsung.

Bertambah teruk lagi Umno telah mengelirukan umat Islam dan orang awam terutama orang Melayu sehingga ada yang sifatkan perarakan mesti dilakukan setiap kali sampai tarikh 12 Rabiul Awal. Kita bimbang iktikad seumpama ini batil dan sengaja mengada-adakan dalam agama.

Sambutan kelahiran Nabi saw tidak ada nas yang khusus kecuali riwayat Imam Muslim dan kaum muslimin bersepakat bahawa kelahiran Nabi Muhammad saw adalah pada hari Isnin di bulan Rabiul Awal.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayat Imam Muslim dari Abu Qatadah al Anshoriy bahawa Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari Isnin maka beliau saw bersabda,”Hari itu aku dilahirkan dan di hari itulah diturunkan (al Qur’an).”

Ini cara orang Islam sambut kelahiran Nabi saw. Apa sandaran Umno sampai mahu bergaduh pasal perarakan. Tidak ada dalil langsung. Tak payah la bergaduh wahai Umno sampai menuduh Guan Eng benci Islam. Saya ingat Guan Eng lebih tahu Islam daripada Pak Lah atau pemimpin Umno lain kerana Guan Eng baca juga buku tentang Islam.

Kalau kita bergaduh dalam soal itu tidak molek sangat sebab kalangan ulama pun tidak bergaduh pasal menentukan tarikh yang tepat tentang kelahiran Nabi saw. Kebanyakkan kita ikut pendapat yang mereka juga menyebutkan bahawa inilah yang masyhur iaitu Ibnu Ishaq yang lebih memilih pendapat menyebut bahawa kelahiran Nabi saw adalah pada 12 Rabiul Awal di tahun gajah.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan hal ini dari Jabir, ibnu Abbas dan yang lainnya.Sedangkan pendapat Syeikh Shafiyuurrahman al Mubarokhfury penulis kitab “ar Rahiq al Makhtum” yang memilih pendapat bahawa kelahiran Nabi saw adalah pada hari Isnin pada 9 Rabiul Awal pada permulaan tahun daripada peristiwa gajah yang bertepatan dengan 20 atau 22 April 571 M.

Buku yang ditulis al Mubarokhfiury ini adalah pemenang pertama dalam pertandingan penulisan “Siroh Nabawiyah” yang diselenggarakan oleh Robithoh al Alam al Islamiy yang berpusat di Mekah pada tahun 1399 H / 1978 M.Memang telah terjadi perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw.

Diantara mereka ada yang berdasarkan pendapat daripada riwayat yang sampai kepada mereka dan ada juga yang berdasarkan kepada perhitungan falak.

Pendapat al- Mubarokhfury berdasarkan kepada hasil penelitian seorang ulama terkenal yang bernama, Muhammad Sulaiman al-Manshurfury dan pengkaji astronomi, Muhammad Basya.

Berikut laporan berkaitan daripada Harakah:

Pemimpin Umno jahil fadilat hayati perjuangan Rasulullah

Salmah Mat Hussin & Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 17 Feb: Apakah pemimpin Umno masih enggan mengakui mereka jahil agama apabila gagal membezakan fadhilat perarakan Maulidur Rasul dengan program menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w.

Menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. boleh dilakukan dengan pengkisahan kehidupan baginda melalui ceramah atau kuliah dari lahir sehingga wafat sedangkan perarakan Mualidur Rasul di atas jalan tidak mampu menghayati sirah perjuangan baginda dalam erti kata sebenar.

Namun hairannya, pemimpin Umno masih mempertahankan perbuatan tersebut yang dianggap sudah menjadi budaya dan tanpa mengira manfaatnya.

Tidak ramai sedar perarakan Mauludir Rasul sempena 12 Rabiul Awal kalendar hijrah tiada di Kelantan sejak 20 tahun lalu.Majlis Maulidur Rasul hanya disambut di masjid-masjid atau surau dengan ceramah agama iaitu sendat dengan pengisian majlis ilmu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjelaskan perkara itu berkata, umat Islam jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang tidak serupa dengan kehendak agama.

“Sebagai contoh Maulidur Nabi Muhammad s.a.w. yang disambut secara besar-besaran khususnya di negeri-negeri lain sebenarnya tidak ada sebarang fadhilat, tidak sebagaimana bulan Ramadan.

“Bulan Ramadan memang ada fadhilat dan kelebihannya, tetapi bulan Maulud tidak ada apa,” ujarnya kepada pemberita di sini.

Ekoran itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kompromi demi politik.

Menurutnya, tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, mewujudkan suasana Islam dalam sebuah negara sebenarnya sudah dianggap maulud.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, upacara perarakan yang diadakan ketika menyambut Maulidur Rasul bukan perkara wajib bahkan sebaliknya boleh menjurus kepada perbuatan bidaah.

“Tuduhan pentadbiran Lim Guan Eng sebagai anti-Islam itu saya tidak tahu, apa yang menarik di sebalik haru-biru di Pulau Pinang dalam persoalan ini ialah Umno seolah-olah dilihat cuba mengutamakan perarakan.

“Besarnya sambutan hari Maulidur Rasul bukan pada perarakan. Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah menuntut umatnya supaya berbuat begitu,” katanya.

Menurutnya tiada sebarang manfaat upacara perarakan melainkan penghayatan di sebalik sejarah Maulidur Rasul menjadi tuntutan Islam.

“Malangnya Umno hanya asyik membesar-besarkan perarakan daripada penghayatan, ini menunjukkan betapa cetek fahaman Umno tentang ilmu agama,” katanya.

No comments: