Thursday, January 21, 2010

Umno serius merampas Selangor sejak program Mesra Rakyat


Keseriusan Umno/BN mahu merampas kembali Selangor yang dikuasai 51 tahun tidak dapat disangkal memandangkan dakyah yang dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat terus dilaksanakan bermula program `People Centric' atau Mesra rakyat.

Program di bawah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor mencadangkan keahlian Task; Majlis Keselamatan Negara; Jabatan Belia dan Sukan; Jabatan Penerangan Malaysia (Jabatan Hal Ehwal Khas); Jabatan Kemajuan Masyarakat; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sama ada rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat sedar atau tidak dengan jelas program Mesra rakyat itu memfokuskan untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat sekaligus memenangi pilihan raya ke-13 dengan majoriti dua pertiga di parlimen.

Program Mesra rakyat dilaksanakan untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kerajaan Persekutuan dengan meningkatkan imej dan kredibiliti pemimpin Umno/BN.

Menetapkan hala tuju dan matlamat keseluruhan bagi mengekalkan dan mengukuhkan persepsi atau tanggapan positif rakyat terhadap kerajaan Pusat.

Program terbaru `Umno Juara Rakyat' yang dilancarkan pada 9 Januari lalu di Bukit Sentosa, Hulu Selangor mempunyai tujuan yang sama dan jelas bahawa Umno mahu merampas Selangor.

Umno Juara rakyat itu akan terus digerakkan ke seluruh negara bertujuan membuktikan kepada rakyat bahawa hanya Umno/BN saja parti yang dulu, kini dan selama-lamanya menjuarai hasrat rakyat.

Program yang penuh dengan kepura-puraan itu akan terus dilancarkan sehingga pilihan raya ke-13.
Sudah tentu Umno merancang dengan penuh teliti untuk merampas semula Selangor negeri termaju dan kaya.


Apa saja kerajaan yang mentadbir Selangor akan senang dan tidak perlu memikir bagaimana mahu mencari duit untuk membela nasih rakyat.

Sebab itu, Umno/BN berhempas pulas melancarkan program `Umno juara rakyat', untuk menunjukkan kepada rakyat Umno saja yang prihatin dengan nasib rakyat.

Pimpinan Pakatan Rakyat khususnya PAS tidak boleh pandang remeh perkara ini. Ahli dan pimpian PAS tidak boleh bergoyang kaki dan berasa selesa dengan kemenangan yang dikecapi di Selangor tanpa melakukan kerja untuk terus memikat hati rakyat.

Apakah PAS, DAP dan KeADILan sudah menyelesaikan masalah daftar pemilih baru? Apakah jentera parti sentiasa berkempen dari rumah ke rumah atau kempen itu hanya dijalankan menjelang pilihan raya?

Pimpinan Umno/BN mengakui kekalahan di Selangor tidak pernah terfikir di minda pimpinan Umno begitu juga kemenangan yang tidak terduga di fikiran pimpinan PAS, DAP dan KeADILan.

Umno sememangnya menjadikan pengajaran dan mereka mengakui selama mentadbir Selangor tidak menghiraukan kebajikan rakyat miskin.

Sebab itu di era pimpinan Pakatan Rakyat, Umno berhempas pulas mahu menggembalikan keyakinan dan sokongan rakyat. Jika dulu Umno/BN kurang prihatin dengan nasib rakyat, sekarang Umno sudah mula menghulur bantuan.

Apakah program `Mesra rakyat dan Umno Juara rakyat' itu benar-benar datang daripada keikhlasan pimpinan Umno/BN untuk membantu rakyat? Mungkin juga Umno/BN hanya mahu bersandiwara mengaburi mata rakyat supaya sokongan dikembalikan kepada Umno, selepas berkuasa semula hak rakyat dinafikan kembali.

Mengulas senario itu, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus memandang serius program `Juara Rakyat' yang dilaksanakan oleh Umno kerana ia merupakan dakyah Umno/BN mahu merampas Selangor daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, kesungguhan Umno mahu merampas Selangor telah dilakukan sejak tahun 2009 di mana parti itu menggunakan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor untuk melaksanakan program `Mesra Rakyat'.

Dalam program mesra rakyat katanya, Umno bertujuan mengembalikan sokongan kepada kerajaan Persekutuan dengan meningkatkan imej dan kreadibiliti pemimpin sekaligus menjatuhkan imej dan kreadibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Beliau mempersoalkan jika benar Umno jujur mahu membantu rakyat Selangor kenapa program juara rakyat itu tidak dilaksanakan di kawasan bandar.

"Kenapa dimulakan di kawasan kampung, Hulu Selangor itu kawasan kubu Umno majoriti orang Melayu dan ditumpukan di Bukit Sentosa," tegasnya.

Berhubung dengan masalah pangsapuri Bukit Sentosa katanya, kerosakan itu sudah lapan tahun dan Umno hanya membaiki tiga rumah saja sedangkan Pakatan Rakyat baru setahun mentadbir sudah baiki sebahagian rumah.

Menurut beliau, Umno yang mengakui rumah di Bukit Sentosa ibarat pangsapuri hantu melaksanakan program juara rakyat hanya untuk mengaburi mata rakyat semata-mata.

Umno sebenarnya kata beliau sudah berada dalam keadaan terdesak kerana kehilangan sokongan rakyat khususnya golongan muda sebab itu di setiap siri program Juara Rakyat Umno membuka kaunter daftar pemilih.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kuala Langat mengingatkan ahli PAS supaya jangan pandang ringan dengan segala tindakan dan dakyah yang dilaksanakan Umno.

"Kita kena kesan kehadiran pengundi hantu yang didaftar di bawah Umno sebab Umno memang serius mahu merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat," tegasnya.

Di Kuala Langat jelas beliau, kaunter daftar memang dibuka di setiap pasar malam dan sehingga kini ramai golongan muda yang mendaftar dan mereka sudah berani untuk menyatakan sokongan kepada PAS.

Beliau melihat program Pakatan Rakyat terutama Memasyarakatkan Ekonomi Selangor (MES) itu lebih hebat jika dibandingkan dengan Juara rakyat.

Malangnya kata beliau rakyat Selangor tidak nampak kehebatan MES yang sudah memberi air percuma kepada rakyat, memberi bantuan kepada warga emas, bantuan pelajaran dan sebagainya.

Ini semua katanya disebabkan promosi terhad kehebatan Pakatan Rakyat membantu rakyat tidak diketahui oleh seluruh rakyat berbanding dengan Umno yang menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dan media.

No comments: