Friday, November 13, 2009

SPRM merendahkan taraf wakil rakyat

Oleh SAIDAH HAIRAN
Pembentukan pasukan pemantau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperhalusi perjalanan Adun dan Ahli Parlimen dilihat lebih banyak menimbulkan implikasi negatif kerana ia ditubuhkan setelah kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir lima negeri.
Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar menegaskan pasukan pemantau SPRM itu ditubuhkan seolah-olah gejala rasuah atau penyelewengan itu tidak pernah berlaku terhadap Adun dan Ahli Parlimen di bawah BN.
"Saya beranggapan pemantauan ini dilakukan kerana gejala rasuah itu sesuatu yang lumrah berlaku di Dun dan Parlimen serta dikhususkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat," tegasnya ketika ditemui dewan Annex, dewan Undangan Negeri Selangor.
Beliau berkata, tindakan SPRM itu jelas merosakkan imej Adun dan Ahli Parlimen seolah-olah mereka manusia yang tidak boleh dipercayai.
Walaupun katanya mungkin SPRM lebih kepada Pakatan Rakyat namun imej buruk itu akan terus tercalar kepada semua wakil rakyat dan meletakkan Adun dan Ahli Parlimen dalam kedudukan yang paling rendah dan hina.
Mungkin juga tambah beliau, pada masa akan datang ramai golongan cerdik pandai tidak takut untuk menjadi Adun dan Ahli Parlimen khususnya dikalangan ahli politik Pakatan Rakyat.
"Kenapa mesti tumpu kepada Adun dan Ahli Parlimen, banyak lagi gejala rasuah yang tidak dapat diselesaikan dan dicari oleh SPRM," tegasnya.
Beliau menegaskan, wakil rakyat Pakatan Rakyat bekerja dengan ikhlas tetapi jika ada pasukan pemantau seolah-olah pergerakan diintai secara berterusan menyebabkan mereka dibayangi dengan kesalahan.
Sementara itu, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali menegaskan SPRM perlu memulakan satu usaha yang bersungguh-sungguh dengan pembentukan Jawatankuasa bagi memperhalusi laporan Ketua Audit Negara yang membuktikan berlaku ketirisan berjumlah 28 bilion dan telah disahkan oleh Menteri Kewangan kedua.
Beliau mempersoalkan, mengapa perkara itu tidak menjadi keutamaan penyiasatan SPRM untuk mengambil laporan Ketua Audit Negara serta menyiasat segera dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terlibat.
Beliau mempersoalkan mengapa persoalan peruntukan Adun dan Ahli Parlimen yang menjadi keutamaan kepada mereka.
Tindakan SPRM itu akan menimbulkan prasangka bahawa SPRM tidak bebas tetapi dibolosi oleh tangan-tangan negatif daripada kerajaan Pusat, tegasnya.
Setakat ini kata beliau, perspesi umum mengatakan bahawa SPRM telah digunakan oleh Umno untuk menekan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Beliau menegaskan jika betul matlamat SPRM kenapa tidak disiasat Ketua Audit Negara dan Adun Pelabuhan Kelang, apakah kerana beliau telah tinggalkan parti KeADILan maka kesnya ditutup.
Katanya, ini merupakan cabaran untuk memulakan siasatan Adun Pelabuhan Kelang yang telah menyalahgunakan peruntukan Adun dan Menteri Besar telah mengambil tindakan mengeluarkan surat tunjuk sebab begitu juga dengan parti KeADILan.
"Apa status kes tersebut mengapa ditutup apakah kerana semata-mata Adun Pelabuhan Kelang telah meninggalkan KeADILan," tegasnya.
Beliau yakin Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat adalah pemimpin yang bertanggungjawab dan dapat menguruskan kewangan mereka dengan amanah dan jika SPRM hendak menyiasat wakil rakyat Pakatan Rakyat bersedia memberi kerjasama tetapi mesti adil dan saksama.
Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak mengalu-alukan apa juga langkah SPRM untuk memantau pengurusan kewangan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.
Persoalannya kata beliau, kreadibiliti SPRM sedang dipertikai dengan hebat oleh masyarkat kerana dilihat tidak berupaya untuk menangani gejala rasuah dalam negara secara bersungguh-sungguh.
Justeru, kerana tindakan sebelum ini dilihat lebih cenderung untuk menekan kerajaan Pakatan Rakyat dan tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala pengurusan kewangan dilaksanakan dengan baik.

No comments: